Didik

Risau Anak Terhidu Udara Tercemar Ketika Jerebu, Ibu Bapa Boleh Tidak Hantar Anak Ke Sekolah – Fadhlina

MASALAH JEREBU

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, menjelaskan tatacara pengoperasian sekolah ketika negara berdepan masalah jerebu bagi memastikan keputusan berkaitan persekolahan dibuat secara lebih teratur dengan mengambil kira faktor kesihatan murid dan kelangsungan pembelajaran mereka.

Baca juga: Berat 1,295kg, Labu Gergasi Ini Pecah Rekod Dunia… Lebih Berat Daripada Badak Putih!

RISAU MASALAH JEREBU, IBU BAPA BOLEH TAK HANTAR ANAK SEKOLAH

MASALAH JEREBU

Menerusi perkongsian di Facebook, Fadhlina memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memulakan penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah berpandukan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

Langkah itu diambil susulan perbincangan bersama agensi berkaitan serta penegasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bahawa pengurusan jerebu perlu berpandukan pelan tindakan berkenaan.

Menurutnya, penyelarasan tersebut bertujuan memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa yang terpaksa menunggu keputusan pengoperasian sekolah setiap hari sepanjang negara berdepan situasi jerebu.

Menurut Fadhlina, keputusan berkaitan pengoperasian sekolah akan dibuat berdasarkan penilaian keadaan semasa, termasuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Melalui penyelarasan itu, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100.

Sementara itu, penutupan sekolah akan dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan PTJK.

Beliau menjelaskan bahawa bacaan IPU boleh berubah dalam tempoh yang singkat. Oleh itu, penutupan sekolah lebih awal untuk beberapa hari tanpa mengambil kira perubahan kualiti udara boleh menyebabkan murid kehilangan masa pembelajaran sekiranya keadaan kembali pulih.

Ibu bapa boleh tak hantar anak ke sekolah

MASALAH JEREBU

Dalam masa sama, Fadhlina memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, khususnya murid yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara.

Sehubungan itu, ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu.

Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah. Fadhlina turut memaklumkan bahawa KKM telah memberikan pandangan mengenai langkah perlindungan kesihatan ketika jerebu, termasuk penggunaan pelitup muka bagi membantu melindungi anak-anak daripada kesan pencemaran udara.

Beliau berharap penyelarasan tatacara pengoperasian sekolah itu dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, selain mengurangkan kesulitan yang dihadapi ketika berdepan situasi jerebu.

Menurutnya, setiap keputusan berkaitan pengoperasian sekolah perlu mengambil kira aspek kesihatan murid dan kelangsungan pendidikan mereka secara seimbang.

Baca juga: Tragedi MRR2, Anggota Tentera Tercampak Dari Jejambat Sebelum Hempap Penunggang Motosikal

Sumber: Facebook Fadhlina Sidek

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×