“Alahai Wafaa ni, makanan tertumpah kat baju pun nak menangis ke. Pening Mama nak memujuk anak yang sensitif ni. Sikit-sikit nangis, bukannya hal besar. Padahal, kita tak marah dia pun.”
Berlainan daripada anak-anak biasa, anak yang sensitif begitu mudah terganggu dengan suasana yang kelam-kabut, pergaduhan, situasi yang baru, perubahan sekeliling yang mendadak, dan kesedihan yang dialami orang lain. Begitu juga apabila menerima kritikan mahupun kekalahan, semua ini akan dirasai dengan kesedihan mendalam.
Kita mungkin hairan jika melihat anak-anak lain yang kurang peduli dan berada dalam dunia mereka sendiri sedangkan anak kita seakan tidak selesa dengan persekitaran mereka. Bagaimana harus kita mengatasinya sedangkan kita tak mungkin akan selalu bersama mereka.
Mereka Sebenarnya Amat Istimewa
Elaine Aron, penulis buku The Undervalued Self, mengatakan bahawa anak yang sangat sensitif itu merupakan 1 daripada 20% anak yang dilahirkan dengan sistem saraf yang sangat peka dan cepat bereaksi terhadap segala sesuatu. Menurutnya, “Anak yang sensitif sangat responsif terhadap persekitarannya, sama ada terhadap cahaya, suara, bau, mahupun perasaan orang yang dekat dengan mereka,” katanya.
Tangisan adalah salah satu cara anak kecil mengekspresikan perasaan mereka. Sebab itulah, anak yang sensitif selalunya memang mudah menangis. Namun, ada kalanya anda mungkin menyalahertikan sikap mereka sebagai seorang yang pemalu, ‘cengeng’ atau pemarah. Sebagai ibu bapa, apa yang kita boleh lakukan adalah dengan membantu mereka meluahkan perasaan dan mengawal emosi tersebut.
6 Cara Menghadapi Anak Yang Sensitif. Sikit-sikit Nangis!
Berikut adalah 6 cara yang betul untuk menghadapi anak yang sensitif.
1. Elakkan Berkata “Jangan Nangis”
Apabila anda melihat anak menangis kerana sesuatu yang remeh, secara automatiknya kita akan mempunyai kecenderungan untuk menegahnya daripada berbuat demikian. Sebenarnya, tindakan ini hanya akan menjadikan mereka berasa lebih terancam. Penulis buku The Big Book of Parenting Solutions, Dr Borba berpendapat bahawa anak yang sensitif mampu membaca gerak hati ibu bapa yang ‘tension’ atau ‘cemas’. Akhirnya, si anak akan meraung dan susah untuk berhenti menangis.
Sebaliknya, ibu bapa dahulu yang perlu bertenang dan senyum apabila menghadapi situasi ini. Kemudian, barulah pergi mendapatkan mereka untuk bertanya apa puncanya.
2. Ajar Anak Bertenang
Minta anak tarik nafas sedalam-dalamnya dan hembuskannya keluar seperti ‘naga’. Cara ini akan membantu anak untuk bertenang dan memikirkan kembali tindakannya tadi.
Salah satu cadangan menarik adalah dengan bermain permainan ‘Freeze’ atau ‘Beku’, iaitu permainan di mana kita akan berhenti daripada melakukan apa-apa saja yang kita biasa lakukan. Dengan cara ini, kita juga dapat membantu mengawal emosi kita daripada memarahinya.
Ingat, pastikan anda dan anak berada pada ‘eye level’ semasa bercakap dengannya. Jangan sesekali menjerit kepada mereka dari jauh kerana cara ini hanya akan memburukkan keadaan.
3. Alih Perhatiannya
Cuba alih perhatian anak dengan mengajaknya melihat sesuatu atau melakukan sesuatu aktiviti lain. Bagi yang tiada idea, anda boleh cuba tips mudah ini. Mudah saja, minta anak yang sedang mengamuk atau menangis tadi untuk kira sampai 10 bersama anda.
Menurut ibu bapa, biasanya dalam kiraan 8 atau 9, anak akan nampak lebih tenang dan ada yang mula tersenyum.
Dr Linda Dunlap, seorang profesor dalam bidang psikologi di New York mengakui bahawa cara ini memerlukan si anak untuk memfokus dan menumpukan perhatian. Dengan konsentrasi tersebut, mereka akan dapat melupakan peristiwa yang dialami tadi dengan lebih mudah.
4. Bantu Anak Luahkan Perasaan
Anak yang sensitif mahu anda memahami perasaan mereka. Oleh itu, mereka perlu mendengarnya sendiri daripada mulut anda seperti:
“Mama faham Adik tengah sedih. Tapi, kenapa ya? Boleh beritahu Mama?” atau “Kenapa Adik menangis, Adik sedih ye?”
Dengan mendengar ayat seperti ini, si anak akan berasa difahami dan didengari. Maka, mereka lebih yakin untuk memberitahu masalah atau perasaan mereka kepada anda. Dengan praktis ini, anak akan dapat memahami perasaan mereka sendiri serta belajar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
5. Lakukan Aktiviti Yang Diminati
Selalunya, setiap anak yang sensitif mempunyai satu sudut kreatif yang mereka minati seperti melukis, berenang, bermain muzik, menyanyi, atau membaca buku.
Aktiviti ini amat baik untuk dijadikan praktis dalam membantunya mengawal perasaan. Semasa melakukan aktiviti seperti inilah mereka akan menumpukan perhatian, belajar mengenal jenis emosi, dan membina keyakinan diri.
6. Beri Masa Untuk Berdikari
Salah satu kunci yang perlu difahami adalah anak yang sensitif ini perlukan perhatian yang lebih besar sehingga mereka boleh belajar melihat sensitiviti mereka sebagai suatu kekuatan.
Pada awalnya, ibu bapa perlu mengambil bahagian secara aktif untuk membantu anak-anak ini menyelesaikan masalah mereka. Kemudian, cuba biarkan mereka menyelesaikan masalah tersebut secara berperingkat.
Jadi, jangan terlalu cepat untuk menyelesaikan setiap masalahnya dan ‘mendiamkan’ mereka dengan memberi apa saja yang mereka mahu ketika itu. Sebaliknya, anda perlu tahu bahawa anak yang sensitif ini sebenarnya amat bijak menyelesaikan masalah secara terperinci dan berdiplomasi.
Jangan Paksa Mereka Jadi Orang Lain
Sifat anak yang sensitif ini seharusnya dilihat oleh ibu bapa sebagai salah satu kelebihan berbanding kekurangan. Jangan sesekali membandingkan mereka dan menyuruh mereka ‘menyimpan’ perasaan tersebut seperti anak-anak lain. Sebaliknya, ibu bapa perlu membantu membentuk keperibadian mereka dalam mengawal diri yang kaya dengan emosi tersebut.
Apabila mereka bertambah matang, mereka akan menggunakan potensi ini untuk menjadi seorang yang luarbiasa!