Berikutan peningkatan kes Covid-19 yang dilihat semakin merisaukan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering berkongsikan beberapa jenis kondisi pesakit Covid untuk dijadikan ikhtibar buat semua. Namun, ada juga dalam kalangan orang ramai yang mempersoalkan tindakan petugas kesihatan ‘menidurkan’ atau intubate pesakit seolah-olah ‘mematikan’ pesakit tersebut.
Jadi, seorang Doktor Pakar Perubatan yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikenali sebagai Doktor Ahmad Zikimi Abdullah menerusi satu status di Facebook, menjemput beberapa pengguna Facebook yang aktif berkongsi mengenai keburukan intubasi untuk bersua secara live bagi menjelaskan setiap persoalan yang ada.
KENAPA MESTI DITIDURKAN/INTUBATE?
Menjadi perbualan orang ramai di laman media sosial apabila seorang pengguna Facebook telah mempersoalkan tindakan pasukan perubatan yang mengambil keputusan untuk menidurkan atau intubate pesakit Covid-19. Pada masa yang sama, dia turut mendakwa tindakan yang diambil itu secara tidak langsung akan memberikan kesan yang negatif terhadap kesihatan seseorang itu.
Tidak berakhir di situ, dia juga turut melampirkan beberapa bukti bagi menguatkan lagi teori-teori yang dikemukakan olehnya dan perkara ini juga ada disokong oleh segelintir masyarakat.
DOKTOR BERI SURAT JEMPUTAN TERBUKA
Susulan daripada itu, Doktor Ahmad Zikimi tampil untuk menjawab segala persoalan-persoalan mereka dan membincangkan secara ilmiah mengenai keperluan intubasi ini. Beliau turut mengajak orang ramai untuk turut serta dalam sesi perbincangan live di Facebook dimana sesi ini, secara tidak langsung akan memberi pencerahan kepada orang ramai yang masih meragui setiap rawatan yang telah diberikan oleh pihak KKM.
Ujar Doktor Ahmad lagi, ketika perbincangan menerusi Facebook live itu dia membenarkan individu-individu ini untuk membuat carian di Google mengenai topik yang dibincangkan.
Saya seperti nama di atas ingin menjemput Puan ******** atau mana-mana rakan seperti yang membuat status di bawah untuk menyertai saya dalam soal jawab tentang ‘Respiratory Physiology’ dan Ventilator di Facebook live. Kita sama-sama lakukan secara ilmiah.
Kalian dibenarkan men’google’ semasa sesi soal jawab live tersebut. Kita tengok bagaimana ilmu kecerdikan kalian. Kerjasama dan perhatian pihak puan dalam jemputan ini amat saya hargai dan diucapkan terima kasih. Amacam? Ada berani sahut cabaran ini?’
Sumber: Doktor Ahmad Zikimi