Seorang pekebun berpengalaman dari Hampshire, United Kingdom (UK), Ian Paton, sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan labu gergasi paling berat di dunia dengan berat mencecah 1,295.8 kilogram (kg).
Kejayaan itu disahkan oleh pegawai Great Pumpkin Commonwealth (GPC) pada 3 Oktober lalu, sekali gus memecahkan rekod dunia yang dipegangnya bersama saudara kembarnya, Stuart Paton, pada tahun 2025.
Baca juga: 4 Tahun Simpan Cili Kisar Terakhir Arwah Mak, Akhirnya Makan Sambil Menangis Kenang Memori Bersama…
LABU GERGASI PECAH REKOD DUNIA

Labu gergasi itu mempunyai berat bersamaan 2,856 paun, malah lebih berat daripada seekor badak putih. Menariknya, labu berkenaan diberi nama ‘Bagheera’ atas cadangan anak Ian, yang mengambil inspirasi daripada watak harimau kumbang dalam novel kanak-kanak klasik The Jungle Book karya Rudyard Kipling.
Pada tahun 2025, Ian dan Stuart mencipta sejarah apabila menjadi pemegang rekod dunia dari Britain bagi kategori labu paling berat yang pernah direkodkan.
Ketika itu, labu mereka yang diberi nama ‘Muggle’ mencatatkan berat 1,278.8 kg. Bagaimanapun, rekod tersebut berjaya diatasi oleh Bagheera yang mempunyai berat hampir 17 kg lebih tinggi berbanding Muggle.
Walaupun kehilangan gelaran labu paling berat di dunia, Muggle masih memegang rekod bagi labu dengan lilitan terbesar, iaitu 649.8 sentimeter (cm).
Bagheera pula mempunyai lilitan 596.9 cm, namun beratnya berjaya mengatasi rekod terdahulu. Menurut Gerald Short, hakim bertauliah GPC yang bertugas di pertandingan Wargrave Weigh-Off, Bagheera merupakan spesimen paling berat yang pernah direkodkan dalam sejarah tumbuhan berbuah.
Berbeza dengan kejayaan pada tahun sebelumnya, Ian terpaksa mengusahakan tanaman labu gergasi itu secara bersendirian selepas Stuart memutuskan untuk bersara daripada pertandingan berkenaan pada 2025.
Ian mengakui musim penanaman kali ini lebih mencabar kerana dia perlu menguruskan semua kerja tanpa bantuan saudara kembarnya.
Menurutnya, dia menghabiskan sehingga enam jam sehari di kawasan tanaman selama dua bulan bagi memastikan labu berkenaan membesar dengan baik.
Malah, dia secara berseloroh mengakui masa bersama isterinya turut berkurangan sepanjang tempoh tersebut kerana terlalu sibuk menguruskan tanaman.
Cabaran itu menjadi lebih sukar apabila UK mengalami beberapa siri gelombang haba yang luar biasa pada musim panas tahun ini.
Bagaimanapun, pengalaman Ian menanam labu di dalam rumah hijau sejak sekian lama membantunya mengatasi keadaan cuaca panas.

Petua tanam labu gergasi
Salah satu petua yang dikongsikan Ian kepada individu yang ingin menanam labu gergasi ialah menggunakan rumah hijau.
Menurutnya, kaedah itu membolehkan tanaman memulakan pertumbuhan lebih awal dan mempunyai tempoh yang mencukupi untuk mencapai saiz maksimum.
Selain itu, sebahagian tingkap rumah hijau turut dilitupi bahan pemutih bagi mengurangkan keamatan cahaya matahari yang terkena pada daun tanaman.
Ketika suhu di dalam rumah hijau mencecah 40 darjah Celsius, tanaman labu Ian memerlukan sehingga 130 gelen atau kira-kira 590 liter air sehari.
Jumlah itu bersamaan dengan kapasiti kira-kira tiga tab mandi penuh. Ian turut berkongsi bahawa sebiji labu boleh membesar daripada saiz bola golf kepada saiz gergasi dalam tempoh hanya 120 hari.
Dalam tempoh pertumbuhan tertentu, labu berkenaan mampu bertambah berat sehingga 32 kg sehari. Selain Bagheera, Ian turut menghasilkan sebuah lagi labu gergasi yang dinamakan ‘Baloo’ pada tahun ini.
Labu seberat 1,258 kg itu berjaya memenangi tempat pertama dalam kategori labu di Kejohanan Sayuran Gergasi Kebangsaan CANNA UK yang berlangsung di Malvern Autumn Show.
Baca juga: Ayah Tunjuk ‘Ultrasound Palsu’, Anak Terus Serik Makan Jajan Selepas Nampak ‘Ulat’ Dalam Perut!
Sumber: Guinness World Records
