Dapur

Resepi Crispy Cereal Bar Ala Oat Choco Yang Buat Kita Ketagih

3.4K
SHARES

“Sedapnya cereal bar ni. Tapi mahal betul harganya. Kalau buat sendiri agaknya tak susah mana kot?”

Suka tak makan cereal bar? Biskut ini selalunya dijual oleh jenama bijirin sarapan kanak-kanak contohnya Kellog’s dan Oat Choco. Memang sedap dimakan sebab teksturnya rangup dan ada sedikit chewy. Kalau beli satu, memang tak cukup je rasanya kan?

Ada juga kadang-kadang dilabel sebagai energy bar dan ada yang dibuat khas dalam versi sihat contohnya Nature Valley, Fitbar, Yogood dan macam-macam lagi. Kalau yang jenis begini biasanya bahannya lebih dipelbagaikan dengan buah-buahan kering dan kekacang. Biasanya kanak-kanak kurang gemar jenis yang begini.

Apapun, sebenarnya cara buat cereal bar ni bukannya susah. Memang jimat dan berbaloi buat sendiri, rasa pun tak kalah. Kali ini kami nak kongsikan resepi crispy cereal bar yang cukup simple oleh Puan Alyna Embong Ina. Katanya hasilnya sebiji macam biskut Oat Choco yang kita biasa beli tu. Bila buat pun dapat banyak, anak-anak suka sangat!

Jom kita tengok resepinya.

Resepi Crispy Cereal Bar Yang Simple & Sedap

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • 1 kotak Cornflakes 300g
  • 1 paket Nestum 500g
  • 6 sudu makan madu
  • 250g @ 1 cwn butter / planta
  • 3/4 cwn @ 180g gula halus

Cara-cara

1. Hancurkan Cornflakes

Mula-mula, ramaskan cornflakes hingga hancur. Gunakan tangan saja dan pecah-pecahkan manja-manja. Tak payah terlalu hancur supaya masih ada teksturnya yang kasar dan crispy.

2. Masukkan Nestum

Seterusnya, masukkan Nestum ke dalam bekas berisi Cornflakes yang dihancurkan tadi. Kacau rata.

3. Satukan Madu, Gula & Butter

Dalam satu bekas lain, satukan madu, gula dan butter hingga sebati. Kacau guna senduk je.

 

4. Campurkan Semua Bahan

Kemudian, campurkan madu, gula dan butter yang dah sebati ke dalam bekas yang dah digaulkan Cornflakes dan Nestum masa awal-awal tadi.

Gaulkan hingga kelihatan melekat dan basah-basah sikit. Kemudian boleh masukkan ke dalam acuan. Padat-padatkan dengan sudu.

Tak kisahlah nak guna loyang atau apa-apa acuan lain. Saya guna acuan mini muffin supaya mudah nak keluarkan nanti dan tak perlu dipotong-potong.

5. Bakar

Sambil tu boleh mula panaskan oven selama lebih kurang 10 minit.

Bakar biskut tadi pada suhu 180 darjah selama 6 minit atau bergantung pada oven masing-masing. Siap!

resepi biskut nestum

Serius Sedap & Berbaloi

Bila dah siap, beginilah hasilnya. Saya buat separuh adunan saja, tapi dapat banyak juga.

Biskut begini memang sesuai buat kudap-kudap sambil tengok TV. Ajak anak-anak buat sama pun seronok sebab mudah sangat caranya. Kebarangkalian untuk biskut tu tak menjadi pun hampir mustahil sebab bahan ready made, tak ada guna tepung.

Hasilnya memang puas anak-anak makan. Tak sempat nak simpan dalam bekas, habis semuanya.

Jadi, apa tunggu lagi. Jom kita buat sendiri crispy cereal bar di rumah. Boleh tambah apa-apa bahan lain yang anda suka seperti cip coklat atau kismis atau kacang. Nak kurang manis pun boleh adjust sukatan gulanya ikut tekak masing-masing.

Buat sendiri tentu lebih jimat dan berbaloi. Selamat mencuba!

 

*Resepi biskut nestum & cornflakes / crispy cereal bar ini disumbangkan oleh Puan Alyna Embong Ina menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×