Sihat

Sapuan Florida Sejak Awal Akan Kuatkan Gigi & Elak Karies. 7 Perkara Ibu Ayah Patut Tahu

19.1K
SHARES

Masa bawa anak ke Klinik Kesihatan untuk pemeriksaan rutin atau vaksin, pernahkah ibu diberitahu untuk membuat pemeriksaan gigi anak?

Di kebanyakan klinik gigi kerajaan, kini dah ada program sapuan florida yang ditawarkan kepada kanak-kanak secara percuma. Malah, ia juga diperkenalkan kepada bayi seawal tumbuhnya gigi pertama mereka.

Bagi yang tak pernah mendapatkan perkhidmatan ini, mesti ramai nak tahu apa sebenarnya sapuan florida ini, bagaimana ia dikendalikan dan apakah tujuannya.

Jom ketahui lebih lanjut tentang sapuan florida ini.

7 Perkara Tentang Sapuan Florida Pada Kanak-kanak Dan Bayi

1. Apakah Sapuan Florida?

Sapuan fluorida atau Varnis Fluorida adalah fluorida yang disapu pada permukaan gigi untuk mencegah kerosakan gigi. Ia merupakan cecair likat yang mengandungi bahan fluorida.

Menurut Portal MyHealth, terdapat beberapa jenis varnis fluorida dan dua bahan fluorida yang kerap digunakan adalah 5% sodium fluoride and 0.9% difluorsilane.

sapuan florida kanak kanak

2. Tujuan & Manfaat Sapuan Florida

Varnis fluorida merupakan rawatan klinikal bagi mencegah karies yang cepat, tidak menyakitkan dan selamat bagi kanak-kanak.

Penggunaannya mampu mengurangkan kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak sehingga 30%-50% dengan bertindak menguatkan struktur gigi.

Foto Kredit: Canadian Academy Of Dental Hygiene

3. Usia Yang Sesuai Membuat Sapuan Florida

Menurut Dr Iqbal Rosali, sesiapa sahaja boleh diberikan sapuan flourida ini. Dalam kes anak saya, dia juga telah diberi sapuan fluorida setelah tumbuh 2 batang gigi.

Terutamanya kanak-kanak yang berisiko tinggi karies seperti banyak makan minum manis, malas gosok gigi dan ada gigi yang sudah rosak.

sapuan florida kanak kanak

4. Bagaimana Sapuan Florida Dilakukan? Sakit Ke?

Sapuan florida ini hanya akan mengambil masa yang sangat singkat.

Mula-mula, gigi akan dibersihkan dengan kain kapas lembut (gauze). Apabila gigi telah dibersihkan, sedikit varnis fluorida akan disapu pada permukaan gigi tersebut.

Varnis fluorida akan mengeras dan melekat pada permukaan gigi sejurus selepas sapuan. Ia untuk membantu penyerapan flourida ke dalam gigi. Biarkan untuk beberapa jam. Ia akan hilang dan boleh ditanggalkan semasa memberus gigi nanti.

sapuan florida kanak kanak

Foto Kredit: Pergigian Bachok

5. Berapa Kerap Ia Perlu Dibuat?

Untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi mendapat kerosakan gigi, varnis fluorida boleh disapu sebanyak 2 hingga 4 kali setahun.

Namun, ia bukanlah rawatan rutin dan kanak-kanak mesti menggosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Tak boleh bergantung kepada sapuan fluorida saja ya!

6. Di Mana Boleh Buat?

Sapuan varnis fluorida boleh didapati di klinik-klinik pergigian kerajaan dan swasta.

Jururawat juga ada memberikan sapuan flourida kepada murid-murid sekolah rendah dan kanak-kanak pra sekolah bila mereka datang.

7. Bolehkah Disapu Sendiri?

Tidak. Ia juga tidak dijual di farmasi kerana sapuan ini hanya boleh dilakukan oleh professional dan atas nasihat doktor.

Foto Kredit: Taska & Tadika UITM

Jaga & Periksa Gigi Anak Secara Rutin

Jadi, dah jelas kan?

Sapuan florida akan melindungi pula gigi-gigi yang lain daripada rosak. Malah, jika ada gigi-gigi yang baru mula rosak, sapuan florida ini juga boleh menghalang daripada lubang pada gigi menjadi lebih besar.

Oleh itu, kepada para ibu bapa bawalah anak anda ke klinik pergigian berhampiran anda. Bagi bayi, sejak awal lagi patut dibiasakan dengan membersihkan lidah dan mulut mereka. Boleh guna berus gigi getah yang boleh disarung di tangan tu atau gunakan saja kain lembab.

Periksalah mulut anak anda dengan kerap dan amalkan penjagaan yang betul. Yang penting, pastikan gigi mereka dibersihkan sekurang-kurangnya 2 kali sehari ya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×