Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada laporan mengenai situasi wabak penyakit Nipah virus yang sedang berlaku di West Bengal, India.
Sehingga kini, Malaysia tidak melaporkan sebarang kes baharu penyakit Nipah virus sejak wabak terakhir pada September 1999, susulan kejayaan negara membendung penyebarannya.
CARA PENYAKIT NIPAH VIRUS MEREBAK, JAGA-JAGA

Freepik
Penyakit Nipah merupakan penyakit zoonotik yang berpunca daripada virus Nipah (NiV). Haiwan seperti kelawar buah (flying foxes/fruit bats) berperanan sebagai perumah semula jadi virus ini.
Jangkitan kepada manusia boleh berlaku melalui sentuhan dengan cecair badan haiwan yang dijangkiti seperti air liur, darah, atau rembesan, pengambilan makanan yang tercemar, atau kontak dengan cecair badan individu yang dijangkiti.
Gejala jangkitan biasanya muncul dalam tempoh 5 hingga 14 hari selepas terdedah dan termasuk demam, sakit kepala, muntah, batuk, kesukaran bernafas, sawan, kekeliruan dan kebingungan.
Komplikasi boleh melibatkan radang otak (encephalitis) dan masalah pernafasan, dengan kadar kematian yang dilaporkan antara 40% hingga 75%. Penyakit ini juga diklasifikasikan sebagai wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
KKM menekankan bahawa pemantauan berterusan telah diperkuat melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan PERHILITAN, menggunakan pendekatan One Health bagi memastikan tiada virus Nipah dikesan dalam kalangan haiwan domestik atau liar di Malaysia setakat ini.

Freepik
Orang awam, khususnya pengembara ke kawasan berisiko tinggi, dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri, mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit, dan tidak mengambil produk makanan yang disyaki tercemar. Pengembara yang berasa kurang sihat selepas pulang dari kawasan berisiko disarankan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan.
Walaupun negara bebas daripada kes Nipah sejak 1999, KKM kekal berwaspada terhadap kemungkinan penularan rentas sempadan, terutamanya selepas beberapa negara melaporkan jangkitan sporadik.
Langkah kesiapsiagaan telah dipertingkatkan melalui saringan kesihatan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA), pengukuhan kapasiti makmal, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, pelaksanaan amalan pencegahan dan kawalan infeksi (IPC), serta kerjasama antara agensi bagi melindungi kesihatan awam.
KKM menegaskan bahawa pencegahan, pemantauan, dan kesedaran awam adalah kunci utama bagi memastikan Malaysia kekal bebas daripada penularan penyakit virus Nipah.
Baca juga: Kalau Nak Berubat… Pastikan Perubatan Islam Yang Digunakan Ada Ciri Sahih Ini, ‘NO’ Tempat Gelap!
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
