Euforia Bola 2026
Famili

“Ramai Sangka Saya Bawa Emak” – Lelaki Usia 28 Bahagia Kahwin Wanita 23 Tahun Lebih Tua..

SUAMI USIA MUDA

Perkahwinan dengan suami usia muda sering menjadi perhatian masyarakat, lebih-lebih lagi apabila jarak umur antara pasangan agak besar.

Bagi Azmirullah Azan, 28, keikhlasan dan rasa tanggungjawab menjadi asas hubungan yang menyatukannya dengan isterinya, Wan Nazihah Wan Awang, 51. Walaupun jarak usia mereka mencecah 23 tahun, pasangan ini tetap bahagia melayari kehidupan bersama sejak mendirikan rumah tangga pada tahun 2019.

Baca juga: Senarai Penuh Barangan Harga Terkawal Sempena Hari Raya, Peniaga Jangan Suka-Suka ‘Main Harga’!

SUAMI USIA MUDA, JARAK 23 TAHUN BUKAN PENGHALANG

SUAMI USIA MUDA

Menurut Azmirullah yang menetap di Gong Badak, Terengganu, perkenalan mereka bermula sekitar Mei 2019 selepas berhubung di Facebook. Tanpa tempoh bercinta yang lama, kedua-duanya mengambil keputusan untuk berkahwin hanya tiga bulan selepas mengenali antara satu sama lain, iaitu pada Ogos tahun yang sama.

“Kami berkenalan di Facebook (FB) dan memang tak sempat bercinta lama pun kerana ambil keputusan berkahwin selepas tiga bulan mengenali hati budi satu sama lain. Waktu itu, perniagaan isteri perlahan dan saya tawarkan diri bantu supaya dia bangkit semula.

“Niat asalnya membantu, tapi ditakdirkan berkahwin dan saya terima anggap ia jodoh ketentuan Allah SWT. Keluarga tak halang, malah anaknya (anak tiri) pun terima saya daripada awal hingga kini walaupun umur yang sulung sebaya dengan saya,” ujarnya.

Sepanjang tujuh tahun mendirikan rumah tangga, lelaki yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu mengakui dia hidup bahagia bersama isterinya dan tidak pernah berasa kekok walaupun wujud jurang usia yang ketara antara mereka.

Malah dia juga tidak pernah malu membawa isterinya ke mana-mana majlis atau acara. Menurutnya, isterinya sentiasa menjadi teman kerana mereka sukar berpisah walaupun seketika.

Katanya, ada juga individu yang menyangka wanita tersebut adalah ibunya apabila mereka keluar bersama. Namun baginya perkara itu tidak menjadi masalah kerana dia tidak pernah malu mengakui wanita itu sebagai isterinya.

Selain itu, Azmirullah turut mengakui mereka tidak terlepas daripada pandangan dan komen negatif segelintir masyarakat. Ada yang menuduh dia berkahwin kerana ingin menumpang kesenangan isterinya.

Dalam masa sama, Azmirullah bersyukur kerana isterinya banyak memberikan tunjuk ajar serta nasihat dalam menguruskan perniagaan dan kehidupan.

Fasa ibu tunggal selama 5 tahun

SUAMI USIA MUDA

Sementara itu, Wan Nazihah berkongsi bahawa dia pernah melalui fasa hidup sebagai ibu tunggal selama lima tahun selepas suami pertamanya meninggal dunia pada tahun 2014 akibat penyakit diabetes.

“Suami tegur dulu di FB, mulanya dengan like gambar saya kemudian kami berkenalan dan tak lama selepas itu, dia ajak berkahwin. Saya terimanya kerana dia lelaki baik cuma buat sunat istikharah, minta petunjuk Allah. Seandainya itu yang terbaik mohon permudahkan,” luahnya.

Sebelum menerima lamaran itu, Wan Nazihah melakukan solat istikharah bagi memohon petunjuk daripada Allah SWT. Dia berharap sekiranya hubungan tersebut adalah yang terbaik, segala urusan akan dipermudahkan.

Alhamdulillah, hubungan mereka mendapat restu daripada keluarga kedua-dua pihak dan urusan perkahwinan berjalan dengan lancar.

Kini selepas tujuh tahun bersama, Wan Nazihah mengakui suaminya walaupun lebih muda daripadanya namun mempunyai sikap matang serta bertanggungjawab.

Walaupun sering menerima pelbagai komen di media sosial, pasangan ini memilih untuk tidak mempedulikan pandangan negatif dan terus menjalani kehidupan rumah tangga mereka dengan bahagia. Wan Nazihah juga berharap agar perkahwinan mereka kekal hingga ke syurga.

Baca juga: 345 Institusi Pendidikan MARA Bakal Terima Tambahan Cuti Raya Satu Hari – Dr Asyraf

Sumber: Harian Metro

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×