Seorang wanita menawarkan perkhidmatan jaga anak dengan kadar serendah RM20 sejam buat ibu bapa yang merancang menghadiri majlis resepsi Bella Astillah dan Syed Saddiq di Muar, Johor pada Ahad ini.
Tawaran itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, Siti Azieraa, yang membuka tempahan untuk menjaga anak-anak sepanjang ibu bapa menghadiri majlis perkahwinan pasangan berkenaan pada 25 Oktober 2026.
Baca juga: Kes Bayi 10 Bulan Meninggal Dunia Ketika Dijaga Pengasuh, Bedah Siasat Sahkan Kecederaan Kepala!
UPAH JAGA ANAK SERENDAH RM20 SEJAM UNTUK KENDURI BASS

Menariknya, kediaman wanita itu terletak bersebelahan lokasi majlis berlangsung, sekali gus memudahkan tetamu yang ingin mendapatkan khidmat penjagaan anak tanpa perlu mencari pengasuh di kawasan lain.
Menerusi perkongsian di Threads, Siti Azieraa memaklumkan bahawa perkhidmatan berkenaan ditawarkan mengikut tempoh penjagaan yang diperlukan oleh ibu bapa.
Berikut ialah kadar bayaran yang ditawarkan:
- RM20 untuk satu jam
- RM50 untuk tiga jam
- RM80 untuk enam jam
- RM130 untuk penjagaan sehari penuh
- RM160 untuk penjagaan semalaman
Selain itu, ibu bapa juga boleh membuat tempahan lebih awal bagi memastikan urusan penjagaan anak berjalan lancar ketika menghadiri majlis berkenaan.
Menurut perkongsiannya, kapasiti penjagaan dihadkan kepada lima orang kanak-kanak sahaja pada satu-satu masa. Dia turut memaklumkan bahawa aktiviti disediakan untuk kanak-kanak sepanjang berada di bawah jagaannya.

Turut sediakan bilik untuk tetamu
Bukan hanya menawarkan perkhidmatan menjaga anak, Siti Azieraa turut menyediakan dua bilik untuk disewa kepada tetamu yang memerlukan tempat berehat atau menginap sepanjang berada di Muar.
Salah sebuah bilik dilengkapi penghawa dingin, manakala sebuah lagi tidak mempunyai kemudahan tersebut.
Tawaran ini boleh menjadi pilihan tambahan buat keluarga yang datang dari jauh dan memerlukan tempat penginapan berhampiran lokasi majlis.
Untuk rekod, Bella Astillah dan Syed Saddiq bakal meraikan hari bahagia mereka menerusi majlis resepsi bertemakan ‘Kenduri Rakyat’ di Muar, Johor pada 25 Oktober 2026.
Pasangan itu turut merancang untuk meneruskan sambutan perkahwinan di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober 2026.
Baca juga: Aleeya Nurhanny Harumkan Nama Malaysia, Raih Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik Di Jerman
Sumber: Threads Siti.azieraa
