Dapur

Ini Dia Resepi Ayam Goreng Pedas Ala Korea Yang Buat Orang Ketagih

1.2K
SHARES
resepi ayam pedas korea

Sebut saja pasal ayam goreng, boleh dikatakan semua orang suka makan. Tak kiralah anak kecil ataupun yang dewasa. Sebenarnya ada macam-macam cara nak goreng ayam ni selain menggoreng dengan kunyit macam kita biasa buat.

Salah satu resepi ayam goreng yang semakin mendapat perhatian di Malaysia akhir-akhir ini dah tentulah ayam goreng pedas korea atau Yangnyeom Chicken.

Kalau nak diikutkan, resepi ini bukanlah resepi yang baru. Menurut sumber, resepi Yangnyeom Chicken yang original mula dipopularkan pada tahun 1982 oleh Yang Hee Kwon. Ideanya tercetus apabila melihat sesetengah pelanggannya susah untuk menggigit ayam goreng yang berkulit keras / rangup. Jadi, beliau pun cuba mencipta satu resepi supaya kulit ayam goreng tadi disaluti dengan sos berperisa supaya secara tak langsung sos ini dapat melembutkan teksturnya. Maka, terjadilah Yangnyeom Chicken!

Apa yang unik tentang ayam goreng korea ini dah tentulah pada sosnya yang terasa sedikit manis, masam dan pedas. Senang kata, memang boleh buat orang kecur air liurlah. Jangan buang masa lagi, jom kita tengok resepi ayam goreng pedas ala Korea yang disumbangkan oleh Puan Wawa Syalwawa menerusi Wawa’s Kitchen.

Resepi Ayam Goreng Pedas Ala Korea @ Yangnyeom Chicken

Bahan Perapan

  • 10 ketul drummet ayam (bersihkan & tos)
  • 7 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1 sudu gula
  • secubit garam

Cara Perap Ayam

* Tumbuk semua bahan hingga lumat. (Saya tumbuk satu demi satu sampai halus semuanya. Nak guna blender pun boleh.)

* Lumur pada ayam dan perapkan selama 30 minit minimum. Lagi lama lagi bagus.

Bahan Tepung Goreng Ayam

  • 1 senduk tepung gandum
  • 1 senduk tepung jagung

Cara Menggoreng

* Sebatikan kedua-dua tepung kering.

* Masukkan ayam yang telah diperap ke dalam adunan tepung sambil golek-golekkan ayam.

* Pastikan minyak cukup panas sebelum masukkan ayam. Kawal api sampai ayam masak dengan sempurna. Dah nampak keperangan sedikit bolehlah angkat dan toskan minyak sampai betul-betul kering.

Bahan Untuk Sos

  • 3 ulas bawang putih
  • 2 sudu cili kisar
  • 2 sudu besar gula
  • 4 sudu sos cili
  • 3 sudu sos tomato
  • 2 sudu madu
  • 1 sudu jus lemon
  • garam secukup rasa

Cara Penyediaan Sos

* Tumiskan bawang putih dan cili kisar hingga garing dengan sedikit minyak. Masukkan sos cili, sos tomato, gula dan madu. Biarkan seketika kemudian masukkan jus lemon. Kacau sebati dan akhir sekali masukkan garam secukup rasa.

* Sejukkan sebelum digaulkan dengan ayam goreng tadi.

resepi ayam pedas korea

resepi ayam goreng korea

Bahan Hiasan

  • Bijan (sangai secukupnya)
  • daun bawang yang dihiris

* Taburkan ke atas ayam oreng yang telah disaluti dengan sos. Siap!

Ini Hasilnya

Wah, memang mudah dan amat menaikkan selera. Sesekali dapat rasa hidangan Korea seronok juga. Tak payah susah-susah cari di restoran Korea lagi, dapat buat sendiri saja di rumah. Penuh perisa di luar, lembut dan juicy di dalam. Sosnya yang special dengan taburan bijan yang wangi pasti akan buat kita menjilat jari.

Nak makan begitu saja boleh, nak makan dengan nasi putih pun boleh. Maklumlah, walaupun buat ayam goreng Korea, tekak ni tetap orang Melayu!

Jadi apa tunggu lagi. Resepi dah ada, tinggal nak buat aja.

Selamat mencuba.

 

*Resepi Ayam Goreng Pedas Korea ini disumbangkan oleh Puan Wawa Syalwawa. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk lebih banyak resepi yang menarik, boleh follow FB Wawa’s Kitchen di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×