Bila baru belajar menanam pokok di rumah pasti kita mencuba pelbagai jenis baja untuk memastikan pokok tumbuh dengan subur dan lebat. Selain membeli baja di kedai, anda juga boleh cuba menghasilkan baja organik menggunakan lebihan sisa makanan seperti nasi, sayur dan buah-buahan.
Kalau anda tak tahu macam mana nak hasilkan baja organik dengan menggunakan lebihan sisa makanan, boleh ikuti perkongsian oleh Mahadzir Hashim di bawah. Pokok memang subur!
Baca juga: Cara DIY Baja Organik Untuk Semua Jenis Pokok, Tumbuh Lebat & Subur!
TEKNIK HASILKAN BAJA GUNA LEBIHAN SISA MAKANAN, SEMUA POKOK SESUAI
Teknik penghasilan baja kompos dari lebihan sisa-sisa makanan iaitu teknik takakura. Kaedah ini memerlukan dua larutan:
1. Larutan di mana anda masukkan cebisan sayur-sayuran dan beberapa kulit buah dalam bekas mengandungi air bersih dan masukkan segenggam garam.
2. Untuk larutan kedua, letakkan tauhu, tempe atau ragi dan segenggam gula dalam bekas air yang berbeza. Tauhu dan tempe mengandungi mikro organisma yang bertindak sebagai agen untuk memulakan proses kompos.
Kedua-dua jenis larutan disimpan untuk tempoh 3-4 hari dan akan dicampurkan dalam tong drum yang telah diisi dengan hampas kelapa atau daun-daun kering yang dicampurkan dengan dedak ayam.
Sukatan bahan-bahan ini adalah mengikut berapa banyak bahan kompos yang anda inginkan bersesuaian dengan bahan campuran 1 dan 2.
Campur kesemuanya dalam bekas tertutup seperti tong drum contohnya dan tutup kemas. Dalam jangka masa 1-2 hari suhunya akan meningkat.
Selepas 1 hari lagi anda boleh campur sisa makanan seperti nasi, sayur, buah-buahan dan tutup bekas itu. Selang 3-4 hari buka penutup bekas dan gaulkan sisa makanan untuk membolehkan udara masuk bagi membantu sistem penguraian.
Proses menggaul ini perlu berulang-ulang kerana tanpa oksigen bahan-bahan microorganisma akan mati dan proses penguraian akan terhenti .Oleh itu lakukan proses menggaul bahan dalam tong kurang-kurang 2 minggu sekali.
Selama proses penguraian, bekas mesti sentiasa tertutup. Proses penguraian ini akan memakan masa 2-3 bulan mengikut bahan-bahan yang anda campurkan.
Baja kompos anda terhasil bila proses penguraian selesai. Untuk penggunaan gunakan nisbah 1 bahagian baja kompos kepada 3 bahagian tanah.
Tambahan media lain seperti cocopeat adalah mengikut keperluan pokok atau sayuran yang akan anda tanam. Kelebihan kaedah ini ialah ia menghasilkan baja kompos yang tidak berbau busuk dan mesra alam.
Moga bermanfaat!
Sumber: Facebook Mahadzir Hashim