Menggemparkan, kejadian berlaku di Butterworth, Pulau Pinang di mana satu video yang memaparkan seorang lelaki memberi minuman tin dipercayai arak kepada seorang bayi tular dalam media sosial hari ini sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Tak Sedar, Anak Dah Jamah Seekor Lipas…
TULAR VIDEO BERI BAYI MINUMAN KERAS
Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an sedang memangku bayi sambil menyuapkan minuman berkenaan yang tertera label jenama minuman keras. Turut kedengaran di dalam video itu adalah suara wanita.
Insiden itu didakwa berlaku di sebuah flat di Teluk Bahang, Balik Pulau dekat sini, namun setakat ini tidak dapat disahkan kesahihannya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshel berkata, pihaknya membuat laporan polis di Perai di sini hari ini selepas melihat video tersebut.
Menurut kenyataan yang dilaporkan Utusan Malaysia, laporan sudah dibuat supaya pihak polis dapat membuat siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pelaku di bawah peruntukan undang-undang.
“Perbuatan terkutuk ini harus dihentikan dan bayi tersebut juga perlu dijauhkan daripada lelaki yang tidak bertanggungjawab itu,”
Bukan itu sahaja, pihak Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia juga turut meminta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengambil tindakan segera bagi melakukan pemeriksaan dan membuat ujian darah terhadap bayi itu untuk memastikan dia tidak terdedah dengan kandungan alkohol.
Sumber: Utusan Malaysia