Bersalin

Cara Mendaftar Kelahiran Bayi Anda Di JPN. Denda RM1,000 Bagi Yang Lewat

1.8K
SHARES

“Tak lama lagi isteri aku dah nak bersalin. Nanti macam mana prosedur nak mendaftar kelahiran anak nanti ya?”

Pada Oktober 2017 baru-baru ini, media sosial menjadi sedikit gempar apabila Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengumumkan bahawa ibu bapa yang lewat mendaftar kelahiran anak akan dikenakan denda sebanyak RM1,000 berbanding RM50 yang berkuatkuasa serta-merta. Denda ini ditetapkan untuk menggalakkan ibu bapa supaya mendaftarkan kelahiran anak mereka dengan cepat dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagi pasangan yang baru pertama kali menimang cahaya mata, anda mungkin tertanya-tanya apa yang patut dilakukan untuk mendaftar kelahiran bayi. Di sini kami senaraikan serba sedikit info yang berkaitan sebagai persediaan agar anda dapat memudahkan urusan anda kelak.

9 Petua Mudah Bersalin, Agar Lancar Melahirkan Bayi

Foto Kredit: texillaconnect.com

Cara Mendaftar Kelahiran Bayi Di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

1. Daftar Sebelum 60 Hari

Buat pengetahuan semua ibu bapa, setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia hendaklah didaftarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kelahiran kanak-kanak tersebut. Sebelum ini, tempoh pendaftaran mesti dibuat dalam tempoh 42 hari.

Walaubagaimanapun, denda yang tertakluk kepada Akta 299 ini tidak tertakluk di Sabah dan Sarawak. Ini bermakna, tidak timbul isu membebankan mereka yang tinggal di pedalaman kerana kedua-dua negeri tersebut menggunakan ordinan masing-masing. Selain itu, denda ini juga boleh dikurangkan atau diberi pelepasan kepada pendaftar yang mengalami masalah atau kes-kes tertentu yang tidak dapat dielakkan.

2. Individu Yang Boleh Mendaftar

Menurut laman web Jabatan Pendaftaran Negara, individu yang boleh memaklumkan kelahiran bayi anda adalah:

  • Bapa kanak-kanak
  • Ibu kanak-kanak
  • Orang yang tinggal serumah di mana kanak-kanak dilahirkan
  • Mana-mana orang yang menyaksikan kelahiran itu
  • Mana-mana orang yang menjaga kanak-kanak.

Jadi, kalau ibu dan ayah tak berkesempatan, masih boleh wakilkan orang lain asalkan semua dokumen yang diperlukan diisi dan dikemukakan selengkapnya.

3. Dokumen Yang Diperlukan

Pemohon yang ingin mendaftar kelahiran anak dikehendaki hadir ke mana-mana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara dengan membawa dokumen-dokumen berikut:

Dokumen Bayi (Salinan Dan Asal)
  • Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang diisi dengan lengkap
  • Borang Pengesahan Kelahiran daripada hospital atau Surat Akuan Bidan/Doktor bagi kelahiran di rumah
  • Kad Pranatal (Buku Rawatan Mengandung)

>Dokumen Ibu Bapa (Salinan Dan Asal)<

  • Kad Pengenalan / Pasport ibu dan bapa kanak-kanak
  • Sijil Kematian ibu dan bapa kanak-kanak (jika berkaitan)
  • Sijil Perkahwinan atau Perceraian

Dokumen Pemaklum / Wakil Ibu Bapa (Salinan Dan Asal)

  • Kad Pengenalan / Pasport

Foto Kredit: Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia

4. Bayaran Pendaftaran

Tiada bayaran dikenakan bagi ibu bapa yang mendaftar dalam tempoh yang ditetapkan.

5. Bagaimana Dengan Kelahiran Anak Tak Sah Taraf / Anak Luar Nikah?

Menurut laman web Jabatan Pendaftaran Negara, maklumat bapa bagi kanak-kanak yang lahir di luar perkahwinan tidak akan dicatatkan dalam daftar kelahiran, kecuali dengan permohonan bersama oleh ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa kanak-kanak tersebut.

Seseorang yang mengaku sebagai bapa kepada kanak-kanak tersebut perlu menandatangani daftar kelahiran bersama-sama  dengan ibu kanak-kanak.

cara daftar kelahiran anak

Foto Kredit: sinarharian.com.my

6. Cara Mendapatkan MyKid

Bila dah siap sijil kelahiran, anda boleh terus memohon MyKid di pejabat JPN. Berbanding sijil kelahiran, MyKid lebih mudah dibawa ke mana-mana dan ia mengandungi teknologi keselamatan untuk mengelakkan ia disalahguna.

Dokumen sokongan yang diperlukan adalah:

  • Sijil Kelahiran Malaysia/ Borang W (asal)
  • Dokumen Pengenalan diri pemohon (Ibu atau bapa)

Jangan Berlengah Lagi!

Prosedur pendaftaran ini selalunya tidak mengambil masa yang lama. Malah, ia boleh siap dalam masa beberapa minit sahaja asalkan semua borang dan dokumen lengkap.

Bila dah ada dokumen kelahiran anak, mudahlah nak membuat urusan berkaitan kesihatan anak, vaksinasi, keselamatan, dan sebagainya.

Jadi, jangan lengahkan pendaftaran ya. Kalau ada kemusykilan, boleh bertanya dengan pegawai di kaunter atau hubungi Jabatan Pendaftaran Negara di cawangan negeri masing-masing.

Untuk maklumat lanjut, layari www.jpn.gov.my

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×