Seperti mana yang kita tahu, penceraian adalah satu tindakan yang dibenci oleh Allah SWT terutamanya tanpa alasan munasabah. Walau bagaimanapun, hal ini menjadi tanda tanya apabila si isteri meminta cerai kerana suami banyak hutang.
Apabila seseorang itu terlalu banyak berhutang, pasti nafkah kepada isteri dan anak-anak juga terabai kerana tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi.
Baca juga: Rumah Selalu Masuk 5 Haiwan Ini Rupanya Tanda Kena Sihir, Tak Disangka-Sangka!
SUAMI BANYAK HUTANG, INI HUKUM JIKA ISTERI MINTA CERAI
Daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.” Riwayat al-Tirmidzi (1187)
Hadis di atas menjelaskan bahawa seorang wanita dilarang untuk meminta cerai atau melakukan ugutan cerai tanpa ada alasan yang dibenarkan.
Al-Hafiz Al-Mubarakfuri berkata bahawa kenikmatan yang pertama kali dirasakan oleh penduduk syurga adalah mendapatkan bau haruman syurga.
Perlu diketahui bahawa hukum asal bagi penceraian (talak) adalah halal di dalam Islam, tetapi makruh (yakni dibenci Syarak).
Walau bagaimanapun, seorang isteri diharuskan meminta cerai apabila berlaku sesuatu keadaan yang mampu mendatangkan kemudaratan kepada isteri seperti kegagalan suami memberi nafkah kerana terlalu banyak hutang atau jatuh muflis.
Isteri yang tidak diberikan hak sewajarnya boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. Selain itu, merujuk Seksyen 53, perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh adalah dibenarkan apabila suami cuai tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan.
Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah.
Namun perlu diingatkan bahawa penceraian ini adalah jalan keluar yang terakhir dan bukan solusi awal. Semua perkahwinan pasti akan diduga dengan pelbagai konflik.
Kedua-dua memainkan peranan penting dan hendalah memperbaiki diri sendiri serta bertaubat agar perkahwinan diberkati oleh Allah SWT.
Sekiranya suami banyak hutang, berusahalah untuk mencari jalan agar hutang-hutang tersebut dapat dibayar tanpa melibatkan masalah rumah tangga. Semoga masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik.
Baca juga: Tertib Pengurusan Harta Pusaka Si Mati, Faraid Bukan Tempat Pertama…