Famili

Alergi Susu Boleh Terjadi Walaupun Bayi Menyusu Badan. 8 Tanda Ibu Mesti ‘Alert’

843
reads

“Ish, peningnya nak pilih susu formula untuk anak ni. Nak beli susu apa ya? Risau pula dengar ada yang alah pada susu lembu.”

Alergi susu umumnya selalu berlaku pada anak kecil dan bayi sewaktu ibu mula mencampurkan pemberian susu ibu dengan susu formula sebelum mula berkerja. Walaupun susu dianggap sebagai ‘teman baik’ bayi, namun ia sebenarnya merupakan antara penyebab utama alahan pada bayi.

Apabila bayi alergi terhadap susu lembu, sistem imunitinya akan bertindakbalas terhadap protein dalam susu tersebut. Menurut Kid’s Health, tubuh mereka menterjemahkan protein tersebut sebagai ancaman lalu membebaskan bahan kimia tertentu seperti histamin untuk melawannya.

Menurut pakar, bayi yang mempunyai gejala ekzema lebih cenderung untuk mengalami masalah alahan susu lembu ini.

bayi minum air kosong

Foto Kredit: kidspot.com.au

8 Tanda Alahan Susu Lembu / Susu Formula Pada Bayi & Anak Kecil

Terdapat beberapa tanda alahan susu lembu, iaitu bahan asas kepada susu formula yang sering dijual di pasaran.

Perlu diingat, tanda-tanda ini juga boleh terjadi kepada bayi yang menyusu badan sekiranya ibu meminum susu lembu atau memakan sebarang produk susu lembu yang lain.

Reaksi Cepat:

Sejurus selepas meminum susu lembu, bayi yang mengalami alahan mungkin akan memberi 3 reaksi tersebut.

1. Bintik-bintik merah 

Bintik merah pada bayi akibat alergi susu lembu berbeza dengan bintik merah akibat peluh. Kadangkala bintik merah ini boleh menyebabkan rasa gatal pada kulit bayi.

2. Masalah Pernafasan

Akibat gangguan sistem pernafasan, mungkin terhasilnya lendir berlebihan hingga menjadi punca nafas bayi berbunyi.

Ia boleh diiringi dengan simptom seperti bersin, hidung dan mata gatal, atau mata merah. Kesulitan bernafas juga boleh menjadi gejala asma/lelah pada bayi dan menyebabkan bayi berdehit (wheezing).

3. Muntah

Ada ibu yang menganggap sesetengah bayi tidak suka minum susu formula kerana masih belum biasa dengan rasanya.

Tapi barangkali penyebab sebenarnya adalah bayi merasa tidak selesa dan sesak pada bahagian kerongkong. Saluran pernafasan boleh memberikan reaksi yang berlebihan terhadap bahan kimia tertentu dalam susu lembu, lalu menjadikan bayi sukar menelan susu, muntah atau menangis ketika meminumnya.

*Menurut MayoClinic, susu adalah makanan ketiga yang menjadi punca utama anaphylaxis, iaitu gejala serius yang menyempitkan saluran dan menghalang pernafasan. Jadi, jangan teragak-agak membawa bayi ke hospital dengan segera jika berlakunya simptom alergi susu yang serius.

Reaksi Lambat:

Selain daripada 3 tanda utama alergi susu di atas, ada juga jenis reaksi yang mengambil sedikit masa untuk dikesan.

Maka selepas bayi menyusu, tetaplah beri perhatian jika timbulnya 5 tanda ini.

1. Cirit-Birit / Sembelit

Setelah minum susu lembu, perhatikan najis bayi. Tanda alahan susu lembu antaranya termasuklah najis yang terlalu cair, atau sembelit di mana najis bayi disertai dengan berdarah.

Jika keadaan ini berterusan, bayi berisiko mengalami masalah usus dan gagal mencapai berat yang optima untuk tumbesaran.

2. Sakit Perut / Kembung

Kembung perut atau colic boleh ditunjukkan oleh bayi dengan reaksi seperti menangis terus-menerus, perut yang kelihatan kembung dan ketidakselesaan.

3. Batuk 

Awalnya mungkin bayi akan mengeluarkan suara serak akibat reaksi terhadap susu lembu. Kemudian, bayi akan menjadi lebih sering batuk terutama sejurus setelah menyusu.

4. Hidung Berair

Selain batuk, reaksi alergi yang biasa berlaku adalah hidung dan mata bayi yang kelihatan berair, menyebabkan rasa gatal pada bahagian mata.

5. Ruam

Jika tidak diberi rawatan yang tepat, ruam yang serius boleh berlaku hingga berisiko mengalami ekzema dan asma.

alergi susu

Foto Kredit: dehabebekler.com

Apa Yang Sepatutnya Dilakukan Jika Anak Alergi Terhadap Susu Lembu?

Menurut Dr. Nazrul Neezam Nordin melalui artikelnya di laman web DoktorBudak.com, cara yang paling berkesan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memberhentikan susu formula yang mengandungi protein lembu di dalamnya.

Jangan sekadar menukar ‘jenama’ susu sahaja, sebaliknya apa yang boleh dilakukan adalah:

  • Cuba meneruskan penyusuan badan sepenuhnya.
  • Bertukar kepada susu formula berasaskan protein soya. (Namun susu soya tidak disyorkan untuk bayi di bawah 6 bulan).
  • Menggunakan susu protein lembu khas (extensively hydrolyzed formula). Struktur molekul protein susu ini telah dipecahkan kepada molekul yang lebih kecil bagi mengurangkan risiko alahan.
  • Memberi susu protein lembu khas (formula berasaskan asid amino). Biasanya doktor pakar hanya menyarankan penggunaan susu ini jika bayi mengalami alahan serius dan masih menghadapi masalah walaupun telah mencuba susu protein lembu khas.

*Penggunaan susu kambing mungkin kurang berkesan kerana didapati 80% bayi yang dikenalpasti alah dengan protein susu lembu turut mengalami reaksi yang sama terhadap protein susu kambing.

tips memilih susu formula

Foto Kredit: perthnow.com

Dapatkan Nasihat Doktor

Sekiranya berlaku reaksi yang disyaki akibat alahan susu, ibu-ibu dinasihatkan untuk berjumpa doktor pakar agar mereka dapat mengesahkan simptom yang dialami dan memberi panduan dalam memilih susu yang sesuai berdasarkan keadaan anak.

Yang Popular

To Top