Seorang wanita berkongsi pengalaman mencemaskan apabila kepala cedera selepas seorang rakannya terjatuh di atasnya ketika mereka melakukan aktiviti gelongsor air di sebuah kolam renang.
Menerusi perkongsian Adriana Bwni di Threads, kejadian yang berlaku pada 21 Ogos 2024 itu menyebabkan dia mengalami sakit kepala yang teruk selepas rakannya tergelincir dan terjatuh tepat di atas kepalanya.
KEPALA CEDERA & OTAK GEGAR KERANA HAIR CLIP

Ketika kejadian, Adriana memakai klip rambut atau hair clip kerana terlupa membawa getah rambut ganti. Dia bimbang getah rambut yang digunakan ketika berenang akan menyebabkan tudungnya berbau hapak apabila dipakai semula dalam keadaan basah.
Tanpa berfikir panjang, dia memilih untuk memakai klip rambut bersama tudung sarung sebelum melakukan aktiviti di gelongsor air bersama rakan-rakannya.
Bagaimanapun, keadaan bertukar cemas apabila seorang rakannya tergelincir ketika menuruni gelongsor yang sudah basah dan licin, lalu terjatuh tepat di atas kepalanya.
Menurut Adriana, dia berasa seperti kepalanya dihempap batu besar sehingga pandangannya menjadi gelap seketika. Walaupun masih mampu meneruskan aktiviti, dia mula berasa pening dan mengalami sakit kepala yang sukar digambarkan.
Selepas selesai berenang, mereka singgah di sebuah pusat beli-belah. Namun, kesakitan yang dialaminya semakin teruk sehingga dia tidak berselera untuk makan.
Rakan-rakannya mencadangkan supaya dia mendapatkan rawatan di klinik, tetapi Adriana memilih untuk pulang dan berehat kerana terlalu menahan sakit. Dia menyangka keadaannya akan bertambah baik selepas tidur.
Bagaimanapun, sebaik bangun keesokan harinya, sakit kepala itu masih berterusan dengan teruk. Bimbang mengalami kecederaan yang lebih serius, dia akhirnya mengambil keputusan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
Pemeriksaan X-ray dedahkan kecederaan kepala

Menurut perkongsiannya, hasil pemeriksaan X-ray menunjukkan terdapat kecederaan yang digambarkannya sebagai koyakan atau bengkak pada tisu di dalam kepala. Doktor turut memberikan ubat untuk membantu mengurangkan bengkak dan menasihatkannya supaya tidak lagi memakai klip rambut berkenaan.
Lebih membimbangkan, Adriana mendakwa kesakitan itu masih dirasainya sehingga kini, walaupun kejadian tersebut sudah berlalu kira-kira dua tahun.
Dia menjelaskan bahawa kepalanya masih terasa sakit apabila memakai topi keledar atau apabila terdapat beban pada kepala.
Menerusi perkongsian itu, Adriana mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memilih aksesori rambut, khususnya apabila melakukan aktiviti yang berisiko menyebabkan seseorang terjatuh atau mengalami hentakan pada kepala.
Dia turut mencadangkan penggunaan klip rambut silikon atau getah rambut jenis satin sebagai pilihan alternatif.
Menurutnya, perkongsian tersebut dibuat sebagai langkah meningkatkan kesedaran agar orang lain tidak mengalami kesakitan seperti yang dilaluinya.
Baca juga: Baru 200 Meter Dari Rumah, Remaja 15 Tahun Digigit Anjing Liar Ketika Keluar Beli Ubat
Sumber: Threads Adriana
