Famili

5 Tips Atasi Anak Mengamuk dan ‘Tantrum’ dari Liyana Jasmay

97
SHARES
anak mengamuk liyana jasmay

Pada usia 27 tahun, Liyana Jasmay nampak begitu selesa bergelar ibu walaupun masih aktif dengan kerjaya seni di samping mengendalikan perniagaan butik Mermaid Store. Sekali imbas, macam tak percaya ibu muda dan glamour ini sudahpun memiliki 2 orang anak!

Walau apa pun, sepertimana ibu-bapa lain, beliau tetap tidak dapat lari dalam menghadapi detik-detik mencabar semasa mengendalikan anak-anak. Pada majlis pelancaran media bagi susu Friso Gold tempoh hari, kami berjaya ‘mengorek’ rahsia dan tips bagaimana Liyana Jasmay menangani tantrum dan mengatasi masalah anak mengamuk.

Usia Anak 2 Tahun Paling Mencabar Setakat Ini

Menurut Liyana Jasmay, pengalaman paling mencabar adalah ketika beliau menghadapi zaman ‘terrible two’, iaitu ketika anak pertamanya Sofia berusia 2 tahun.

Gelaran ‘terrible two’ ini amat popular di negara Barat di mana mereka mengaitkan fasa tersebut dengan ‘pergelutan’ anak untuk cuba berdikari dan melontarkan pendapat masing-masing. Berbeza dengan usia remaja, ketika ini anak kecil belum mengenal erti empati dan tidak mempedulikan apapun tanggapan orang lain terhadap mereka. Maka, sebab itulah ada antara mereka yang melepaskan kemarahan di khalayak ramai. Malah, mereka mungkin masih belum dapat bertutur dengan baik dan ini menjadikan ibu bapa lebih sukar untuk memahami kemahuan mereka.

Tahap inilah biasanya amat menguji kesabaran ibu bapa!

5 Tips Liyana Jasmay Atasi Anak Mengamuk

Berikut adalah beberapa tips yang dikongsikan oleh Liyana Jasmay semasa pengalaman menghadapi tantrum dan anak mengamuk.

1. Biarkan Anak Tenang

Menurut penyanyi dan pelakon kecil molek ini, beliau banyak mengalah dan menggunakan teknik ‘reversed psychology’ ketika anak mengamuk. Contohnya, beliau akan mengelak daripada memarahi atau memujuk anak semasa anak sedang marah. Sebaliknya, lebih selesa untuk berdiam saja untuk menunggu si anak kembali bertenang.

“Saya dah eksperimen untuk memujuk Sofia ketika dia mengamuk dan mendapati dia akan menjadi lebih marah. Jadi, saya biarkan dia tenang dahulu dan kemudian dengan sendirinya dia akan datang kepada saya,” ujar Liyana Jasmay.

“Selain itu, saya cuba untuk tidak memarahinya atau berkeras dengannya,” tambahnya lagi.

2. Cuba Alih Perhatian Anak

Menariknya, sebagai seorang penghibur, Liyana menggunakan kelebihan tersebut untuk mengalih perhatian anaknya ketika tantrum dengan menyanyi dan menari.

“Memang Sofia gemarkan nyanyian dan tarian sejak dia kecil. Malah, kami mempunyai rutin tersendiri seperti ‘menyanyi sebelum masuk ke bilik air’,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Kalau nak tahu, anaknya Sofia juga sangat sukakan mainan seperti ‘Surprise Egg’. Jadi, ini antara perkara yang boleh digunakan untuk menarik perhatian si kecil daripada terus menangis.

3. Jangan Berkasar

Sikap anak-anak secara semulajadi adalah suka meniru perbuatan orang dewasa, terutamanya ibu bapa mereka. Maka, elakkan berkasar walaupun semasa bergurau dengan mereka.

“Saya bersyukur dalam hal ini kerana saya banyak mendapat bantuan daripada suami saya yang sentiasa bersikap tenang, rajin memujuk dan berlemah-lembut terhadap anak-anaknya walaupun dalam keadaan penat.”

Menurut Liyana lagi, “Kadang-kadang saya geram dan akan mencium atau ‘menggomol’ Sofia. Tapi nampaknya perbuatan ini akan menjadikannya bertindak kasar sehingga dia juga akan melakukan perkara yang sama kepada kita dan juga adiknya yang masih kecil.” 

4. Banyakkan Sabar

Dalam menangani perangai anak-anak, kita memang tak dapat lari daripada berasa marah, kecewa, atau sedih. Lebih-lebih lagi apabila kita sendiri dalam keadaan penat dan stres.

Menurut pengalaman Liyana Jasmay sendiri, beliau memang terpaksa banyakkan bersabar dan istighfar, lebih-lebih lagi semasa anaknya Sofia sedang menginjak umur 2 tahun. Walaupun sukar, beliau tidak akan sesekali menggunakan cara kekerasan untuk mengajar mereka.

5. Buat Persediaan Mental Dan Fizikal

Berbekalkan sedikit pengalaman mengendalikan anak kecil dengan melihat anak buahnya, ia sedikit sebanyak memberi peluang kepadanya untuk membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Malah, beliau memang sudah menjangkakan akan menghadapi ‘zaman anak mengamuk’ atau tantrum tersebut.

“Saya dan suami belajar banyak perkara baru sehingga ada masanya keadaan menjadi kelam-kabut,” katanya.

Walaubagaimanapun, komunikasi serta kerjasama dengan suami amat penting kerana ia akan membantu mereka membuat keputusan yang terbaik.

anak mengamuk liyana jasmay

Pengalaman Banyak Membantu

“Proses membesarkan anak ini bukannya perkara yang mudah, ia memerlukan banyak pengorbanan. Saya sendiri tidak keluar rumah dan menghentikan hampir semua aktiviti semasa tahun pertama menjaga Sofia. Saya ingin betul-betul fokus sepanjang tempoh tersebut.” 

Namun, beliau mengakui bahawa anak mengamuk adalah perkara yang normal dan setiap pasangan pasti akan menghadapinya suatu hari nanti. Apa pun, beliau mengakui bahawa semua pengalaman ini dapat membantu menjadikannya lebih mahir dan dapat melancarkan urusan mengendalikan anak keduanya, Selena.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×