Berita gembira buat warga kota yang suka beriadah di Taman Tasik Titiwangsa!
Setelah lebih setahun taman ini ditutup bagi memberi laluan terhadap kerja penambahbaikan dan pengindahan kawasan, taman itu akan dibuka semula sepenuhnya pada Ahad (15 Disember) ini dengan berwajah baru, seperti yang dilaporkan menerusi BERNAMA.
Menurut Penolong Pengarah Kanan (Arkitek) Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Noor Fazlina Rosley, taman rekreasi itu akan dibuka bermula 6 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Dibuka Lebih Awal Sebelum Majlis Perasmian
Difahamkan bahawa majlis perasmian taman ini dijangka akan dilangsungkan pada tahun 2020.
Namun memandangkan ramai yang teruja dan tak sabar menggunakannya terutamanya ketika waktu cuti sekolah ini, Taman Tasik Titiwangsa dibuka lebih awal kepada orang awam.
Kerja penambahbaikan dan pengindahan taman itu bermula 1 September tahun lalu dan siap sepenuhnya 31 Oktober lalu dengan membabitkan keluasan kira-kira 20.23 hektar, tetapi terpaksa dibuka lewat bagi memastikan aspek keselamatan dan beberapa perkara yang perlu ditambah baik dilakukan.
Tarikan Baru Di Taman Tasik Titiwangsa
Terdapat beberapa pembaharuan di taman berkenaan yang akan menjadi tarikan kepada para pengunjung seperti
- Kanopi Banjaran Titiwangsa (dataran)
- Laman Kerawang
- Taman Air Kanak-Kanak
- Taman Permainan Kanak-Kanak
Pada masa sama, katanya taman tersebut berkonsepkan ‘ínclusivity’ iaitu boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang terbatas dari segi fizikal seperti orang kurang upaya (OKU).
Lebih menarik, anak-anak autistik dan cerebral palsy juga telah dipanggil untuk mencuba taman permainan di situ bagi mendapatkan komen ibu bapa untuk membolehkan penambahbaikan. Ia bertujuan memastikan semua orang dapat menggunakan taman ini.
Selain itu, antara tumpuan utama di taman berkenaan adalah ‘High Fountain Jet’ di tasik itu dengan keupayaan pancutan air setinggi 100 meter.
Semoga Kemudahan Ini Dipelihara & Dimanfaatkan Bersama
Wah, mesti ramai warga kota dan pengunjung yang teruja nak datang ke Taman Tasik Titiwangsa yang dah diupgrade ni kan?
Buat pengetahuan, kerja-kerja penambahbaikan di sini adalah satu daripada pakej dalam projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL), komponen pengindahan sungai melibatkan kos sebanyak RM99.88 juta.
Diharapkan semua kemudahan ini dapat dimanfaatkan dan dijaga dengan baik oleh para pengunjung.
Cuti sekolah ni bolehlah bawa anak-anak ke sini kan?