Aduan berkaitan bau masakan di sebuah kediaman di taman perumahan sekitar Melaka menarik perhatian selepas pihak berkuasa membuat lawatan di sebuah rumah pada pada 9 Disember lalu.
Lawatan tersebut diketuai oleh Clr. Juhari bin Ahmad Salleh, Ahli Majlis MBMB DUN Kesidang, bagi meneliti punca gangguan dan memastikan tindakan susulan dapat diambil demi keselesaan penduduk sekitar.
Baca juga: Permohonan Peperiksaan Perkhidmatan Awam 2026 Dah Buka, Cepat Mohon Sebelum Tarikh Tutup!
JIRAN BUAT ‘REPORT’ TERGANGGU BAU MASAKAN

Gambar: Facebook Melaka Hari Ini
Turut berada di lokasi ialah pegawai daripada Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Kesihatan Persekitaran, wakil Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pegawai kawasan Jabatan Infrastruktur Komuniti dan Logistik MBMB.
Pemeriksaan dibuat selepas jiran mendakwa bau aktiviti memasak dari rumah tersebut mengganggu kawasan perumahan.
Hasil lawatan mendapati pemilik rumah dinasihatkan untuk tidak menjalankan aktiviti memasak dalam kuantiti besar di kediaman.
Mereka juga diminta memastikan pekerja terlibat mendapatkan suntikan tifoid bagi menjaga tahap keselamatan makanan dan kesihatan awam, terutama jika wujud operasi memasak secara komersial dari rumah.

Gambar: Facebook Melaka Hari Ini
Apa kata warga maya?
Isu ini turut mendapat perhatian warga maya dengan pelbagai sudut pandangan. Ada yang meluahkan rasa hairan apabila tindakan seperti ini dianggap berlebihan.
“Masak dalam rumah pun kena serbu… haha haai,” seloroh seorang pengguna.
Namun, ada juga yang berpandangan aduan mungkin dibuat kerana bau kuat dan kekerapan memasak dalam kuantiti besar.
“Jiran-jiran komplen sebab mesti yang memasak tu peniaga. Mereka masak dalam kuantiti banyak di porch. Memanglah jiran rasa tak selesa… berbau la pakaian yang disidai,” kata seorang pengguna yang menyokong tindakan MBMB memantau isu tersebut.
Beberapa netizen pula mencadangkan pemilik rumah mengambil langkah proaktif seperti memasang ducting ekzos yang menghala ke tempat lebih sesuai serta memastikan udara ditapis sebelum dilepaskan.
“Kalau berniaga kena fikir kesesuaian tempat memasak. Buat ducting ekzos fan dan pastikan udara difilter… confirm tak ada isu bau,” cadang seorang pengguna.
Tidak kurang juga yang memberi pandangan lebih santai.
“Masak lebih, offer kiri kanan depan belakang, baru line clear,” tulis seorang lagi secara berseloroh.
Walaupun pelbagai reaksi diberikan, kehadiran MBMB bertujuan menilai kesihatan persekitaran serta memastikan keharmonian kejiranan terus terjaga.
Isu sebegini perlu ditangani dengan bijak oleh kedua-dua pihak, supaya tiada yang terbeban atau terasa.
Baca juga: MyKad, Sijil Lahir & Dokumen Rosak Akibat Banjir? Jangan Panik, JPN Umum Penggantian Secara Percuma!
Sumber: Facebook Melaka Hari Ini
FT Image: Facebook Melaka Hari Ini
