Dapur

10 Menu Sahur Sepantas Kilat Boleh Siap, Mata Mengantuk Pun Boleh Masak!

190
SHARES

Nampaknya bulan Ramadan sudahpun tiba! Inilah masanya untuk umat Islam seluruh dunia meningkatkan ibadat di samping seronok disajikan dengan pelbagai jenis makanan menarik. Bukan sahaja menu untuk berbuka puasa sahaja perlu menarik, malah menu untuk anda bersahur juga penting untuk menarik minat seisi keluarga untuk bangun di pagi hari.

Tetapi, mungkin ramai dalam kalangan kita yang akan menjadi sedikit malas untuk masak menu yang rumit ketika sahur. Jadi, kami senaraikan 10 menu simple untuk sahur dimana anda tak perlukan bahan-bahan yang rumit pun. Nak masak sambil pejam mata pun boleh!

1. TELUR HANCUR SIMPLE

BAHAN-BAHAN:

2 biji telur

1/ 2 biji bawang merah besar | dicincang

100gm sayur campur

20gm isi ayam

10gm daun sup | dicincang

1 sudu makan mayones

Garam secukup rasa

Sedikit minyak masak untuk menumis

CARA MEMASAK:

-Pecahkan telur ke dalam mangkuk dan pukul hingga sebati. Ketepikan seketika.

-Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah, sayur campur dan isi ayam sehingga masak.

-Kemudian masukkan telur diikuti dengan daun sup. Masukkan sedikit garam.

-Kacau telur sehingga menjadi ketulan kecil. Angkat dan hidangkan mengikut citarasa anda.

2. AYAM LADA HITAM

BAHAN-BAHAN:

500gm isi ayam | hiris kecil

50gm daun bawang

Rempah penumis | bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga

3 biji cili merah | hiris memanjang

1 biji bawang besar | dadu kecil

5 ulas bawang putih | cincang

3cm halia mudah | hiris halus

1 sudu teh lada hitam | kisar kasar

1 sudu makan tomato sos

1 sudu makan sos lada hitam

1 sudu makan kicap pekat manis

Minyak untuk menumis

Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK:

-Panaskan minyak, tumiskan rempah penumis bersama bawang besar, bawang putih dan halia hingga wangi.

-Masukkan ayam, kacau hingga ayam kecut dan airnya agak kering.

-Seterusnya masukkan sos tomato, sos lada hitam, kicap pekat manis.

-Kacau lagi lebih kurang 2-3 minit.

-Kemudian perasakan dengan garam, gula secukupnya.

-Sebelum angkat, masukkan daun bawang, hirisan cili merah dan taburkan dengan serbuk lada hitam.

-Tutup api, angkat dan hidangkan panas-panas.

3. TELUR MASAK SOS MASAM MANIS

BAHAN-BAHAN:

6 biji telur | direbus dan dibuang kulit

200gm bawang merah | dikisar

20gm bawang putih | dikisar

10gm halia | dikisar

50gm serai | dikisar

1 sudu makan cili giling

1 batang kulit kayu manis

3 biji buah pelaga

2 kuntum bunga lawang

1 tin puri tomato

50gm sos cili

50ml air

Garam dan gula secukup rasa

Minyak masak untuk menumis

CARA MEMASAK:

-Panaskan minyak dan tumis kesemua bahan kisar sehingga wangi.

-Kemudian masukkan puri tomato, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang. Kacau rata.

-Seterusnya masukkan sedikit air dan juga garam serta gula secukup rasa.

-Akhir sekali, masukkan telur dan biarkan didih seketika. Sedia untuk dinikmati.

4.SARDIN TELUR

BAHAN-BAHAN:

1 tin kecil sardin

4 biji telur ayam

50gm cili giling

1/ 2 ulas bawang merah besar | dicincang

20gm cendawan | dihiris

1 sudu makan kicap

1 sudu makan asam jawa | dibancuh bersama 50ml air

Sedikit daun sup

Garam secukup rasa

Minyak untuk menumis

CARA MEMASAK:

-Panaskan minyak dan goreng telur mata. Ketepikan seketika.

-Dengan menggunakan kuali yang sama, tumis bawang merah dan cili giling hingga masak.

-Kemudian masukkan hirisan cendawan dan juga ikan sardin.

-Masukkan air asam jawa, gula dan garam secukup rasa.

-Tambahkan sedikit kicap dan juga daun sup. Tuangkan diatas telur yang telah digoreng tadi.

5.TAUFU TELUR SOS CENDAWAN

BAHAN-BAHAN:

2 paket taufu telur | dipotong

2 ulas bawang merah | dicincang

20gm cendawan | dihiris

10gm lobak merah | dihiris halus

2 sudu makan kicap pekat

50ml air

Garam dan gula secukup rasa

Minyak masak secukupnya

Bawang goreng secukupnya

CARA MEMASAK:

-Untuk menghasilkan sos, panaskan minyak dan tumis bawang merah, cendawan dan lobak merah hingga lembut.

-Kemudian masukkan sedikit air, kicap, garam dan gula secukupnya.

-Seterusnya tuangkan sos ke dalam pinggan dan susun taufu diatasnya.

-Masukkan ke dalam periuk kukusan dan kukus selama 10 minit.

-Hidangkan bersama bawang goreng.

6.NASI GORENG BIASA

BAHAN-BAHAN:

175gm nasi putih

2 ulas bawang putih |ketuk

3 sudu makan cili boh

1 biji telur

100gm isi ayam | potong nipis

100gm udang | bersihkan

100gm sotong | hiris

100gm sawi | potong

100gm kubis cina | potong

Garam secukupnya

Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

-Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang putih yang telah diketuk bersama cili boh sehingga naik bau.

-Pecahkan dan masukkan telur, garam , isi ayam, sotong, udang, hirisan sawi dan kubis cina. Gaul seketika.

-Setelah itu masukkan nasi gaul hingga rata.

-Angkat dan sedia dihidangkan.

7. IKAN TAMBAN MASIN GORENG CILI API

BAHAN – BAHAN :

300gm ikan tamban masin

150gm bawang besar | dihiris bulat

100gm cili padi | diracik halus

1 biji limau nipis | diambil jusnya

Minyak masak secukupnya

CARA MEMASAK :

-Panaskan minyak dan goreng ikan tamban hingga garing. Ketepikan.

-Gorengkan bawang besar dan cili api hingga layu. Angkat dan toskan minyak.

-Taburkan bahan yang telah digoreng tadi ke atas ikan tamban. Perahkan jus limau nipis di atasnya. Sedia dimakan.

8.IKAN BILIS SAMBAL GARING

BAHAN-BAHAN:

250gm ikan bilis | digoreng garing

1 biji bawang besar | dikisar

15 tangkai cili kering | dikisar

Garam secukup rasa

Bahan perasa secukupnya

Minyak untuk menumis secukupnya

CARA MEMASAK:

-Panaskan minyak masak di dalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar sehingga pecah minyak.

-Selepas itu masukkan garam secukup rasa dan bahan perasa secukupnya. Kacau sehinga rata.

-Akhir sekali, gaul dengan ikan bilis tadi seketika. Angkat dan sedia dihidangkan.

9.IKAN TENGGIRI SINGGANG

BAHAN-BAHAN:

3 potong ikan tenggiri

2 inci lengkuas, potong dan ketuk

3 biji bawang merah, hiris nipis

2 ulas bawang putih, hiris nipis

1-2 keping asam gelugor

5-6 biji cili padi

4 batang sayur bendi

Garam dan gula secukup rasa

Serbuk perasa (jika suka)

CARA MEMASAK :

-Bersihkan ikan dan toskan.

-Rebus air dalam anggaran 3 cawan dan masukkan lengkuas, bawang merah, bawang putih sehingga mendidih.

-Masukkan ikan tenggiri, asam gelugor, cili padi dan diikuti sayur bendi di akhir sekali. Rebus sehingga ikan betul-betul masak.

-Perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Sedap jika dihidangkan bersama nasi panas dan budu.

10. NASI GORENG AYAM

BAHAN-BAHAN:

175gm nasi putih

2 ulas bawang putih – ketuk

3 sudu cili boh

1 biji telur

100gm sawi – potong

100gm kubis cina – potong

Garam secukupnya

1 ketul ayam ( paha / dada )

Minyak untuk menggoreng secukupnya

CARA MEMASAK

1.Untuk memasak nasi goreng; Panaskan minyak, tumis bawang putih yang telah diketuk bersama cili boh sehingga naik bau.

2.Masukkan telur, garam, sawi dan kubis cina.

3.Masukkan nasi gaul hingga rata. Angkat dan ketepikan.

4.Untuk memasak ayam, panaskan minyak dan goreng ayam yang telah diperap bersama serbuk kunyit dan garam. Angkat dan sedia dihidangkan bersama nasi goreng.

Pilih saja nak masak apa untuk sahur nanti!

Sumber: Daily Makan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×