Perkongsian seorang pereka produk di aplikasi Threads mencuri perhatian ramai apabila dia ada berkongsi idea inovatif berkaitan reka bentuk sinki wuduk yang lebih mesra pengguna, khususnya untuk kegunaan harian umat Islam.
Menariknya, individu berkenaan memaklumkan bahawa walaupun dia bukan beragama Islam, usaha itu tercetus selepas membantu rakan-rakan Muslim menyelesaikan kesukaran ketika mengambil wuduk, terutamanya melibatkan faktor ketinggian, percikan air dan keselesaan penggunaan.
SINKI WUDUK MESRA LUTUT LELAKI CINA INI DAPAT SAMBUTAN

Sinki wuduk berkenaan direka dengan mengambil kira purata ketinggian orang Asia, iaitu dengan aras tangan pada 850 milimeter. Ketinggian ini dilihat lebih ergonomik dan selesa, khususnya bagi pengguna dewasa tanpa perlu terlalu membongkok.
Bagi bahagian kaki pula, aras wuduk ditetapkan pada ketinggian 300 milimeter, sesuai untuk kegunaan harian dan memudahkan pengguna meletakkan kaki tanpa menyukarkan pergerakan. Reka bentuk ini juga bertujuan mengurangkan tekanan pada lutut dan pinggang, terutama bagi golongan berusia.
Dari segi saiz, sinki ini direka dengan kelebaran 565 milimeter yang bersifat kompak dan versatil. Saiz tersebut dianggap ‘ngam-ngam’ untuk kegunaan biasa tanpa memakan ruang yang terlalu besar, sekali gus sesuai dipasang di rumah, pejabat atau ruang komersial.
Selain itu, ruang khusus untuk mencuci kaki dan tangan direka dengan lebar 365 milimeter, iaitu melebihi satu kaki. Reka bentuk ini membantu mengurangkan masalah air terpercik keluar, yang sering menjadi rungutan pengguna sinki wuduk konvensional.
Perkongsian sama turut mendedahkan bahawa terdapat tiga jenis sinki wuduk yang dibangunkan. Antaranya ialah model DWI, yang pernah digunakan di beberapa lokasi terkenal termasuk di Restoran Rembayung milik Khairul Aming.

Model ini dihasilkan oleh WuduAsia dan dipasarkan terus dari kilang dengan spesifikasi segmen premium, menggunakan paip dan kelengkapan berasaskan tembaga serta proses salutan glasir tiga kali bagi meningkatkan ketahanan.
Selain itu, terdapat juga model UniBody yang direka untuk membolehkan pengguna duduk ketika mengambil wuduk. Reka bentuk badannya menyerupai bahan tab mandi berkualiti tinggi menggunakan material Lucite PMMA, yang dikenali tahan lasak serta selesa digunakan.
Model ketiga pula merupakan versi klasik yang dilengkapi dengan kerusi. Reka bentuk ini diubah suai bagi memberikan pilihan kepada pengguna yang lebih selesa duduk sepenuhnya ketika berwuduk, khususnya warga emas atau mereka yang mempunyai masalah pergerakan.
Perkongsian tersebut menerima reaksi positif daripada warganet yang memuji pendekatan inklusif serta keprihatinan terhadap keperluan ibadah umat Islam, selain menekankan kepentingan reka bentuk yang bukan sahaja cantik, tetapi juga praktikal dan mesra pengguna.
Baca juga: Senarai Doa Di Bulan Ramadan Untuk Lembutkan Hati Anak, Ikhtiar ‘Mujarab’ Buat Ibu Ayah Luar Sana
Sumber: Threads Lachangyong & Wuduksink
