Famili

“Abah Pun Macam Tu..” – Suka Bawa Buku Nota Ke Mana-Mana, Wanita Kongsi Tabiat Ayah Sama Syed Saddiq!

buku nota

Tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, membawa buku nota ketika berada di pelbagai tempat termasuk semasa menaiki pelamin baru-baru ini mengundang perhatian ramai.

Ada yang tertanya-tanya mengapa beliau sering mencatat sesuatu dalam buku nota kecil, malah ada juga yang mempersoalkan sama ada beliau benar-benar menulis setiap kali mengeluarkannya.

Baca juga: Pelumba Cilik Ayden ‘BamBam’ Raih Pingat Perak Di China, Terus Harumkan Nama Malaysia Dalam BMX Flatland

WANITA DEDAH AYAH SELALU BAWA BUKU NOTA KEMANA SAHAJA

BUKU NOTA

Bagaimanapun, perkongsian seorang pengguna Threads, Alia Nurshuhada, memberikan perspektif berbeza apabila dia menceritakan pengalaman membesar bersama bapanya yang turut mempunyai tabiat sama iaitu membawa buku nota.

Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, Alia menjelaskan bahawa bapanya juga membawa buku nota kecil ke mana-mana sahaja, termasuk ketika berada di tempat yang tidak dijangka.

Malah, bapanya menamakan buku nota tersebut sebagai ‘Buku Idea’ dan sentiasa membawanya bersama sebatang pen.

Menurut Alia, tabiat itu sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian bapanya, sehinggakan dia sukar melihat bapanya keluar tanpa buku nota berkenaan.

Alia turut berkongsi bahawa bapanya mula menulis dalam buku nota 555 sejak zaman universiti ketika melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ketika itu, bapanya berdepan kesukaran memahami bahasa Inggeris sehingga perkataan mudah seperti ‘Exit’ pun tidak diketahuinya.

Disebabkan itu, bapanya membawa buku nota dan kamus ke mana-mana untuk mencatat perkataan yang ditemui berserta maksudnya.

Walaupun ada individu yang mentertawakan tindakannya, bapanya tetap meneruskan usaha tersebut demi menambah pengetahuan.

Pesanan pensyarah jadi amalan selama 30 tahun

BUKU NOTA

Lebih menarik, Alia mendedahkan tabiat bapanya itu bermula daripada satu pesanan ringkas yang diberikan oleh pensyarahnya ketika di universiti.

“Tak tahu, kena terus catat nanti lupa,” kongsi Alia mengenai pesanan pensyarah yang menjadi pegangan bapanya.

Menurutnya, pesanan yang mungkin kedengaran biasa bagi sesetengah orang itu benar-benar dihayati oleh bapanya sehingga menjadi kebiasaan selama kira-kira 30 tahun.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung menunjukkan bagaimana satu nasihat ringkas boleh memberikan kesan besar apabila diamalkan secara konsisten dalam kehidupan seharian.

Alia turut mendedahkan bahawa buku nota kecil yang sering dibawa bapanya itu ditempah khas olehnya. Sebelum ini, bapanya menggunakan buku nota 555 biasa. Namun, selepas buku pertama bapanya diterbitkan, Alia mengambil inisiatif menghasilkan buku nota khas untuk diberikan kepada individu yang menghadiri acara bapanya.

Buku nota tersebut kemudiannya turut diedarkan dalam program latihan yang dikendalikan bapanya sehingga menjadi identiti tersendiri.

Malah, Alia berseloroh bahawa bapanya juga gembira kerana kini mempunyai bekalan buku nota yang tidak terhad di rumah.

Dalam perkongsian sama, Alia turut mengambil peluang memperkenalkan buku-buku hasil penulisan bapanya kepada pengguna Threads yang berminat.

Dia menjelaskan bahawa walaupun tajuk buku tersebut menggunakan bahasa Inggeris, kandungan penulisannya adalah dalam bahasa Melayu dan boleh dibeli di sini. 

Perkongsian itu mengingatkan kita bahawa amalan mencatat perkara yang dipelajari bukan sekadar kebiasaan, sebaliknya boleh menjadi cara untuk menambah ilmu dan memastikan sesuatu maklumat tidak mudah dilupakan.

Baca juga: Kanak-Kanak Ireland Jatuh Cinta Dengan Makanan Asia Tenggara, Ibu Wajib ‘Fly’ Setiap Tahun Ke Malaysia!

Sumber: Threads Alia Shuhada

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×