Famili

10 Hotel Di Penang Yang Best Untuk Bawa Anak-anak Holiday. Ada Pool, Waterpark & Play Area!

54K
SHARES

“Banyaknya hotel dekat Penang ni…. Mana satu yang kids friendly dan sesuai untuk bawa anak-anak holiday nanti ye?”

Memang banyak sangat hotel yang kita akan jumpa di Penang. Maklumlah, ianya antara destinasi percutian popular bertaraf antarabangsa. Ramai pengunjung yang suka datang ke Penang tak kira masa. Baik dalam negara atau luar negara, Penang tak pernah sepi daripada pelancong, kan?

Maka tak hairanlah makin banyak hotel yang tumbuh bak cendawan di sini. Cewahh…

Apapun, bagi golongan mak ayah, dah tentulah kalau boleh nak pilih hotel yang mesra kanak-kanak kan? Maklumlah, bila pilih tempat macam ni lebih senang nak entertain mereka dan tak payah susah-susah nak keluar sana sini cari jalan dan tempuh jammed.

Di sini kami kongsikan beberapa hotel di Penang yang mesra kanak-kanak dan amat sesuai untuk percutian keluarga.

10 Hotel Di Penang Yang Mesra Kanak-kanak, Ada Pool, Waterpark & Play Area!

1. Golden Sands Resort

Golden Sands Resort ni antara hotel yang paling disukai oleh ibu ayah yang bercadang nak relaks dan malas nak keluar-keluar lagi. Walaupun sedikit mahal, tapi memudahkan sebab semua dah ada dekat dalam ni. Memang puas budak-budak main!

Tarikan utama di Golden Sands ni tentulah Adventure Zone, iaitu sebuah kawasan indoor playground yang agak luas dan terkenal dengan giant slide mereka. Yang best tu, bukan budak-budak saja yang boleh main. Anak yang dah besar remaja dan mak ayah dewasa pun boleh main sama – tapi setiap orang mesti pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang untuk naik slide tu.

Adventure Zone ini juga dibuka bagi pengunjung yang tak bermalam di Golden Sands Resort. Cumanya kalau bermalam di sini, dapatlah special rate untuk tiket masuk tu. Selain Adventure Zone ni, ada juga Splash Zone, iaitu kawasan taman tema air yang menyeronokkan.

Anggaran Harga Bilik: RM370/malam

Hotel di penang

2. Holiday Inn, Batu Feringghi

Kalau rasa Golden Sands di luar bajet, boleh je bermalam dekat Holiday Inn untuk harga yang lebih mampu poket. Holiday Inn pun best sebab lokasinya dekat dengan pantai dan pasar malam Batu Feringghi. Boleh jalan kaki je dari sini.

Selain dekat sebelah je dengan pantai, di sini ada kolam renang dan ada disediakan mini waterpark khas untuk kanak-kanak. Ada juga playground dan kids club yang boleh diakses oleh penghuni hotel, cuma mungkin taklah seluas macam di Golden Sands. Tapi kira oklah jugak, puas anak-anak main!

Pilihan Kids’ Suite pun ada tau.

Anggaran Harga Bilik: Bermula RM250/malam

3. Double Tree Hilton, Batu Feringghi

Satu lagi hotel yang terletak di Batu Feringghi, Double Tree Hilton adalah jenama yang tak perlu diperkenalkan lagi. Kalau dengar nama tu rasa macam mahal je kan? Tapi kalau nak ikutkan, harganya boleh tahan dan berbaloi dengan pelbagai kemudahan yang disediakan di sini.

Di sini pun bukan hanya ada kolam renang, malah lengkap dengan kemudahan gelongsor dan mini water park juga disediakan. Kemudahan Kid’s Club juga antara tarikan ibu bapa yang membawa anak-anak kecil ke sini. Pada hari tertentu, anak-anak boleh menyertai aktiviti yang dikendalikan oleh staf hotel di ruangan yang selesa dan ceria khas buat mereka ini.

Berbeza dengan Holiday Inn, hotel ni taklah terletak betul-betul di sebelah pantai. Ia agak terpinggir sikit, sesuailah kalau nak lari dari kesibukan. Tapi boleh seberang jalan dari hotel ini untuk pergi ke pantai. Ada jambatan khas yang disediakan untuk ke kawasan pantai.

Anggaran Harga Bilik: Bermula RM215/malam

 

4. Bayview Beach Resort, Batu Feringghi

Memang banyak hotel area Batu Feringghi ni. Bayview ni pun salah satunya yang dekat-dekat sama cirinya dengan Holiday Inn dan Double Tree. Bajet pun ok, sebab ianya tak begitu mahal.

Semua kemudahan yang anak-anak suka pun ada, contohnya kolam renang kanak-kanak, mini water play area, dan kids play room. Dah puas berendam dekat pool, boleh pergi ke pantai jugak!

Anggaran Harga Bilik: Bermula RM280/malam

5. Lexis Suites Penang, Bayan Lepas

Ingat Lexis ada dekat PD je ke? Dekat Penang pun ada tau. Dan…. Harganya jauh lebih murah untuk bilik yang ada private pool tu!

Jadi tak payah susah-susah nak turun ke bawah, nak bawa baju, tuala semua. Baju pun boleh pakai apa-apa baju yang selesa ikut kita.

Mungkin sekarang ni mereka tengah buat promosi, so boleh dapat harga RM380/malam untuk bilik yang ada private pool. Nanti bila-bila harganya naik pulak tak tahulah kan.

Apapun, untuk harga ni memang berbaloi sangat sebab biliknya sangat luas, dengan 2 katil King Size tu!

Anggaran Harga Bilik: Bermula RM380/malam

Foto Kredit: tripadvisor.co.nz

6. Hard Rock Hotel, Batu Feringghi

Uniknya di Hard Rock Hotel ni, ibu ayah juga boleh tempah Roxity Kids Suite, iaitu bilik khas dengan katil dan hiasan untuk anak-anak.

Kalau mak ayah ada bawa anak remaja yang dah besar sikit, dekat sini disediakan juga jenis entertainment yang lebih ‘keremajaan’ gitu.

Selain Children’s Club, dekat sini adalah juga Teen’s Club yang menyediakan permainan Foosball, Pool, PlayStation atau Wii. Dengar kata kolam renangnya pun unik sebab boleh dengar lagu masa menyelam dalam air tu!

Anggaran Harga Bilik: Bermula RM360/malam

7. Grand Orient Hotel, Perai

Antara hotel yang baru viral juga dalam tahun lalu adalah Grand Orient Hotel yang terletak di Perai ini.

Apa yang menariknya, di hotel ini terdapat in-house waterpark yang menjadi tarikan ramai, terutamanya orang tempatan tau pelawat yang malas nak bersesak di bandar Georgetown atau Batu Feringghi.

Walaupun tak terletak di pulau, lokasinya tak kurang strategik juga sebab dekat dengan highway dan Jambatan Pulau Pinang. Rekabentuk hotel yang futuristik dan moden turut menjadikannya pilihan ramai untuk bermalam di sini!

Anggaran Harga Bilik: Bermula RM159/malam beserta tiket masuk ke waterpark

8. Flamingo By The Beach, Tanjung Bungah

Satu lagi hotel menarik yang berdekatan pantai ini juga menawarkan harga yang mampu poket.

Lokasinya terletak di Tanjung Bungah dan tarikan terdekat yang boleh anda pergi di sini bersama keluarga adalah Toy Museum dan Bukit Bendera.

Selain mempunyai kolam renang dan taman permainan, ia juga mempunyai kids club atau indoor play area untuk kanak-kanak. Rasa nak jalan-jalan hirup udara segar, boleh turun ke pantai yang dekat je tepi tu.

Anggaran Harga Bilik: Bermula RM180/malam

9. Park Royal Penang Resort, Batu Feringghi

Antara hotel yang paling lama bertapak di Pulau Pinang, Park Royal kini baru juga mengalami penambahbaikan dari segi design yang lebih moden dan fasiliti bagi memudahkan pengunjung.

Kids’ play room juga dah diperbaharui dengan pelbagai alatan permainan dan hiasan yang menceriakan. Ada swimming pool dan water slide, dan hotel ni pun terletak dekat dengan pantai. Untuk ibu ayah, ada jacuzzi juga tau!

Salah satu plus pointnya, ia juga dekat dengan night market di situ.

Anggaran Harga Bilik: RM380/malam

10. Gurney Resort Hotel & Residence

Bagi yang sukakan kemudahan mall dan, senang nak cari makan, kedai, dan dekat dengan bandar, bolehlah bawa anak-anak menginap di Gurney Resort Hotel ni. Apa yang menariknya ialah lokasinya yang berdekatan dengan mall, iaitu Gurney Plaza.

Lagi satu yang best, dari hotel ni boleh pergi ke Persiaran Gurney yang ada baaaanyak street food yang best dan sedap tau.

Untuk anak-anak, ada kemudahan kolam renang untuk anak beserta sedikit water play area dan gelongsor.  Harga bilik pun ok sangat!

Anggaran Harga Bilik: Bermula RM150/malam

hotel di penang

Anak Happy, Mak Ayah Pun Seronok!

Dah tahu hotel mana yang seronok untuk anak-anak, bolehlah mak ayah buat pilihan bila nak bercuti ke Penang nanti. Seeloknya booking awal-awal dan grab offer yang ada masa promosi.

Maklumlah, Penang ni antara destinasi percutian yang popular bukan saja di kalangan orang Malaysia, malah orang dari serata dunia pun berduyun-duyun datang ke sini terutamanya waktu cuti hujung tahun nanti.

Jadi apa lagi, jomlah bercuti ke Penang!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×