Nur

Bukan Sengaja Nak Bising, Main & Berlari… Ini Hukum Bawa Anak Autisme Ke Masjid Menurut UAI

ANAK ISTIMEWA

Ibu bapa yang mempunyai anak autisme atau anak istimewa mungkin pernah tertanya-tanya sama ada mereka dibenarkan membawa anak ke masjid untuk menunaikan solat atau mengikuti ceramah agama.

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, menerusi perkongsian di Facebook miliknya menjelaskan bahawa hukum membawa anak istimewa ke masjid adalah harus dengan syarat tertentu.

Baca juga: Jangan Pandang Remeh! Ustaz Wadi Annuar Ingatkan Umat Islam Bahaya 8 Ajaran ‘New Age Movement’ Ini

HUKUM BAWA ANAK ISTIMEWA MASUK MASJID

ANAK ISTIMEWA

Menurut beliau, sebahagian kanak-kanak istimewa, termasuk anak autisme, Sindrom Down dan individu yang mempunyai kelewatan perkembangan, boleh disamakan dengan kanak-kanak yang belum mumayyiz dalam konteks hukum yang dibincangkan.

Bagaimanapun, keharusan itu tertakluk kepada syarat bahawa mereka tidak mengotorkan masjid atau mengganggu jemaah yang sedang menunaikan solat.

Bagi menyokong penjelasan tersebut, Ustaz Azhar Idrus turut memetik pandangan ulama mazhab Syafie yang dinukilkan oleh Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri dalam kitab Al-Fiqh Ala Mazahib Al-Arba’ah.

Petikan berkenaan menjelaskan bahawa kanak-kanak yang belum mumayyiz dan individu yang mempunyai kelemahan mental diharuskan memasuki masjid sekiranya mereka tidak mengotorkan masjid, tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain dan aurat mereka terpelihara.

Penjelasan ini memberi panduan kepada ibu bapa yang ingin membawa anak istimewa bersama-sama mengikuti aktiviti keagamaan di masjid.

Dalam masa sama, ibu bapa perlu mengambil kira keadaan serta keperluan anak masing-masing agar mereka dapat berada di masjid dengan selesa, selain memastikan kebersihan dan ketenteraman jemaah lain turut terpelihara.

Warganet seru masyarakat lebih memahami

ANAK ISTIMEWA

Perkongsian mengenai hukum tersebut turut membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami cabaran yang dihadapi ibu bapa dalam mendidik anak istimewa.

Seorang warganet menyifatkan Islam sebagai agama yang penuh rahmat dan mengingatkan bahawa anak istimewa juga berhak mendapat didikan agama serta merasai suasana di masjid.

Masyarakat turut diseru supaya saling memahami, menjaga adab dan tidak mudah menghukum ibu bapa yang berusaha mendidik anak mereka mendekati agama.

Sikap prihatin dan sokongan orang sekeliling diharapkan dapat membantu mewujudkan suasana masjid yang lebih mesra, sekali gus memberikan peluang kepada setiap keluarga untuk menjalankan ibadah dan mengikuti aktiviti keagamaan bersama-sama.

Baca juga: Wanita Kongsi Pengalaman Otak Gegar Akibat ‘Hair Clip’, Kepala Cedera & Masih Sakit Selepas 2 Tahun!

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×