Dapur

Jangan Buang Nasi Impit Lebih, Buat Lontong Goreng Ni ‘Confirm’ Licin

4.6K
SHARES

“Alahai banyaknya lebihan nasi impit ni. Kuah kacang, kuah lontong semua dah habis. Selain makan dengan sup, apa lagi hidangan best yang kita boleh buat ya?”

Nasi impit sememangnya antara juadah wajib yang akan dihidangkan oleh tuan rumah pada Hari Raya. Kadang-kadang, ada banyak nasi impit yang terlebih disebabkan begitu banyak pilihan makanan lain pada Hari Raya. Itu pun belum masuk yang jiran-jiran bagi. Jadi, apa lagi resepi yang boleh kita buat kalau ada banyak lebihan nasi impit di rumah?

Dalam artikel kali ini, Puan Jalilah berbesar hati untuk berkongsikan sebuah resepi yang biasa disajikan beliau pada petang Raya, iaitu nasi impit goreng cili api atau orang Johor cakap lontong goreng.

Cara membuatnya seakan-akan membuat nasi goreng, cuma nasinya kita guna nasi impit. Seronok juga sesekali tukar selera dan mempelbagaikan hidangan di Hari Raya ini.

Jadi apa lagi, mari ikuti resepi beliau selengkapnya di bawah.

Resepi Lontong Goreng Cilipadi

Berikut adalah bahan-bahannya.

Bahan-bahan

  • 8-10 ketul nasi impit dipotong 4
  • 10-15 cili hijau dengan cili merah
  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • Segenggam ikan bilis
  • Semangkuk hirisan ayam
  • Sedikit kacang panjang
  • Sedikit daun sup
  • Bawang goreng
  • 3 biji telur
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Sedikit soo hoon yg direndam hingga kembang dan ditoskan

Cara penyediaan

1. Tumbuk Bahan Tumis

Mula-mula, tumbuk cili padi, bawang merah, bawang putih, dan ikan bilis. Bahan-bahan ini akan kita tumis sekejap lagi.

2. Sediakan Bahan-bahan lain

Sementara itu, sediakan juga bahan-bahan lain seperti sedikit hirisan ayam, tauhu goreng yang dipotong dadu, kacang panjang pula dipotong memanjang.

3. Tumiskan

Selepas itu, panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk bersama hirisan ayam hingga garing .

Seterusnya boleh masukkan kacang panjang dan perasakan dengan garam atau serbuk perasa.

4. Masukkan Bahan-bahan Lain

Kemudian, pecahkan telur dan kacau rata. Diikuti dengan bahan-bahan lain iaitu tauhu, nasi impit dan soo hoon.

Kacau sebati.

5. Taburkan Daun Sup & Bawang Goreng

Akhir sekali, taburkan daun sup dan bawang goreng. Dah siap dihidang.

Beginilah hasilnya.

resepi nasi impit goreng

Boleh Pelbagaikan Ikut Kreativiti

Mudah saja nak buat lontong goreng ni kan? Kalau agak-agak suka tambah bahan lain, bolehlah masukkan dalam resepi dan adjust ikut tekak sendiri. Mesti lebih berselera.

Jadi, jangan buang nasi impit kalau ada banyak yang berlebih. Cubalah resepi ini ya. Mana tahu, sekali hidang, terus ramai yang makan sampai licin!

 

* Resepi nasi impit goreng ini dikongsikan oleh Puan Jalilah menerusi Facebook. Ia disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk lebih banyak tips dan resepi, boleh follow beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×