Dapur

Resepi Sushi Halal Tanpa Mirin & Harga Bahan Pun Mesra Poket!

40
SHARES

Kini, anda tidak perlu selalu mengeluarkan duit ke restoran menjual sushi, makanan yang berasal dari negara Jepun ini kerana anda boleh saja menikmatinya sendiri di rumah. Berita baik buat pencinta sushi, bukan?

Sudah tentu, paling penting sushi ini dijamin halal, selain harga bahannya yang murah dan mudah untuk anda buat bersama keluarga di rumah. Jom cuba perkongsian resepi dari Puan Siti Hazneza Abdul Hamid di bawah.

Baca juga: Resepi Laksa Nyonya, Unik & Berbeza Dari Laksa Biasa Pernah Dinikmati

RESEPI SUSHI HALAL, SELERA JEPUN UNTUK ANDA!

Jom ke Jepun.

Ultraman kecil di rumah ni memerap hendak makan sushi. Semalam semasa beli rumpai laut daun nori, dia tak lepas dari tangan. Tinggal tak bawa tidur sahaja. Pagi ni Alhamdulillah dapat ditunaikan hajatnya.

SUSHI HALAL TANPA MIRIN & HARGA BAHAN MESRA POKET!

Sushi halal tanpa mirin. Harga mesra poket.

Saya belajar buat sushi sebelum kahwin kerana saya dan adik kerap kali makan sushi dan kena bayar hampir RM 100. Puaslah kami campur-aduk warna pinggan sushi di kedai untuk dapatkan harga yang tidak terlalu mengoyakkan kantung. Paling murah adalah RM 70.

Buku sushi pertama saya beli memang menakutkan! Hampir setiap langkah akan ada amaran itu dan ini. Pendek kata, jika tersilap atau derhaka resipi akan tersumpah jadi batu agaknya.

Buku kedua pula beli selepas kahwin. Sangat memudahkan dengan cara penyampaian yang santai. Pada masa ini juga saya ada kenalan yang rajin buat sushi jadi mereka juga berkongsi tips sepatah dua.

Video YouTube jangan tanyalah, berasap rasanya komputer dan komputer riba (laptop) saya menonton pembuatan sushi.
Paling terliur dan teruja apabila melihat guru-guru sushi bekerja. Ma shaa Allah! Rasa macam nak masuk dalam video.

DALAM PENGHASILAN SUSHI DAPAT DISIMPULKAN…

Setelah banyak kali buat, saya dapat simpulkan beberapa perkara:

  • Inti boleh dibuat ikut selera kita walaupun tidak bercitarasa Jepun. Bukankah kita yang hendak makan?
  • Sedikit teknik yang betul amat memudahkan kerja. Misalnya sediakan air celup tangan, pisau yang tajam dan tempat menggulung yang selesa.

Selamat mencuba.

Siti Hazneza binti Abdul Hamid,

Penerangan dan resipi pada setiap gambar.

RESEPI & LANGKAH-LANGKAH PENYEDIAAN BAHAN SUSHI HALAL!

1. NASI SUSHI

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

  • 1 cawan beras (guna beras biasa pun boleh).
  • 2 cawan air.

1. Masak seperti biasa.

2. Apabila nasi sudah masak, alihkan ke dalam bekas lain dan gembur-gembur sedikit supaya wap panas keluar.

3. Masukkan:

  • 2 sudu makan cuka
  • 3 sudu teh gula
  • 2 sudu teh garam

4. Gaul dengan kaedah kaup-mengaup (folding) macam kita buat adunan kek dan kemudian lalukan sudip seperti membuat garisan.

5. Nasi perlahan-lahan akan jadi melekit.

6. Rasa nasi sushi. Jika mahu lebih masam, tambah cuka dan kaup semula. Jika mahu lebih masin, tambah garam.

2. INTI TAMAGO (TELUR GULUNG)

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

Inti yang senang dibuat ialah tamago (telur gulung).

  • 2 biji telur.
  • Secubit garam.
  • Hirisan daun bawang (jika mahu).
  • Hirisan cili merah (jika mahu).

1. Pukul telur dengan garam.

2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali (lebih cantik jika kuali berbentuk empat segi). Pastikan api kecil.

3. Tuang sedikit telur dan lenggang kuali supaya telur nipis dan rata pada kuali.

4. Apabila telur sudah masak, gulung perlahan-lahan sehingga ke tepi kuali.

5. Biarkan telur yang digulung dalam kuali.

6. Tambah sedikit lagi telur dan ulang semula sehingga semua telur digunakan.

7. Gulungan akan membesar.

8. Hiris sederhana nipis.

Tamago saya agak ‘longgar’ hari ini. Jika gulungan dibuat dengan lebih cermat, tamago akan lebih cantik.

3. BAHAN LAIN UNTUK INTI

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

1. Sosej

  • Kukus dan belah 4 memanjang.

2. Ketam tiruan

  • Kukus.
  • Sebahagian belah tengah memanjang.
  • Sebahagian belah tengah melintang.

4. KANI MAYO (KETAM DENGAN MAYONIS)

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

1. Ketam tiruan dikukus dan hiris halus.

2. Mayonis secukupnya.

3. Sedikit cuka (jika mahu).

Inti lebih boleh letak pada croissant dengan daun salad.

5. SALAD TUNA

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

1. Isi tuna dalam minyak sayuran.

2. ½ bawang besar saiz sederhana – dicincang halus.

3. ½ biji tomato – buang biji dan air dan dicincang halus.

4. 1 biji limau kasturi – diperah air (boleh ganti dengan perahan lemon, limau nipis atau cuka).

5. Lada hitam secukup rasa.

6. Mayonis secukup rasa.

Jika mahu pedas, boleh tambah cili padi.

Inti lebih boleh buat sandwich atau wrap dengan tambahan daun salad dan sayur segar kegemaran.

6. CENDAWAN SHITAKE TERIYAKI

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

  • 5 kaki batang cendawan shitake (jika hendak guna cendawan butang dalam tin pun boleh).
  • ½ biji bawang besar saiz sederhana – dicincang halus.
  • 1 sudu teh halia-bawang mesin.
  • 1 sudu makan madu.
  • 1 sudu makan kicap lemak manis.
  • 1 sudu makan kicap cair.
  • ½ sudu makan serbuk cili (jika mahu pedas).

1. Panaskan minyak, tumis semua bahan dan biar sehingga garing.

Patut saya buat gankan mashi guna inti ni.

7. DAUN NORI

Daun nori beli di pasaraya. Yang ini harganya separuh daripada jenama lain kerana yang jenama lain itu daun nori sudah dipanggang dan diperisakan.

Nampak tangan si kecil tu? 

LANGKAH-LANGKAH PENYEDIAAN SUSHI HALAL!

Semua bahan sedia. Masa untuk beraksi.

1. SUSHI TAMAGOYAKI (TELUR GULUNG)

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

Biar si kecil buat sendiri.

1. Sediakan air suam ditambah dengan sedikit cuka untuk celup tangan supaya nasi tak melekit.

2. Ceduk nasi sushi dan bentukkan lonjong-lonjong.

3. Potong nori agak-agak ½ inci lebar.

4. Letak tamago atas nasi dan balut daun nori di tengah-tengah. Letak sedikit air di hujung nori untuk lekat.

2. GANKAN MASHI (KAPAL PERANG)

Gankan mashi/ kapal perang ni saya rasakan bentuk yang paling senang. Ya lebih senang dan cepat daripada yang di atas.

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

Hal ini kerana kita hanya perlu potong daun nori mengikut garis-garis yang sedia ada ~1 inci dan balut di sekeliling nasi sushi yang lonjong-lonjong tadi.

Daun nori ada dua bahagian: kasar dan licin berkilat. Bahagian kasar sentiasa kena pada nasi ya.

Anak-anak pun boleh buat bentuk ini.

Sudah siap kapal perang, letak inti. Hal ini perkara kedua kenapa saya suka gankan mashi. Boleh letak inti banyak-banyak.

3. SUSHI KAPPA MAKI (TIMUN) & BERBEZA INTI

BAHAN-BAHAN & CARA PENYEDIAAN:

Bila-bila pergi makan sushi atau beli dalam kotal sekalipun, kappamaki/ timun ni mesti ada. Comel-comel saja.

1. Guna separuh daripada daun nori.

2. Basahkan tangan dengan air celupan, ambil sedikit nasi sushi dan tekan-tekan atas daun nori sebelah yang kasar.

3. Letak hirisan timun di tengah-tengah. Jika tidak sampai ke hujung, ‘sambung’ dengan hirisan kedua.

4. Angkat daun nori paling dekat dengan anda dan gulung ke dalam sambil mengejap-ngejapkan gulungan.

5. Bahagian hujung daun nori boleh disapu sedikit dengan air untuk lekat.

Untuk gulungan lebih besar, guna sehelai daun nori. Yang ini inti cendawan teriyaki, sosej dan timun.

Pilihan si kecil: timun, ketam dan sosej.

Pilihan mama: tuna dan timun. Kalau pedas lagi sedap.

Nah! Hanya dua cawan beras dan sedikit bahan-bahan sedia ada di rumah. Mudah bukan? Sedikit kicap cair dan wasabi, wah!

Jom buat. Kami bawa ke piknik di Pantai Teluk Bayu. Jemput.

Sumber: Facebook Siti Hazneza Abdul Hamid via Masak Apa Hari Ni..(MAHN)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×