Sihat

Tongkat Ali : Khasiat, Kelebihan & Kesan Sampingan Kepada Kesihatan

38
SHARES

Tongkat Ali: Kegunaan, Kelebihan, Risiko & Kesan Sampingan

Bila sebut sahaja tentang Tongkat Ali, perkara pertama yang terlintas di fikiran kita ialah kemampuan herba ini dalam meningkatkan kemampuan seksual lelaki.

Tambahan pula, terdapat banyak produk berasaskan Tongkat Ali yang berada di pasaran dari kapsul, akar kering hinggalah ke kopi 3 dalam 1.

Rata-rata semua produk ini dijenamakan sebagai ‘produk kuat’ khas untuk lelaki.

Tapi, tahukah anda bahawa ia bukanlah sejenis tumbuhan yang hanya dikhususkan khasiatnya untuk lelaki. Malah, khasiat Tongkat Ali juga sudah lama dikenalpasti kerana penggunaannya yang meluas dalam rawatan tradisional secara turun-temurun.

Ia bukan sahaja popular di Malaysia, malah ia turut digunakan sebagai ramuan penawar tradisional di Indonesia, Myanmar dan Thailand.

Biasanya, ia digunakan secara tradisional bagi merawat penyakit seperti demam, sengal-sengal badan dan sakit kepala.

Kelebihan Tongkat Ali juga sudah dikenalpasti secara lebih mendalam melalui penyelidikan sains.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang Tongkat Ali dan kebaikan serta kesan pengambilannya.

Apakah Tongkat Ali?

Menurut kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di Malaysia terdapat empat spesis pokok tongkat ali dengan panggilan yang berbeza-beza oleh masyarakat setempat.

Antaranya ialah

  • Eurycoma longifolia (spesis popular yang digunakan untuk perubatan)
  • Eurycoma apiculate
  • Goniothalamus sp. 
  • Polythia bullata

Helaian daun pokok tongkat ali berbentuk bujur dan terbit berpasangan secara majmuk pada tangkai.

Habitatnya subur bersama pokok-pokok lindungan di dalam hutan. Bunganya berjuntaian panjang berwarna perang serta mempunyai akar tunjang yang jauh menjunam ke dalam bumi.

Kegunaan / Kelebihan Tongkat Ali

Pada masa lalu, akar tongkat ali direbus sebagaimana menyediakan ubat periuk, di mana rebusan itu kemudiannya diminum dengan rasa yang pahit dan maung.

Namun melalui kajian saintifik, akarnya dihancurkan dan direbus untuk menghasilkan ekstrak larutan air tongkat ali.

Air rebusan itu dikeringkan untuk menghasilkan serbuk dan seterusnya dimasukkan ke dalam kapsul (bukan habuk dari kayu atau akarnya).

Pokok tongkat ali dikatakan dapat mengembalikan tenaga batin dan membunuh virus di dalam tubuh serta melegakan sengal-sengal dengan cara mengamalkan memakan ubat yang mempunyai tongkat ali.

Namun, lebih banyak kajian telah dilakukan dan beberapa khasiat Tongkat Ali telah ditemui secara saintifik dan spesifik:

1.. Mengurangkan Rasa Letih & Membaiki Komposisi Tubuh

Tongkat Ali  mengandungi komposisi eurycomaside, eurycolactone dan eurycomanone yang dapat membantu badan menggunakan tenaga dengan lebih efisien, mengurangkan rasa lesu dan meningkatkan stamina.

Dengan erti lain, sebatian ini bertindak membaiki prestasi fizikal di samping membaiki komposisi tubuh.

Sebuah kajian yang dijalankan mendapati pengambilan 100mg ekstrak Tongkat Ali selama 5 minggu memberikan peningkatan yang sangat baik dalam meningkatkan jisim badan serta mengurangkan kandungan lemak dalam badan.

2. Membantu Mengawal Stres

Kajian membuktikan Tongkat Ali mampu mengurangkan paras hormon kortisol iaitu hormon yang menyebabkan seseorang rasa stres, fikiran bercelaru, bimbang dan cemas.

Ia juga didapati berkesan dalam meningkatkan ‘mood’ seseorang. Para saintis juga berpendapat bahawa Tongkat Ali memiliki fungsi yang sama dengan ubat anti-keresahan bagi mengurangkan rasa kegelisahan.

3. Mencegah Tumor / Kanser

Kajian mendapati Tongkat Alijuga sesuai diamalkan oleh wanita bagi mencegah kanser payudara. Sebatian kuasinode dari daun Tongkat Ali didapati memiliki kandungan perencatan pengaktifan virus Epstein-Barr yang menggalakkan penghasilan tumor dalam badan.

8 jenis sebatian dalam Tongkat Ali juga menunjukkan kesitotoksikan kuat bagi melawan kanser payudara.

4. Meningkatkan Tenaga Seksual Lelaki

Seperti yang kita sedia maklum, Tongkat Ali sentiasa menjadi pilihan bagi merawat masalah tenaga batin lelaki. Kajian terperinci juga telah menunjukkan kesan yang positif hasil penggunaan tongkat Ali.

Masalah hormon testosteron yang rendah pada kaum lelaki boleh mengakibatkan masalah lain seperti libido rendah, disfungsi ereksi dan ketidaksuburan.

Dalam satu kajian yang dijalankan, 90% daripada keseluruhan lelaki yang memiliki testosteron rendah dalam kajian memberikan keputusan kadar hormon yang normal selepas mengamalkan Tongkat Ali.

Di samping itu, ia juga didapati dapat membaiki disfungsi ereksi, meningkatkan rangsangan seksual serta meningkatkan kualiti sperma.

Baca juga: 5 Cara Meningkatkan Kesuburan Lelaki & Kualiti Sperma – Dr Hamid Arshat

Risiko, Kesan Sampingan & Cara Pengambilan

DOS YANG DISARANKAN: Menurut pakar perubatan tumbuhan herba, dos yang disyorkan bagi penggunaan Tongkat Ali secara harian ialah antara 50 ke 100 mg sahaja.

KESAN PENGAMBILAN BERLEBIHAN: Antara kesan sampingan pengambilan Tongkat Ali secara berlebihan ialah :

  • Kelakuan yang lebih agresif berbanding biasa seperti mudah marah.
  • Kegelisahan akibat tahap tenaga yang terlalu tinggi sehingga boleh mengakibatkan sukar untuk tidur.
  • Meningkatkan kadar toksik pada organ seperti hati, ginjal, limpa dan testis.

Terdapat lambakan produk Tongkat Ali yang berada di pasaran.

Produk Tongkat Ali moden seperti teh dan kopi pracampuran juga dikhuatiri boleh mengakibatkan kesan sampingan kepada pengguna.

Tambahan pula, sesetengah supplemen Tongkat Aliyang dijual di farmasi juga mengandungi kandungan merkuri dan lead yang tidak menepati kualiti ubatan tradisional Malaysia.

CARA PENGAMBILAN: Menurut pakar perubatan herba, cara terbaik dalam mengamalkan Tongkat Ali ialah dengan air rebusan akar.

Penggunaan Tongkat Ali sebagai ramuan perubatan tradisional telah lama diamalkan sejak dahulu.

Dengan pendekatan teknologi, pelbagai sebatian aktif yang berharga dijumpai dalam Tongkat Ali terbukti berkesan dalam merawat pelbagai penyakit selain memulihkan tenaga batin.

Yang penting, pastikan anda membeli dengan sumber yang dpercayai dan dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum anda amalkan.

Rujukan :

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×