Umum mengetahui mengenai khabar duka pemergian anak vokalis Caliph Busker, Azmi Saat yang meninggal dunia pada 30 September lalu selepas beberapa hari dilahirkan. Kehilangan Khairul Afnan memberi impak besar dalam kehidupan Azmi dan isteri kerana mereka menanti selama 10 tahun untuk menimang cahaya mata pertama.
Baca juga: Selalu Aminkan Doa ‘Isteri Nak Rasa Sakit Bersalin’, Azmi Bakal Timang Cahaya Mata Pertama
SETIAP HARI MENANGIS RINDUKAN ARWAH AFNAN
Terbaharu, menerusi satu posting di Instagram miliknya, Azmi ada memuat naik satu foto bersama isteri tercinta dan menitipkan ucapan hari lahir buatnya.
“Hari ni hari ulang tahun kelahiran orang yang sangat bermakna dalam hidup saya. Dialah isteri, sahabat, kawan dan nyawa saya. Mohon kawan-kawan doakan dia agar sentiasa dirahmati, diberkati, dilimpahkan rezeki yang berkat, sentiasa dalam kebaikan di dunia dan akhirat,” jelasnya.
Tambah Azmi lagi, hari tersebut juga merupakan genap sebulan arwah anak tercintanya pergi meninggalkan mereka dan isterinya masih lagi dalam keadaan sedih serta hampir setiap hari menangis kerana merindui anak syurganya itu.
“Kalau sudi, tolonglah hadiahkan kata-kata positif untuknya. Hari ini genap sebulan Aruah Afnan lahir. Ternyata, dia masih belum betul-betul boleh melupakan saat-saat indah bersama cahaya mata kami.
“Walaupun keadaannya semakin baik, tapi setiap hari akan ada masa dia menangis kerana rindukan Afnan dan detik-detik indah itu,” luahnya di kapsyen.
“KUATKAN SEMANGAT & JANGAN PUTUS ASA”
Posting Azmi itu dibanjiri komen warganet yang memberi ucapan hari lahir buat isterinya dan mereka juga sempat mendoakan agar sentiasa kuat semangat serta tidak putus asa.
Warganet juga berharap agar urusan Nazira dan suami dipermudahkan oleh Allah SWT. Amin
Sumber: Instagram Azmi Saat