Inginkan percutian yang mendamaikan? Anda pasti sedang mengangguk-anggukkan kepala sekarang. Siapa yang tidak mahu bukan?
Namun, untuk ibu-bapa, percutian mendamaikan itu bakal menjadi mimpi ngeri jika semua anak-anak diangkut bersama. Apa tidaknya, kadang-kadang jadi lebih penat daripada biasa dek melayan kerenah anak-anak.
Resort mesra kanak-kanak
Banyak resort di Malaysia yang menawarkan fasiliti dan kemudahan untuk kanak-kanak. Ini bakal melekakan anak-anak yang dalam kepala mereka, hanya memikirkan tentang tiga perkara:
- Main
- Main
- Main
Asalkan kita beri mereka peluang bermain dan bersuka-ria, mungkin ibu-bapa boleh ambil masa sedikit bercanda dengan pasangan masing-masing. Macam pasangan baru bercinta.
Kebanyakan lokasi yang kami cadangkan ini terletak di Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Sabah.
Kenapa mesti Langkawi, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu?
Ini kerana ketiga-ketiga tempat ini adalah tempat tumpuan pelancong.
Senarai resort mesra kanak-kanak
1. Meritus Pelangi Beach & Spa, Langkawi
Resort Meritus Pelangi Beach & Spa, Langkawi ada menubuhkan Kelab KiKi untuk kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun. Kelab ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya berhibur dengan maskot kelab, bermain di taman permainan, berenang di kolam malah restorannya siap dilengkapi dengan kerusi kecil, kertas lukisan dan permainan.
Namun, tarikan utama di resort ini adalah Ladang Haiwan KiKi. Kanak-kanak di bawah empat tahun dibenarkan menyertai aktiviti-aktiviti ini dengan pengawasan ibu bapa. Caj penjagaan kanak-kanak sebanyak RM8 dikenakan bagi tempoh satu jam dan RM20 selepas pukul 11 malam.
2. The Four Seasons, Langkawi
Resort ini terletak di Laut Andaman. Bagi keluarga yang memiliki anak dan mendaftar di Resort The Four Seasons, Langkawi mereka disarankan menginap di unit vila bertaman yang dijamin tahap keselamatannya terutama bagi kanak-kanak.
Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak turut diberikan jubah mandi bersaiz kecil, minuman jus sebelum masuk tidur dan topeng tidur yang boleh diwarnakan mengikut cita rasa masing-masing. Restorannya juga menyediakan tandas duduk kanak-kanak dan kerusi tinggi. Kadar yang dikenakan untuk menjaga kanak-kanak adalah RM100 sejam.
3. Hard Rock Hotel, Penang
Jika anda mempunyai anak remaja, bolehlah menginap di Hotel Hard Rock, Pulau Pinang yang bukan sahaja menjanjikan keriangan berterusan malah kolam renang berkeluasan 2,400 kaki persegi lengkap dengan kepulauan pasir serta papan lungsur pasti bertetapan cita rasa mereka.
Kelab The Tabu Teens pula menyediakan pelbagai aktiviti santai untuk remaja berusia 13 hingga 18 tahun seperti meja pool, permainan elektronik, bola sepak, sesi memasak, kraf tangan dan menonton wayang.
4. Hotel Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu
Jika di Langkawi dan Pulau Pinang lebih kepada aktiviti indoor, di Hotel Shangri-La Rasa Ria, Kota Kinabalu (www.shangri-la.com) pula lain caranya. Dikelilingi dengan hutan tropika, kanak-kanak dibawa ke pusat pemeliharaan semula jadi orang utan untuk mengenali dengan lebih dekat lagi akan haiwan ini.
Terletak di dalam kawasan hotel, kanak-kanak ini berpeluang menjadikan orang utan sebagai anak angkat. Kelab Kids pula menyediakan hiburan santai, berenang di kolam, menunggang kuda dan banyak lagi.
5. Hotel Shangri-La Tanjung Aru Resort and Spa, Kota Kinabalu
Setiap hari di Hotel Shangri-La Tanjung Aru Resort and Spa, Kota Kinabalu adalah hari untuk kanak-kanak. Bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang, pihak hotel akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak termasuk sesi membuat biskut, menonton wayang dan pertandingan mencari barang.
Majlis keraian bertema pula diadakan setiap hari Jumaat. Turut disediakan seksyen untuk kanak-kanak bawah empat tahun yang dilengkapi dengan permainan lembut, sudut kreatif untuk melukis dan membuat kraf, bilik komputer dan TV serta bilik rehat untuk ibu bapa.
Jika anak anda sudah merasai bosan dengan aktiviti air ataupun penat bermain di taman permainan, bolehlah melibatkan mereka dalam sesi memberi makan ikan koi di kolam. Bayaran sebanyak RM30 sejam dikenakan kepada ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk penjagaan.
6. Nexus Resort & Spa Karambunai, Kota Kinabalu
Kelab Nexie di Nexus Resort & Spa Karambunai juga menyediakan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak semuda empat hingga 11 tahun, bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam. Antara aktiviti yang menarik termasuk kraf origami, pelajaran seni, sesi bercerita dan banyak lagi.
Untuk anak remaja pula, bolehlah ke Lagoon Park yang menawarkan aktiviti kayak, menunggang jet ski dan memancing. Jika ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi, tidak perlu pergi jauh. Hotel ini menyediakan taman seluas 75 ekar untuk seisi keluarga beriadah bersama.
7. Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu
Resort Pacific Sutera (dulu dikenali dengan Resort Sutera Harbour) mempunyai kelab kanak-kanaknya yang dipanggil Kelab The Kiddies.
Kelab ini menyediakan jim, kawasan memanjat, taman permainan terbuka, kolam mandi kanak-kanak, arked permainan dan lorong boling. Semua tempat rekreasi ini diselia oleh staf hotel dan selamat digunakan.
8. The Andaman, Langkawi
Anak anda melibatkan diri dalam senaman yoga? Kelab Kids For All Seasons di The Andaman, Langkawi menyediakan kelas yoga untuk kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun. Selain itu anak-anak anda boleh berhibur dengan mendengar muzik, bermain permainan, bercerita, bersiar-siar mengambil angin pagi, bermain tenis dan sebagainya.
Kelab Young Explorer pula menawarkan “Pendidikan Pelancongan” yang memfokuskan kepada alam semula jadi.
9. The Danna, Langkawi
Di The Danna Langkawi, pihak hotel menyediakan kemudahan tempat bermain dan ruang menonton di bawah naungan Kelab Danna Kids.
Fasiliti ini boleh digunakan bermula tengah hari hingga 8 malam.
10. The Westin Langkawi Resort & Spa, Langkawi
Kelab The Westin Kids yang ditubuhkan oleh The Westin Langkawi Resort & Spa lebih beralih kepada pembelajaran mengenai kehidupan flora dan fauna, mengenali makanan tempatan dan bidang fotografi.
Kelab ini dibuka kepada kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun pada kadar bayaran sebanyak RM70 untuk separuh hari dan RM100 seharian.
11. Hotel The Golden Sands Resort by Shangri-La, Pulau Pinang
Bayaran sebanyak RM21 untuk dua jam dikenakan kepada kanak-kanak yang ingin menyertai aktiviti di Adventure Zone iaitu kawasan seluas 10,300 kaki persegi dalam Hotel The Golden Sands Resort by Shangri-La, Pualau Pinang.
Antara kemudahan yang disediakan dalam zon ini adalah gelongsor, kawasan permainan dan bilik bertema untuk meraikan sambutan hari jadi. Di bawah Kids Club, kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun boleh mempelajari golf, bertanding dalam permainan Nintendo Wii, melihat persembahan ular, mewarnai baju-T dan menghasilkan kraf bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari.
12. The Parkroyal, Penang
Memang terkenal dengan kemudahan mesra kanak-kanak, Kelab Koko-Nut Kids yang ditubuhkan oleh The Parkroyal Penang memperkenalkan pelbagai aktiviti yang boleh disertai oleh kanak-kanak seawal usia empat hingga 12 tahun seperti mewarna, melukis daun, sukan air, menonton wayang, melukis topeng, persembahan boneka dan banyak aktiviti lain.
Ibu bapa yang memerlukan penjagaan anak-anak di bilik dikenakan bayaran RM10 sejam.
Akhir kata
Bekerja siang malam, banyak duit buat apa? Bukannya boleh bawa mati. Hilangkanlah rasa penat bekerja dengan meluangkan masa bersama keluarga.
Bawalah anak-anak bercuti! Ada banyak sangat tempat menarik di Malaysia.
Sumber: smarttravelasia.com dan tripadvisor.com