Tular satu video yang memaparkan kisah sepasang adik-beradik bertukar ganti kasut sekolah di antara satu sama lain di salah sebuah sekolah rendah di Kota Bau Bau, Sulawesi Tenggara, memetik laporan daripada Suara.com. Sebak dibuatnya…
Baca juga: [VIDEO] Ayah Ajar Anak Perempuan Surfing Dipuji Ramai, Dapat 1 Juta Tontonan!
KERANA KASUT ROSAK, DUA BERADIK GILIR-GILIR TUKAR KASUT KE SEKOLAH
Dalam video yang dimuat naik oleh Tribunwow Official menunjukkan dua beradik itu bertukar kasut apabila mereka pergi ke sekolah. Sudah menjadi perkara wajib untuk pelajar sekolah memakai pakaian formal yang lengkap, jadi dua beradik itu sanggup berkongsi kasut. Mereka terpaksa berbuat demikian kerana kasut salah seorang daripada adik-beradik itu telah rosak.
Dua beradik tersebut yang bernama Nadia Blink (kakak) yang berusia 11 tahun dan adiknya Riski Blink yang berusia 9 tahun masing-masing masih lagi di peringkat sekolah rendah.
Mereka dikatakan sudah berkongsi kasut sejak beberapa bulan yang lalu. Disebabkan waktu persekolahan mereka adalah berbeza, iaitu pagi dan petang maka dua beradik itu boleh berkongsikan kasut tersebut.
Namun apa yang menyedihkan adalah, sekiranya ada jadual waktu persekolahan yang memerlukan mereka masuk pada waktu yang sama, akan ada di antara mereka yang terpaksa mengalah untuk memakai kasut tersebut.
“Kalau saya masuk pukul 10 pagi saya akan tunggu dia selesai dulu.” kata Nadia kakaknya.
“Semangat mereka berdua nak sekolah sangat luar biasa, walaupun sepasang kasut itu terpaksa diguna pakai secara bergilir-gilir.” kata Waode, salah seorang penduduk Baubau.
DAPAT BANTUAN KETUA POLIS
Sudah pasti, perbuatan dua beradik itu yang saling berkongsi kasut menjadi bahan ejekan rakan-rakan mereka di sekolah. Sementara itu, Ketua Polis Baubau, AKBP Rio Takari, amat terharu dengan situasi menyentuh hati dua beradik itu.
“Saya sangat terharu saat membayangkan masa kecil saya yang turut ada pengalaman yang lebih kurang sama seperti mereka, dan saya ingin memberi semangat kepada mereka.”
“Saya mahu mereka kekalkan semangat di tengah-tengah keterbatasan, percayalah Allah itu Maha Baik dan Maha Hebat dalam segala jalanNya, memberikan pertolongan kepada umat-Nya yang ingin mencuba,” kata Ketua Polis Baubau itu.
Mendengar cerita adik-beradik itu, Ketua Polis Baubau kemudiannya telah menghulurkan bantuan. Beliau turut membeli peralatan sekolah dan memberikan motivasi serta dorongan agar kedua-duanya meneruskan pelajaran walaupun berada dalam keadaan yang penuh dengan kesukaran.