keselamatan

Tiada Saman Akan Dikeluarkan Dalam Tempoh 6 Bulan Pertama Penguatkuasaan Car Seat Anak – Anthony Loke

9.3K
SHARES

Seperti yang kita tahu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Oktober lalu telah mengumumkan kerajaan akan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan dalam usaha mengurangkan kes kecederaan serius atau kematian kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan.

Namun tiada sebarang saman akan dikeluarkan sekiranya ibu bapa gagal menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya iaitu bermula pada 1 Januari 2020, seperti yang dilaporkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi BERNAMA.

Menurut beliau, kementeriannya mengambil pendekatan mendidik dahulu sebelum langkah penguatkuasaan diambil sepenuhnya.

Hanya 30% Pemilik Kenderaan Memasang Kerusi Keselamatan Kanak-kanak

Apapun, ini bukanlah alasan bagi ibu bapa melengahkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak. Malah, pentingnya ibu bapa memahami undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan adalah demi keselamatan anak-anak.

“Saya faham mentaliti rakyat Malaysia, kalau kita cakap tak wajib, memang takkan ada ramai yang buat (laksana). Kajian Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang pasang kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Apa yang penting kita beri kesedaran dan nasihat. Kalau belum pasang (CRS), jangan saman dahulu, beri amaran dan peringatan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada 18 November 2019.

0% Duti Import & Pengurangan Cukai Jualan Bagi Kerusi Keselamatan Kanak-kanak

Anthony berkata, pihaknya juga telah mendapat kelulusan untuk mengenakan sifar peratus duti import CRS selain pengurangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 10 peratus kepada lima peratus daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Kementerian berharap dapat menetapkan kadar sifar SST, namun ia memerlukan kelulusan daripada pihak MOF,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyeru semua pihak terutama pengeluar kenderaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta untuk membantu usaha kerajaan dalam mewajibkan penggunaan CRS.

Katanya, terdapat juga pihak swasta yang telah memberikan subsidi pembelian CRS kepada golongan kurang berkemampuan.

Untuk mengetahui Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak, rujuk pautan INI.

Jangan Ambil Mudah

Sungguhpun terdapat kelonggaran, janganlah kita ambil mudah pula dengan isu kerusi keselamatan ini ya.

Lagipun, ia demi keselamatan anak-anak kita juga!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×