Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, membolehkan semua rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2025. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, RMK-12 adalah pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
Baca juga: PKP3.0: Ini 8 Saranan Johari Ghani Buat Kerajaan Berdepan Pandemik
‘KERAJAAN PERLU BERSIKAP TELUS DALAM PERBELANJAAN’- DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI
Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata penyediaan RMKe-12 bagi pembangunan negara untuk lima tahun akan datang itu sangat penting dan mencabar memandangkan keadaan pandemik COVID-19 telah membatasi ruang fiskal kerajaan dan mengekang kemampanan fiskal negara.
Kerajaan perlu bersikap telus dengan amalan perbelanjaan di luar belanjawan khususnya yang dibiayai melalui jaminan hutang. Ia bagi mengelakkan jumlah hutang dan liabiliti kerajaan meningkat ke paras tidak mapan yang mana akan menjejaskan kedudukan fiskal negara dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Beliau berkata, adalah tidak pasti bagaimana kerajaan berupaya membiayai ratusan bilion perbelanjaan pembangunan untuk lima tahun ke depan tanpa perlu menaikkan had hutang berkanun setiap tahun dengan kedudukan hutang kerajaan berjumlah RM958 bilion atau 61.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), termasuk hutang yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM300 bilion yang terdiri daripada bon yang diterbitkan oleh Danainfra, Prasarana, yang harus ditanggung oleh kerajaan termasuk komitmen kerajaan di luar belanjawan yang lain.
Justeru, katanya, sebarang perbelanjaan untuk projek infra yang membabitkan komitmen jaminan oleh kerajaan hanya harus membabitkan projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat dalam hal menyediakan pekerjaan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Semua projek yang tidak dirancang dan diluar RMKe-12, sekiranya ia tidak diperlukan maka tidak wajarlah dipertimbangkan. Kerajaan mesti belajar daripada pandemik ini dan berusaha untuk memberi tumpuan kepada peningkatan kemampuan penjagaan kesihatan awam”
LINDUNG SUMBER BEKALAN MAKANAN
Mengulas mengenai harapan RMK-12, mengikut perangkaan Bank Dunia, perbelanjaan penjagaan kesihatan kerajaan Malaysia ketinggalan di belakang dengan hanya membelanjakan 2.0 peratus daripada KDNK untuk penjagaan kesihatan awam berbanding kira-kira 3.8 peratus KDNK oleh negara berpendapatan menengah atas lain.
Johari juga berkata, pandemik COVID-19 juga telah mendedahkan kerentanan kedudukan keselamatan makanan negara, yang mana jika negara lain menghentikan eksport produk makanan ruji seperti beras, tepung, gula, jagung dan komoditi makanan import lain untuk melindungi bekalan domestik mereka sendiri, menjadikan pengimport seperti negara ini berisiko kekurangan makanan.
“Antara lain yang boleh dipertimbangkan adalah pelaburan berbalik di negara lain yang menanam makanan import kita di luar negara untuk melindungi sumber bekalan makanan kita,” katanya.
Johari berkata, dalam RMKe-12, kerajaan mesti memikirkan penanaman atau pengeluaran makanan sebagai suatu keperluan dengan menerapkan sistem teknologi tinggi, ketepatan kejuruteraan dan konsep lestari. Beliau berkata, kerajaan mesti memperuntukkan sumber yang cukup untuk melaksanakan strategi itu daripada awal lagi agar sektor swasta dapat turut serta dalam inisiatif berkenaan untuk mewujudkan ekosistem keselamatan makanan negara yang lestari.
“Saya harap RMKe-12 akan memberikan hala tuju yang jelas bagi kerajaan untuk merangka Belanjawan 2022 kerana ia penting untuk meningkatkan keyakinan pelabur yang telah berkurang sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti yang ditunjukkan oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) negara ini yang berada di belakang ekonomi serantau lain seperti Indonesia dan Vietnam,” katanya.
Johari juga berharap, Ahli Parlimen mesti diberi masa yang cukup untuk berdebat dan membincangkan RMKe-12 di Parlimen kerana ia adalah strategi penting yang akan diambil oleh negara dalam lima tahun akan datang. Sebenarnya, ia lebih penting berbanding belanjawan kerana belanjawan tahunan harus mengikuti strategi yang telah dikemukakan dalam RMKe-12 ini.
Sumber: Berita Harian