Bagi wanita Muslim, menjalani prosedur MRI boleh jadi agak mencabar kerana perlu menukar pakaian hospital yang nipis, menanggalkan aksesori dan berada dalam bilik yang sejuk. Namun, perkongsian tip oleh Isyida Syahidah di Facebook ini sangat membantu.
Hal ini kerana, ia semuanya berdasarkan pengalaman Isyida sendiri yang mencari cara paling praktikal untuk kekal menutup aurat dengan sempurna. Berikut perkongsian penuh dari Isyida Syahidah.
Baca juga: Ini Kelebihan Botol Wuduk Inovasi Untuk Muslim Moden, Orang Ramai Kena Ada 1 Bawa Dalam Beg!
TIPS MENUTUP AURAT SEMASA MENJALANI PROSEDUR MRI

Gambar: Isyida Syahidah
1. Pakai pakaian yang mudah untuk disalin
- Agar proses menukar pakaian hospital lebih cepat dan tidak menyusahkan.
2. Wajib pakai handsock panjang tanpa sebarang besi atau logo
- Pastikan material tangan panjang itu kain sahaja seperti cotton.
- Elakkan handsock yang ada logo besi kerana ia boleh mengganggu mesin MRI.
- Pilih yang menutup sehingga pergelangan tangan sepenuhnya.
3. Pilih tudung sarung tanpa pin atau sebarang besi
- Elakkan tudung yang ada pin besi, logo besi atau manik metal.
- Tudung sarung adalah pilihan paling selamat.
4. Pakai tudung sarung berwarna gelap & material tebal
- Ini sangat penting kerana anda perlu membuka bra dan memakai baju hospital yang nipis.
- Warna gelap (terbaik: hitam) dan material tebal dapat mengurangkan bayang bentuk badan, terutama bahagian dada.
5. Tudung sarung labuh menutup dada dan hingga pinggang
- Pastikan depan tudung menutupi dada sepenuhnya.
- Bahagian belakang pula biar labuh sehingga pinggang.
- Ini membantu memastikan aurat tetap tertutup walaupun mengenakan baju hospital yang bertali dan nipis.
6. Pakai seluar track tanpa besi
- Supaya anda tidak perlu membuka keseluruhan seluar ketika menukar pakaian.
- Pilih seluar tiada zip besi, butang, atau logo metal.
7. Pakai stokin tanpa besi
- Stokin nampak biasa, tapi pastikan juga tiada elemen besi pada bahagian logo atau perincian.
8. Cabut semua aksesori & getah rambut tiada besi
- Tanggalkan jam, cincin, subang dan semua barang kemas.
- Getah rambut pun pastikan tiada besi kecil.
- Semua ini penting kerana sebarang logam boleh membahayakan ketika mesin MRI beroperasi.

Gambar: Isyida Syahidah
Menurut Isyida, memakai pakaian dengan cara ini bukan sahaja menjaga aurat, tetapi juga melindungi diri daripada kesejukan dalam bilik MRI.
“Cara ini juga bantu anda elakkan diri dari kesejukkan dan keep rasa nak terkencing sebab sejuk uiii dekat dalam itu sementara nak tunggu prosedur berjam-jam tu selesai. At least, awak taklah sehelai sepinggang je. Malu dan segannya tak tahu nak kata…”
Katanya lagi, dalam bilik MRI, jururadiografi tidak semestinya semuanya perempuan, jadi menjaga aurat sangat penting untuk keselesaan dan ketenangan diri.
Perkongsian ini adalah daripada pengalaman peribadinya sendiri dan sangat bermanfaat untuk wanita yang akan menjalani prosedur MRI buat pertama kali.
Moga tip yang dikongsikan ini membantu lebih ramai wanita kekal yakin, selesa dan terjaga aurat walaupun berada dalam situasi rawatan perubatan. Jika anda bakal menjalani MRI, bolehlah bersiap awal dengan panduan ini.
Semoga dipermudahkan urusan semua!
Baca juga: Tak Sangka, 10 Perkara Seharian Seperti Mengumpat Buka Ruang Jin ‘Datang Dekat’ Dengan Kita!
Sumber: Isyida Syahidah
FT Image: Isyida Syahidah
