Cukup terkenal dengan keindahan pulau dan kehalusan pasir pantai, Terengganu menjadi destinasi percutian keluarga, pasangan berbulan madu dan group trip.
Penduduknya yang mesra, makanannya yang enak, kecantikan tempatnya dan acara tahunan yang lain daripada lain seperti festival mencandat sotong menyebabkan ramai yang datang ke sini saban tahun.
Tempat menarik di Terengganu
Rata-rata yang datang tidak akan melepaskan peluang berehat di pulau, tasik dan pantai sekitar Terengganu. Namun tahukah anda, selain tempat-tempat berkenaan, Terengganu juga mempunyai tempat warisan sejarah, seni binaan lama, peranginan, gunung yang boleh diterokai dan bermacam-macam aktiviti yang boleh meluaskan pengalaman dan menambah keseronokan percutian.
Apa lagi, jom kita kenali tempat-tempat pelancongan menarik yang boleh dilawati ini.
1. Santuari Kelah Sungai Petang, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu
Bagaimana rasanya jika dikerumuni ribuan ikan? Panik? Teruja? Alaminya sendiri di Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir. Sebaik sahaja berada dalam sungai, ribuan ikan kelah bagaikan menanti kedatangan anda dan terus mengerumuni anda.
Memang gerun awalnya melihat sekumpulan ikan yang banyak datang menyerbu namun perasaan itu akan bertukar menjadi seronok apabila anda boleh memegang ikan-ikan yang jinak ini sambil memberi makan. Malah dek keterujaan ada yang sanggup mencium ikan-ikan ini!
2. Gunung Tebu, Jerteh
Jadi tumpuan pendaki tempatan dan luar negara kerana keunikan bentuk muka buminya yang sangat mencabar dengan ketinggian 1,039 meter.
Sepanjang pendakian hampir 10km yang memakan masa antara 6 hingga 7 jam untuk sampai ke puncak, pendaki boleh singgah ke Hutan Lipur Lata Belatan, Batu Mat Hasan , Jendela Pandang, Batu Mahkamah, Batu Pelana Kuda dan Batu Madrasah yang menyajikan panorama indah serta flora dan fauna yang masih terpelihara.
Dari puncak, pendaki dapat melihat dua pulau yang terkenal iaitu Pulau Redang dan Pulau Perhentian. Tidak hairanlah ramai yang akan bermalam dengan berkhemah di kawasan gunung. Bagaimanapun, sebelum memulakan pendakian, harus mendapatkan kebenaran bertulis daripada Pejabat Hutan Negeri Terengganu dan melaporkan diri di balai polis terdekat.
Bayaran masuk sebanyak RM5 dikenakan kepada pendaki.
3. Chinatown, Kuala Terengganu
Bagi yang pernah ke Lebuh Armenia, Pulau Pinang dan Art of Old Town, Ipoh , wajib singgah ke Jalan Kampung Cina. Langkah anda pasti berhenti di setiap lorong di celah-celah deretan bangunan kedai-kedai lama kerana terpegun dengan lukisan mural berwarna-warni malah ada yang punya ceritanya sendiri.
Lorong Warisan Dunia misalnya memaparkan mercu tanda dunia yang terkenal seperti Taj Mahal manakala ruang udara di Payung Lane pula dihiasi dengan susunan payung beraneka warna dan di dinding Lorong Kenangan pula tergantung plak-plak tokoh masyarakat Cina yang pernah berkhidmat dengan kerajaan negeri.
Asyik berjalan dan mengambil gambar, tanpa sedar anda sudah pun berada di kawasan Pasar Payang.
4. Perkampungan Nelayan Seberang Takir
Jika ingin merasa pengalaman berada dalam kampung tradisional, seawal pagi anda boleh menaiki bot penambang dari Pasar Payang menuju ke Seberang Takir.
Setiba di sini, anda dapat melihat kegigihan penduduk kampung meneruskan kehidupan seharian dengan sumber daripada hidupan laut. Setiap pagi, kaum ibu akan duduk beramai-ramai menghasilkan keropok lekor bermula daripada proses menyiang ikan hingga siap direbus sebelum dipasarkan ke Pasar Payang.
Kaum lelaki pula, selesai menangkap ikan di laut, mereka bertungkus-lumus menghasilkan belacan dan mengeringkan ikan bilis untuk jualan. Kehidupan saling bantu-membantu ini sememangnya sukar dijumpai di tempat lain.
5. Kampung Rhu 10, Setiu
Terkenal dengan “ICT”, iaitu menu Ikan Celup Tepung. Terletak di kawasan Pantai Rhu 10, ia menyajikan panorama yang cukup indah lagi mendamaikan.
Di sepanjang jalan pantai, pengunjung boleh melihat banyak gerai kecil yang menjual ikan celup tepung, satu hidangan yang amat popular bagi penduduk di Setiu. Sebelum digoreng, ikan akan dicelup ke dalam tepung dan di cicah bersama sos.
Selain ikan, hasil laut seperti sotong, udang dan ketam malah keropok lekor turut dicelup dengan tepung sebelum digoreng.
6. Terrapuri Heritage Village, Kuala Terengganu, Terengganu
Reka bentuk binaan vila penginapan ini pasti akan memukau sesiapa sahaja yang melihatnya. Diilhamkan daripada seni bina istana Terengganu pada abad ke-17, vila penginapan yang menghadap Setiu Wetlands dan Laut Cina Selatan ini berkonsepkan gaya klasik dan tradisional yang cukup unik.
Menariknya, vila yang dibangunkan dengan kayu sepenuhnya di kawasan seluas 4 hektar dibina tanpa mengguna paku .
Angin sepoi-sepoi bahasa dari Laut China Selatan bakal buat anda rasa relaks sepanjang berada di sini.
7. Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu
Satu-satunya taman tema bercirikan Islam yang pertama seumpamanya di dunia. Kawasan seluas 10 hektar ini menempatkan 22 replika monumen dengan seni bina Islam dari 21 negara antaranya Masjid Nabawi, Arab Saudi, Kubah As Sakhra, Palestin, Tugu Kompleks Suleyman, Turki, Menara Kalyan, Uzbekistan, Masjidil Haram dan banyak lagi.
Berkonsepkan Edutainment Park, ia secara tidak langsung memberi pengetahuan kepada pengunjung mengenai sejarah pembinaan monumen-monumen ini melalui tayangan video, gambar dan kuiz interaktif. Bayaran sebanyak RM21.20 (dewasa) dan RM15.90 dikenakan pada kanak-kanak serta warga emas.
Untuk memudahkan pergerakan pengunjung melawat dari satu monumen ke monumen lain, pihak taman turut menyediakan trem dan sewaan basikal serta buggy.
8. Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu
Memang enak menjamu selera sambil merasai hembusan angin malam di Dataran Shahbandar yang terletak berdekatan muara sungai Terengganu.
Ditambah landskap menghijau dan persekitaran jeti membuatkan pengunjung terbuai dengan keindahan di depan mata. Gerai-gerai yang menyediakan aneka hidangan enak dibuka pada pukul 6 petang dan berlanjutan hingga tengah malam.
Jika di bulan puasa, ia menjadi lokasi bazar Ramadhan dan kawasan berumput pula menjadi tempat penduduk berbuka puasa secara santai.
9. Air Terjun Cemerong, Dungun
Mempunyai ketinggian kira-kira 305 meter menjadikannya sebagai air terjun paling tinggi di Asia Tenggara. Terletak dalam hutan simpan Pasir Raja, Hutan Lipur Cemerong mempunyai keluasan melebihi 292 hektar.
Air bukit yang dingin mengalir hingga ke kolam di bawah kaki bukit memang menyegarkan badan yang lenguh sewaktu mendaki menuju ke kawasan air terjun. Kawasan berkelah juga luas siap dilengkapi dengan wakaf tradisional dan tapak perkhemahan.
Lorong-lorong pejalan kaki dan tangga konkrit dibina untuk pengunjung yang ingin bersiar-siar di kawasan sekitar. Bagi yang ingin mencabar diri sendiri, boleh merentas denai hutan sambil melihat hutan dara yang masih terpelihara dan mengenali flora yang ada.
Biasanya jika sudah ke sini, ramai yang akan buat tiga aktiviti sekaligus, iaitu CBL. Singkatan untuk ekspedisi Chemerong, Berembun dan Air Terjun Langsir.
10. Sungai Bangang, Dungun
Sungai Bangang masih lagi terletak dalam kawasan Hutan Lipur Cemerong.
Menurut Kosmo, jalan untuk sampai ke sini adalah melalui laluan jalan pintas menuju ke Kem Balak. Di laluan ini, tidak lagi melalui puncak Gunung Berembun, Taman Bonsai, Berembun Kecil dan Kem Y. Sejam berjalan, mungkin sudah mula menuruni lembah dan mula menyeberangi sebatang sungai yang dinamakan Sungai Bangang.
Seperti gambar-gambar yang dikongsikan di Facebook oleh Rizal Hakimm, ternyata Sungai Bangang ini sungguh jernih!
11. Muzium Negeri, Kuala Terengganu
Melihat seni binaannya dari jauh, pasti ramai menyangka bangunan yang tersergam indah ini adalah Istana Terengganu. Namun, bangunan besar yang terletak di atas tanah seluas 27 hektar di Bukit Losong adalah kompleks menyimpan artifak dan hasil seni warisan negeri sejak berkurun lamanya.
Di sini jugalah tersimpannya batu bersurat yang pertama dijumpai di Terengganu. Muzium ini terdiri daripada Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, 4 rumah tradisional, taman botani dan herba serta galeri-galeri yang mempamerkan sejarah, alat kebesaran diraja, seni Islam, senjata lama dan tekstil.
Sememangnya Terengganu kaya dengan tempat yang menarik dan unik. Rugi rasanya jika tidak meneroka ke tempat-tempat ini.
Selamat bercuti!
Ada lagi tempat-tempat menarik yang kami tertinggal? Kongsikan di ruangan komen.