Rakyat

Seramai 456 Bayi Berjaya Diselamatkan, Yayasan OrphanCare Jadi Pelindung Bayi Terbuang

123
SHARES

Pembuangan bayi sering berlaku ekoran terjadinya kehamilan yang tidak diingini. Justeru itu, terdapat ramai pihak menyedari betapa pentingnya melindungi bayi suci ini dengan menyediakan penempatan khusus dan menawarkan khidmat melindungi bayi seperti Yayasan OrphanCare.

Yayasan OrphanCare yang bergiat aktif dalam melindungi bayi terbuang sejajar dengan misi utamanya iaitu mengusahakan mencari ibu bapa angkat kepada bayi yang ditinggalkan atau tidak mampu dijaga ibu kandung.

Baca juga: Ini 5 Tanda Anak Ada Masalah Visual Ketika Menulis, Alert!

SERAMAI 456 BAYI BERJAYA DISELAMATKAN

Menurut laporan BH Online, seramai 456 bayi berjaya diselamatkan, di mana 281 daripadanya diambil sebagai anak angkat sejak tertubuhnya pada tahun 2008.

Manakala, 163 bayi dijaga sendiri ibu kandung dan 12 lagi bayi ditempatkan di rumah anak yatim kerana pelbagai masalah kesihatan seperti sindrom down, cerebral palsy dan lain-lain.

Berdasarkan laporan sepanjang tiga tahun lalu, pada 2019 seramai 37 bayi diselamatkan dan 45 bayi pada 2020. Namun, akibat pandemik COVID-19 yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jumlahnya menurun kepada 19 bayi.

Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi, berkata dengan mencapai misi utamanya bayi diselamatkan tidak perlu ke rumah anak yatim yang dihuni ramai kanak-kanak lain.

“Kami mahu usahakan semua bayi mempunyai keluarga dan kami sudah lakukan sejak 13 tahun lalu. Semua bayi diselamatkan akan diserahkan kepada keluarga angkat sebaik selesai semua proses diperlukan,” katanya.

Menerusi yayasan itu, tiga cara dilaksanakan untuk menyelamatkan bayi iaitu ibu sedang mengandung datang ke sini, ibu sudah melahirkan menyerahkan bayi kepada yayasan untuk dijadikan anak angkat dan ibu yang enggan dikenali menyerahkan bayi di Baby Hatch disediakan.

PERKHIDMATAN DISEDIAKAN ORPHANCARE

Sementara itu, Riza menyatakan yayasan turut membantu ibu mengandung yang keliru sewaktu membuat keputusan. Khidmat kaunseling akan diberikan terlebih dahulu sebelum mereka memilih menjaga sendiri atau menyerahkan bayi kepada keluarga angkat.

Selain itu, bagi ibu yang tidak boleh menjaga bayi, yayasan akan membantu proses pengangkatan untuk diserahkan kepada keluarga angkat berdasarkan senarai nama yang ada.

Tambah beliau lagi, Yayasan OrphanCare mewajibkan ibu bapa angkat menghadiri sesi latihan psikologi, sistem undang-undang dan proses pengangkatan.

“Mereka juga akan menjalani sesi temu duga dan lawatan pekerja sosial ke rumah sebelum permohonan diluluskan,” jelas beliau.

Yayasan juga membantu JKM menguruskan anak angkat yang sudah berusia dua tahun ke atas berdasarkan permintaan keluarga angkat.

Riza menegaskan, kriteria diperlukan untuk menjadi ibu bapa angkat adalah sama seperti ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti termasuk sudah berkahwin lebih lima tahun, mempunyai rekod kesihatan berkaitan masalah kehamilan, gaji melebihi RM5,000, tiada rekod jenayah, warganegara, tinggal di lokasi selamat dan lain-lain.

Ketika ini tiga OrphanCare ditubuhkan di sekitar Petaling Jaya; Sungai Petani, Kedah dan Johor Bahru, Johor.

Sumber: BH Online

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×