Pengenalan pendidikan seks bukanlah perkara baru yang pernah dibincangkan di Malaysia. Ianya pernah diusulkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mewujudkan subjek tersebut di sekolah awal tahun ini. Namun, usul ini mendapat tentangan ramai pihak kerana beranggapan bahawa subjek ini tidak sesuai diperkenalkan kepada pelajar yang masih bersekolah.
PENDIDIKAN SEKS DARJAH 6 & TINGKATAN 5
Terbaru pelajar Darjah 6 dan Tingkatan 5 akan diajar pendidikan seks dan hak mereka di dalam undang-undang apabila ianya akan dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran sekolah pada tahun 2021.
Memetik laporan NST, Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching berkata subjek tersebut membolehkan pelajar mempelajari tentang isu di dalam pendidikan seks dari sudut undang-undang, termasuk persetujuan seksual.
Menurut Teo, pendidikan seks akan dimasukkan di dalam sukatan Pendidikan Jasmani di bawah Pendidikan Reproduktif dan Pendidikan Kesihatan Sosial (PEERS) dengan kandungan yang sesuai dengan umur masing-masing. Teo berkata lagi, pendidikan seks itu juga akan memperkasakan pelajar untuk mengetahui tentang hak mereka.
Ujarnya lagi, pelajar yang memasuki darjah 6 atau tingkatan 5 mula mengalami fasa ‘cinta monyet’ dan sangat penting untuk mereka mengetahui mengenai jenayah rogol dan bagaimana seks persetujuan akan dianggap sebagai jenayah apabila ia melibatkan remaja perempuan di bawah umur 16 tahun.
Para pelajar akan belajar mereka tidak boleh membiarkan orang menyentuh badan mereka sewenang-wenangnya. Pada masa yang sama, mereka akan belajar tidak baik untuk menyentuh badan orang lain.
Sumber: NST