Bersalin

‘Jangan Terkejut Susu Bertambah Walaupun Puasa’, Kaunselor Laktasi Kongsi 10 Tips Penyusuan Di Bulan Ramadhan

2.7K
SHARES

Seperti juga wanita mengandung, menyusu badan juga memberi cabaran tertentu kepada wanita untuk berpuasa. Antara keluhan atau kerisauan ibu adalah keletihan dan kekurangan susu badan di bulan Ramadhan ini.

Walaupun ibu menyusu termasuk antara golongan yang diberi keringanan atau rukhsah puasa, ada beberapa perkara yang ibu perlu faham dan boleh cuba lakukan untuk menjayakan penyusuan di bulan Ramadhan ini.

Berikut kami kongsikan beberapa tips berguna dan pengalaman beliau sendiri khas untuk ibu menyusu oleh Puan Syafawati Noorhafizah, seorang ibu dan juga kaunselor penyusuan susu ibu.

Menjayakan Penyusuan Susu Ibu Di Bulan Ramadhan

Ramadhan datang lagi, bulan barakah yang dinanti-nantikan semua. Individu yang beragama Islam wajib menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang disyariatkan seperti dalam Rukun Islam yang ketiga.

Begitu juga ibu-ibu yang menyusukan anak. Namun, ada RUKHSAH PUASA yang diberi kepada golongan ini.

Rukhsah Berpuasa Bagi Ibu Menyusu

Menurut Imam Syafie, rukhsah bermaksud kelonggaran yang diberikan untuk ibu-ibu berbuka puasa atas sebab-sebab berikut:

1. Risau tentang diri sendiri

Bila mana ibu yang menyusukan anaknya, merasakan mudarat pada dirinya asbab berpuasa sehingga mengganggu kesihatannya untuk meneruskan diri berpuasa.

Ibu juga boleh mendapatkan nasihat dari doktor jika khuatir dengan tahap kesihatan diri apetah lagi dalam masa yang sama perlu melaksanakan tanggungjawab menyusukan anak.

Jadi, ibu-ibu perlu kenal pasti tanda-tanda dehidrasi yang tidak membolehkan ibu-ibu untuk terus berpuasa seperti:
-rasa terlalu dahaga
-air kencing berbau & berwarna gelap
-pitam, pening
-sering sakit kepala

Bagi ibu yang tidak mampu untuk meneruskan puasa atas alasan ini, hanya perlu ganti (qadha) puasanya kemudian nanti mengikut bilangan hari puasa yang telah ditinggalkan semasa bulan Ramadhan.

2. Risau tentang anak

Dalam keadaan ini, ibu mampu berpuasa namun khuatir akan kesan serta membahayakan kepada anak yang disusukan. Bila mana mungkin anak ada tanda-tanda tidak cukup susu seperti:
-menangis yang berpanjangan
-bilangan kain pakai buang yang kurang dan juga ringan dari biasa
-warna najis anak kehijauan
-air kencing bayi berwarna gelap
-berat badan bayi menurun atau tiada peningkatan

Atas asbab ini, ibu boleh mengambil rukhsah puasa yang diberikan dan perlu ganti (qadha) puasa mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkan semasa bulan Ramadhan. Selain itu, ibu juga perlu membayar fidyah.

Namun, rukhsah puasa ini tidak terpakai apabila:

  • Ibu menyusu sudah memberi anaknya susu formula kerana ibu sentiasa ada pilihan untuk memberi susu formula pada bila-bila masa sahaja.
  • Dan juga tidak dibolehkan rukhsah puasa ini diguna pakai oleh ibu yang banyak stok susu yang boleh diberi minum pada anaknya ketika dalam tempoh berpuasa.
  • Juga pada ibu menyusu yang anaknya sudah mencapai umur 1 tahun dan ke atas kerana fokus utama adalah pada pemakanan anak dan susu ibu hanya sampingan.

Jadi, dapat disimpulkan bahawa ibu yang menyusu boleh cuba untuk berpuasa dahulu di bulan Ramadhan seperti biasa.

Namun, jika dirasakan perlu, bolehlah ambil mana-mana rukhsah puasa yang bersesuaian mengikut keadaan dan situasi seperti yang diterangkan tadi.

Janganlah juga ibu-ibu menyeksa diri sendiri untuk terus berpuasa padahal sudah ada tanda-tanda yang merisaukan kepada diri ibu sendiri ataupun pada anak.

Islam itu indah dan Allah itu Maha Adil asbab itu adanya rukhsah puasa diberikan kepada golongan tertentu.

Wallahu’alam.

Foto Kredit: aia.com.my

Pengalaman Menyusu Ketika Berpuasa

Alhamdulillah dari 2015 sehingga 2018, saya mampu untuk berpuasa penuh 30 hari di bulan Ramadhan dalam keadaan yang berbeza:

  • 2015 sarat hamil 32w+
  • 2016 awal kehamilan
  • 2017 menyusu anak bawah 6 bulan
  • 2018 menyusu anak 1 tahun lebih

Setiap fasa ada cabarannya yang tersendiri.

Ingin saya kongsikan di sini, tips-tips berpuasa untuk manfaat bersama.

10 Tips Menyusu Badan Ketika Berpuasa

1. Niat

Niat berpuasa atas melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Bukan kerana hendak turunkan berat, tujuan hendak cantik melaram di hari raya dan sebagainya.

Perbetulkan semula niat ibu, jika terlintas seperti yang saya nyatakan.

2. Mindset

Pastikan mindset ibu supaya sentiasa positif. Dalam menjayakan penyusuan susu ibu, mindset ibu adalah yang utama.

Jika mahukan hasil yang positif, ibu juga perlu sentiasa kekal positif dan sebaliknya.

Tanamkan di minda ibu bahawa walaupun ibu berpuasa tetapi insyaAllah mampu untuk terus menyusukan bayi seperti biasa.

Jangan sesekali fikirkan apabila berpuasa, susu ibu akan berkurang dan tidak cukup pada anak.

3. Doa

Berdoalah pada Allah supaya dipermudahkan segala urusan kita semua. Juga doakan supaya ibu diberi kesihatan yang baik dan mampu untuk melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Sesungguhnya doa itu senjata kita sebagai seorang Muslim.

Foto Kredit: arrahman.id

4. Sahur

Untuk ibu yang menyusukan anak, jangan sesekali tinggalkan atau terlepas sahur.

Manfaatkan sunnah supaya melambat-lambatkan waktu sahur.

5. Berbuka

Begitu juga untuk berbuka puasa, manfaatkan sunnah supaya berbuka di awal waktu di kala azan dilaungkan.

6. Makanan Berkhasiat

Dari segi pemakanan pula, semestinya pemakanan sihat dan berkhasiat sangat penting untuk membantu ibu menyusu berpuasa.

Guna pakai konsep suku suku separuh di mana adanya karbohidrat, protein, sayur-sayuran serta buah-buahan.

Untuk karbohidrat, boleh amalkan makanan Glisemic Index (GI) rendah kerana makanan ini akan melepaskan tenaga secara perlahan-lahan, contohnya:

  • pasta
  • bijirin
  • roti wholemeal
  • yogurt rendah lemak
  • beras perang
  • oat 
  • gandum

Pastikan juga, ibu mengambil protein yang secukupnya seperti daging, telur, kekacang, tempe.

Selain dari itu, untuk pengambilan snek yang sihat, ibu menyusu boleh cuba untuk makan kurma, kismis, badam serta buah-buahan segar atau dalam bentuk kering.

Gandakan jumlah pengambilan kurma pada bulan Ramadhan. Jika sebelum ini, ibu biasa makan 3 – 5 biji kurma tingkatkan kepada 7 – 9 biji kurma. InsyaAllah sangat membantu.

Antara menu kegemaran saya di bulan Ramadhan terutamanya pada waktu sahur adalah susu kurma oat yang saya kisar sendiri setiap malam sebelum tidur dan simpan di dalam peti sejuk.

Pada yang belum cuba, bolehlah cuba. Menu yang sangat ringkas dan mengenyangkan.

makan kurma

Foto Kredit: blog.foodnetwork.com

7. Air Secukupnya

Untuk ibu menyusu, wajib pastikan pengambilan air secukupnya dari tempoh berbuka puasa sehingga waktu sahur. Masalah kebanyakan ibu menyusu adalah kerana dehidrasi.

Puasa bukan punca utama seperti yang selalu diperkatakan.

Jadi, minumlah air secukupnya bukannya sebanyak-banyaknya. Ada perbezaan maksud di situ.

Juga air yang dimaksudkan di sini adalah air kosong sebaik-baiknya air suam. Ibu juga boleh pelbagaikan kepada air jus buah tetapi pastikan tanpa gula.

Bagi memastikan ibu menyusu minum cukup 8 gelas sehari, susunkan jadual seperti berikut:

-1 gelas ketika bangun sahur
-1 gelas selepas sahur
-1 gelas semasa berbuka puasa
-1 gelas selepas makan
-1 gelas selepas solat maghrib
-1 gelas selepas solat isyak
-1 gelas selepas solat terawih
-1 gelas sebelum tidur

kuruskan badan di bulan puasa

8. Pantang

Pantang yang dimaksudkan di sini adalah segala jenis makanan yang tidak sihat seperti makanan segera (mi segera, KFC, McD), makanan diproseskan (sosej, nugget, daging burger).

Selain itu, ibu menyusu juga perlu kawal pengambilan kafein bukan sahaja kopi, nescafe tetapi termasuklah coklat dan juga teh.

Tidak kurang juga makanan dan minuman yang tinggi garam dan gula seperti air berkarbonat, air kotak, perasa dalam makanan termasuklah makanan yang berminyak.

Ini adalah kerana makanan-makanan jenis ini akan mempercepatkan proses kehilangan air dari dalam badan dan membuatkan ibu menyusu menjadi lebih cepat terdehidrasi.

Pilihan di tangan masing-masing untuk menentukan jenis corak pemakanan ibu tambahan untuk membantu ibu kekal bertenaga semasa berpuasa.

9. Penghasilan Susu

Puasa juga bukan bermaksud ibu perlu mengubah rutin penyusuan pada anak. Pegang pada konsep DEMAND vs SUPPLY. Kerapkan menyusu anak apabila anak berada di depan mata.

Jika ibu bekerja, jagalah jadual perahan setiap 2 hingga 3 jam seperti biasa.

Lebih banyak susu ibu dikeluarkan, lebih banyak susu ibu akan dihasilkan dan sebaliknya.

Ibu jangan terkejut jika hasil perahan akan meningkat lebih dari hari-hari biasa berkat rezeki ibu berpuasa.

Foto Kredit: jezebel.com

10. Nikmati Ramadhan

Ramadhan hanya datang setahun sekali. Jadi, ambil peluang ini untuk sama-sama beribadah dan meningkatkan kualiti ibadah kita kepada Allah.

Ibu menyusu digalakkan bersedekah, amalkan zikir. Usahalah untuk solat terawih tidak kira di masjid atau rumah, tidak kira secara berjemaah atau individu.

Peluang ini kita tidak akan dapat di waktu lain dan juga tahun seterusnya juga belum tentu kita akan diberi kesempatan ini.

Selain itu, ibu menyusu juga digalakkan untuk mengelakkan aktiviti berpanas di luar jika tidak perlu.

Rutin bersenam juga boleh diubah ke waktu malam bagi sesuaikan dengan bulan Ramadhan. Jangan lupa juga rehat yang mencukupi sangat penting untuk ibu menyusu.

Di sini juga letaknya peranan dan sokongan suami untuk sama-sama menjadi pemangkin dalam menjayakan penyusuan susu ibu di bulan Ramadhan.

tips menyusu ketika berpuasa

Selamat Menyambut Ramadhan!

Diharapkan tips-tips ini dapat membantu ibu-ibu menyusu supaya bersedia untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Di kesempatan ini juga, saya ucapkan selamat berpuasa kepada semua.

Ibu menyusu pun mampu berpuasa insyaAllah. Berkat ilmu, usaha dan juga dengan izin Allah.

Syafawati Noorhafizah
Kaunselor Penyusuan Susu Ibu

 

*Tips menyusu ketika berpuasa ini dikongsikan oleh Puan Syafawati Noorhafizah menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan dan komen, boleh follow post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×