Nur

Cara Daftar Nikah Di Pejabat Agama, Panduan Bagi Pasangan Bakal Berkahwin

19.9K
SHARES

Bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga, penting untuk tahu prosedur mendaftar pernikahan di Pejabat Agama. Bukan apa, kalau kita faham langkahnya, mudahlah nak merancang apa yang diperlukan dalam jangka masa yang ditetapkan. Kalau tanya dengan Mak-mak kita, mungkin prosesnya berbeza sebab sekarang dah menggunakan sistem baru / online.

Dalam artikel kali ini, kami berbesar hati menyiarkan perkongsian Cik Nur Madihah. Selama menjalani praktikal di Pejabat Agama, memang kerjanya hari-hari berkaitan dengan borang-borang nikah kahwin. Sampai kena buat nota dan tempek di dinding kaunter untuk ingat semua proses ini.

Semoga perkongsian ini dapat menjadi panduan dan memudahkan anda yang bakal berkahwin. Mari kita semak prosesnya.

8 Prosedur Daftar Nikah Di Pejabat Agama, Panduan Bagi Pasangan Bakal Berkahwin

1. Layari Laman Web SPPIM (Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia)

Permohonan Kebenaran Berkahwin Online  melalui www.sppim.gov.my setakat 2017 ini meliputi permohonan yang dibuat di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Bagi negeri yang tidak disebutkan, bolehlah terus membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran berkahwin melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri masing-masing.

Bila dah ke laman web SPPIM, anda akan nampak paparan begini di halaman utama.

cara daftar nikah

Seterusnya klik pada ikon Benar Nikah Online dan isi maklumat diri sendiri & pasangan.

  • Bila dah siap isi, simpan nombor rujukan permohonan yang diberikan dari laman web ini.
  • Nombor rujukan ini penting sebab akan digunakan setiap kali log in.
  • Borang boleh dikemaskini dan diperbetulkan selagi belum diproses oleh Pejabat Agama.

2. Periksa Pasangan Lelaki Tinggal Di Daerah Mana

Daerah Sama:

Jika pasangan lelaki tinggal di daerah sama dengan perempuan, bakal pengantin lelaki dan perempuan kena hantar borang nikah online tadi ke Pejabat Agama dalam tempoh 30hari / sebulan sebelum tarikh akad nikah.

Daerah / Negeri Berbeza :

Tapi kalau daerah / negeri lelaki berbeza dengan perempuan, bakal pengantin lelaki mesti menghantar borang nikah ke Pejabat Agama dalam tempoh 90 hari/3 bulan sebelum tarikh akad nikah.

3. Hantar Borang

Sebelum hantar borang, pastikan borang dah ditandatangan oleh Imam Masjid Kariah dan ada cop. Kemudian, bawa juga beberapa dokumen lain ke pejabat agama beserta dengan borang online yang dah disahkan tadi.
Boleh rujuk gambar kat bawah.

Bagi lelaki:

Bagi perempuan:

  • Kalau di negeri Kedah, pasangan kena baca ikrar. Negeri lain saya tak pasti pula macam mana.
  • Lepas dah settle, kena bayar RM15 (seorang) untuk mohon borang kebenaran berkahwin. Kalau 2 orang iaitu kalau SAMA daerah kena bayar RM30 ya.
  • Borang kebenaran berkahwin selalunya siap dalam masa seminggu, bergantung kepada pejabat agama negeri masing-masing.

4. Bagi Borang Kebenaran Pada Pihak Perempuan

Selepas seminggu, boleh minta pihak lelaki ambilkan borang tersebut dan bagi kepada pihak perempuan. Ini kalau daerah/ negeri lelaki yang BERBEZA dengan pihak perempuan.

Tapi kalau daerah/negeri yang SAMA dengan pihak perempuan, boleh terus bagi kepada Imam Masjid Kariah untuk akad nikah.

5. Bagi Pihak Perempuan Yang Berbeza Daerah

Berbalik kepada tadi, bagi pasangan yang BERBEZA daerah, pihak perempuan perlu bawa borang-borang lelaki yang dah disahkan oleh Pejabat Agama tadi ke Pejabat Agama daerah perempuan dalam tempoh sebulan sebelum akad nikah.

  • Lepas seminggu, Pejabat Agama akan bagi borang kebenaran nikah untuk pihak perempuan.
  • Seterusnya, bawa pulak borang ini kepada Imam Masjid Kariah untuk akad nikah.

6. Akad Nikah

Masa akad nikah, Tok Kadi / Tok Imam akan bagi Surat Nikah Sementara.

Pasangan wajib semak maklumat dalam Surat Nikah Sementara ini. Pastikan nombor IC semua betul, ejaan nama tiada kesilapan, dan sebagainya. (PENTING sebab maklumat dalam dokumen ini akan digunakan untuk buat Sijil Nikah.)

Kemudian bawa Surat Nikah Sementara ke Pejabat Agama DAERAH PEREMPUAN untuk buat Sijil Nikah. Kenapa mesti daerah perempuan? Sebab ikut tempat akad nikah.

7. Proses Memohon Sijil Nikah

Untuk memohon Sijil Nikah,

  • Bawa surat nikah sementara (asal + salinan)
  • IC sendiri, IC pasangan & IC wali
  • Bayar RM20 untuk sijil nikah.
  • Tempoh siap biasanya sebulan atau kurang. Bergantung kepada negeri masing-masing.

Seeloknya, fotostat sijil nikah tadi, lipat dan simpan dalam dompet. Sijil Nikah asal boleh simpan dalam fail. Bukan apa, manalah tahu kalau kena serbu dengan Pegawai Agama, adalah bukti Sijil Nikah yang sentiasa dibawa bersama. Sebab masa ini Kad Kahwin belum dapat lagi.

8. Proses Memohon Kad Kahwin

Akhir sekali, bila dah dapat Sijil Nikah, eloklah buat Kad Kahwin pula. Saiznya yang lebih kecil seperti saiz kad pengenalan memudahkan anda membawa kad tersebut bersama ke mana-mana sebagai bukti perkahwinan.

Sediakan bayaran RM40 untuk sepasang pasangan. Nanti Pejabat Agama akan bagi senarai dokumen yang perlu dibawa untuk mohon Kad Kahwin.

Alhamdulillah, Selesai…

Tidaklah rumit sangat kan? Apapun, sistem ini dari segi jumlah bayaran dan lain-lain ialah berdasarkan waktu saya praktikal pada tahun lalu iaitu tahun 2016. Tahun ini mungkin sistem dah update, jadi mungkin ada sedikit perubahan.

Boleh call Pejabat Agama dulu ya untuk dapatkan lebih kepastian, sebab sistem di setiap Pejabat Agama berbeza mengikut negeri.
Dipersilakan share bagi meringankan kerungsingan semua.

Selamat berkahwin!

 

*Perkongsian ini disumbangkan oleh Cik Nur Madihah dan ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh rujuk post asal di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×