Hebat! Kali ini nama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berkelana di peringkat global. Terbaru, seorang saintis UMT telah mengharumkan nama negara apabila namanya diabadikan pada spesies baharu parasit ikan yang ditemui penyelidik.
Sekali gus, mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dalam bidang sains marin dan akuakultur.
NAMA SAINTIS UMT DIABADIKAN BAGI SPESIS BAHARU PARASIT IKAN

Gambar ihsan UMT: Dr Hafiz Borkhanuddin, bekas Ketua Program Biologi Marin UMT yang kini mengetuai Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).
Spesies berkenaan dinamakan Thelohanellus Borkhanuddini sebagai penghormatan kepada Prof Madya Dr Hafiz Borkhanuddin yang merupakan Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) yang juga bekas Ketua Program Biologi Marin UMT.
Diiktiraf jurnal antarabangsa
Penemuan ini diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Aquaculture Reports dan mendapat perhatian media sains antarabangsa, sekali gus meletakkan penyelidikan tersebut dalam radar komuniti saintifik global.
Menurut Dr Hafiz, beliau berasa terharu dan bangga apabila sumbangannya dalam bidang sains marin serta parasitologi ikan diiktiraf sehingga namanya kekal dalam rekod taksonomi dunia.
Lebih membanggakan, kajian tersebut diketuai oleh alumni UMT, Nadhirah Syafiqah Suhaimi yang kini merupakan calon doktor falsafah (PhD) di Hungary. Ia membuktikan pembangunan bakat universiti tempatan mampu melahirkan penyelidik bertaraf antarabangsa.
Baca juga: Muhammad Harraz, Bilal Cilik Kuasai 5 Teknik Taranum Azan… Suara Lunak Buat Ramai Sebak!

Bukan sekadar penemuan taksonomi
Penemuan spesies baharu dalam genus Thelohanellus bukan hanya pencapaian dari sudut klasifikasi saintifik. Ia turut membawa implikasi penting terhadap:
- Kesihatan ikan ternakan
- Produktiviti industri akuakultur
- Keselamatan sumber protein akuatik
Dalam konteks cabaran keselamatan makanan global, penyelidikan seperti ini membantu memperkukuh daya tahan industri akuakultur dan pengurusan sumber marin secara lebih mampan.
Dalam dunia taksonomi, penamaan spesies baharu merupakan satu penghormatan tinggi kerana nama yang diberikan akan kekal direkodkan dalam literatur saintifik selagi spesies tersebut diiktiraf komuniti penyelidik antarabangsa.
Sumber: Berita Harian
FT Image: umt.edu.my
