Nur

5 Sunnah Hari Raya Yang Patut Menjadi Kebiasaan Anak-anak

345
SHARES

“Yeayy esok Raya, yeayy esok Raya!”

Antara yang paling gembira menyambut kedatangan Hari Raya dah tentulah budak-budak. Walaupun ada yang masih belum faham erti Aidil Fitri, mereka dah tahu bahawa ia adalah perayaan yang amat meriah. Yalah, boleh pakai baju baru, makan sedap-sedap, dan dapat pula banyak duit raya.

Sebagai ibu bapa, seeloknya kita ajarkan anak serba-sedikit amalan sunnah yang mudah dan boleh mereka lakukan.

5 Amalan Sunnah Hari Raya Yang Patut Kita Biasakan Pada Anak

1. Bertakbir

Biasakan anak untuk memuliakan kedatangan Aidilfitri dengan bertakbir dan bukannya bermain mercun, menyanyi karaoke, berpesta atau menonton pelbagai rancangan televisyen hingga larut pagi.

Bertakbir adalah perbuatan melafazkan kebesaran Allah yang akan berkumandang di televisyen dan di surau atau masjid menjelang masuknya bulan Syawal. Bukan sekadar menyerlahkan kemeriahan Aidil Fitri, tetapi takbir sebenarnya dilaungkan bagi melahirkan rasa kesyukuran atas kebesaran Allah, sesuai dengan maksudnya.

2. Mandi Sunat Aidil Fitri

Bila masing-masing teruja nak mandi awal pagi untuk pakai baju baru, jangan lupa ingatkan anak supaya berniat mandi sunat Aidil Fitri.

Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan. Di Hari Raya ini, perbuatan membersihkan diri, memotong kuku, memakai baju yang elok, serta berwangi-wangian juga termasuk sebahagian daripada amalan yang dianjurkan oleh Islam.

Cara Mandi Wajib Yang Betul, Untuk Lelaki & Perempuan Dari JAKIM

Foto Kredit: patdolanplumbing.com

3. Makan Sedikit Sebelum Ke Masjid

Sebelum ke masjid untuk menunaikan Solat Sunat Aidil Fitri, seeloknya jamah sedikit makanan, seeloknya dengan buah kurma dengan bilangan yang ganjil ; iaitu 1,3,5,7 biji dan seterusnya.

Simboliknya, ini adalah untuk membezakan Hari Raya Aidil Fitri dengan hari-hari di mana kita berpuasa sebelumnya.

Berbeza dengan Hari Raya Aidil Adha, kita disunatkan untuk makan selepas Solat Sunat Aidil Adha.

4. Bermaafan & Mengucapkan Selamat

Hari Raya adalah hari kemenangan, hari untuk menzahirkan kegembiraan, serta hari melupakan segala persengketaan. Budayakan amalan bermaafan agar ia menerbitkan rasa rendah hati dan kasih sayang dalam jiwa anak-anak.

Di samping itu, ajarkan anak agar melafazkan ucapan ‘Selamat Hari Raya’ dengan seeloknya dan turut mendoakan yang baik-baik sesama sendiri. Bukannya sekadar ‘Mat ri ye’, SHRMZB, dan macam-macam trend hipster di media sosial pada zaman kini.

Untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, sepatutnya suasana Aidil Fitri dipenuhi dengan ucapan selamat serta doa antara satu sama lain.

Kalimah yang sering dilazimi adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” yang bermaksud “Semoga Allah menerima amalan (ibadah di bulan Ramadhan) kami dan kamu”.

Foto Kredit: shababweekly.net

5. Berziarah Sesama Muslim

Zaman kini kita tengok ramai anak remaja yang ‘malas’ pergi beraya. Tinggal kaum mak ayah saja yang saling berziarah. Anak-anak duduk di rumah menghadap TV.

Kalau ikut pun, asyik tengok handphone saja. Seolah-olah macam tengah ‘beraya’ dengan kenalan di media sosial sampai terlupa menyambut Hari Raya di dunia sebenar.

Sempena musim cuti ini sepatutnya anak-anak turut diajak untuk berziarah dan mengenal saudara-mara dengan lebih rapat.

Sabda Nabi SAW:

Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya dan ditangguhkan (dipanjangkan) umurnya, maka hendaklah dia menyambung hubungan persaudaraannya. (HR Bukhari & Muslim)

Foto Kredit: klaud9.com

Dalam Kegembiraan, Sunnah Juga Dihidupkan

Aidil Fitri bukan sekadar untuk bersuka ria. Sunnah yang mudah ini tentunya boleh kita ajarkan pada anak-anak dari sekecil usia.

Selain menambah pahala di bulan yang mulia ini, sedikit sebanyak anak-anak juga akan lebih memahami kemuliaan Syawal yang diraikan setiap tahun.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×