Famili

Singapura Buka Pendaftaran Vaksin Untuk Kanak-kanak 12 Tahun Dan Ke Atas Mulai Hari Ini

12
SHARES

SINGAPURA: Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas akan ditawarkan vaksin COVID-19 dari Selasa (1 Jun), manakala individu berusia 60 tahun dan ke atas boleh mendapatkan vaksin tanpa perlu mendaftar atau menempah slot temu janji terlebih dahulu, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (31 Mei).

Kumpulan terakhir penduduk yang belum divaksin, iaitu golongan dewasa berusia 39 tahun dan ke bawah, akan mula menerima temujanji mereka dari pertengahan Jun, kata Lee dalam sebuah Perutusan Khas yang disiarkan kepada seluruh negara semalam, 31 Mei.

Beliau menekankan bahawa kadar vaksinasi lebih pantas adalah satu daripada tiga strategi yang perlu diambil oleh Singapura untuk membendung pandemik COVID-19.

Lee berkata pihak berkuasa menerima pengesahan bahawa penghantaran bekalan vaksin akan tiba lebih cepat dalam dua bulan mendatang.

“Dengan jadual bekalan vaksin yang terkini, kami boleh meningkatkan lagi program vaksinasi. Kami boleh menawarkan vaksin kepada semua orang, malah lebih awal daripada yang kami jangkakan,” katanya.

Hampir 4/10 Penduduk Singapura Sudah Mula Menerima Vaksin

Tambah beliau, hampir 4 daripada 10 penduduk di Singapura sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan sasaran Pemerintah adalah supaya dua pertiga daripada penduduk di sini menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

Dengan program vaksinasi dipertingkat, katanya, sasaran itu seharusnya boleh dipenuhi menjelang awal Julai, dengan syarat bekalan vaksin tiba seperti dirancang.

Beliau juga menambah bahawa setiap orang yang layak mendapatkan vaksin seharusnya sudah menerima dos pertama menjelang Hari Kebangsaan tahun ini.

“Sama ada anda berumur atau muda, sila tampil untuk mendapatkan vaksinasi apabila tiba giliran anda.

“Dengan jenis-jenis virus yang lebih mudah berjangkit, kami perlukan seberapa ramai orang yang mungkin untuk mendapatkan vaksinasi, bagi mencapai imuniti kelompok atau menghampirinya. Ini adalah cara untuk menjadikan semua orang selamat dan menyambung kegiatan-kegiatan biasa,” kata beliau.

Para Pelajar Kumpulan Seterusnya Menerima Vaksin 

Para pelajar adalah kumpulan seterusnya untuk menerima vaksin kerana ramai daripada mereka dijangkiti di sekolah-sekolah dan pusat-pusat tuisyen dalam penularan terbaru.

Lee berkata keutamaan akan diberikan kepada mereka yang mengambil peperiksaan N, O dan A mereka tahun ini, serta para pelajar keperluan khas.

Para pelajar lain berusia 12 tahun dan ke atas, termasuk di politeknik, institut pendidikan teknikal dan universiti, akan menerima vaksinasi secara bertahap-tahap selepas itu.

Memandangkan kumpulan merangkumi orang dewasa berusia 39 tahun dan ke bawah adalah agak besar, Lee berkata rakyat Singapura dalam kumpulan usia itu akan diberi tempoh keutamaan dua minggu untuk membuat temu janji mereka, sebelum ia dibuka kepada golongan bukan penduduk yang mahu menerima vaksin.

Hampir 75% Warga Emas Sudah Mula Menerima Vaksin Di Singapura

Dalam ucapannya, Lee membuat rayuan khas kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas supaya mendapatkan vaksin.

“Kebanyakan orang yang sebaya dengan anda sudah pun mendapatkan vaksinasi, termasuk ramai rakan dan jiran anda.

“Presiden dan saya juga telah mendapatkan suntikan vaksin, begitu juga dengan semua rakan Kabinet saya.

“Vaksin-vaksin adalah selamat, dan ia akan membantu memastikan keselamatan anda,” katanya.

Lee berkata sekitar 760,000 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos atau menempah slot mendapatkan vaksin. Ini adalah hampir tiga suku daripada penduduk warga emas di Singapura.

Namun sekitar 280,000 warga emas belum membuat temu janji mereka.

Bagi memudahkan proses itu, warga emas kini boleh terus mendapatkan vaksin di pusat-pusat vaksinasi tanpa perlu membuat temu janji.

“Tidak perlu mendaftar. Anda tidak perlu tempah slot lebih awal. Pergi sahaja ke salah sebuah pusat vaksinasi, dan anda akan diberikan suntikan di sana,” katanya.

Bagi warga emas yang tidak mempunyai telefon bimbit, Encik Lee berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Generasi Warga Emas dan sebuah pasukan vaksinasi terdiri daripada seorang doktor dan jururawat akan datang ke rumah mereka untuk memberi vaksin. 

*Sumber: TODAY via Berita MediaCorp Singapura

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×