“Waktu cuaca panas macam ni, memang tak puas makan 1 cawan aiskrim. Barulah rasa sejuk sikit.”
Sebenarnya, bukannya susah nak buat aiskrim homemade. Yang seronoknya, kita boleh tambahkan apa-apa bahan tambahan yang kita suka, dan olah mengikut perasa yang diminati.
Untuk perkongsian kali ini, kami ingin kongsikan sebuah resepi yang cukup simple, tapi lazat tak terkata. Percaya tak, hanya dengan 5 bahan, anda dah boleh membuat Aiskrim Coklat ala Hershey’s. Rasanya cukup sedap, sampai boleh pengsan!
Resepi ini adalah hasil cetusan idea oleh Cik Azarimah Ismail. Mari kita ikuti resepi beliau selengkapnya.
Cuaca Panas Ni, Jom Buat Aiskrim Coklat Hershey’s Homemade. Mudah & Sedap!
Berikut adalah senarai bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat aiskrim coklat Hershey’s homemade yang lazat.
Bahan-bahan
- 1 tin susu cair
- 2 sudu besar susu pekat
- 1 penutup esen vanila
- 2 sudu besar ovalette
- Hershey’s Chocolate Syrup (Boleh agak-agak, terpulanglah nak banyak mana. Jangan sampai habis sebotol pula.)
Cara-cara
Bila dah cukup bahan-bahannya, jom kita mulakan. Tak susah. Hanya 2 langkah saja!
1. Blender
Mula-mula, bubuh semua bahan dalam blender. Blend lebih kurang dalam 5 minit.
2. Bekukan
Bila dah sebati semua bahan, bolehlah letakkan dalam bekas. Kalau ada nak letak topping apa-apa, contoh : biskut Oreo, kacang, cip coklat atau buah-buahan segar, silakan.
Langkah seterusnya, kita bekukan semalaman.
Siap!
Eh, dah siap dah? Memang senang sangat, tak mustahil anda juga boleh membuatnya sendiri di rumah.
Oh ya, kalau tak ada Hershey’s Chocolate Syrup, jangan risau. Olahkan saja ikut perasa lain dengan apa-apa bahan yang ada di rumah.
Ramai dah eksperimen dan berjaya hasilkan macam-macam aiskrim daripada resepi asas di atas ini. Boleh buat perisa vanila cookies, jagung, Milo, Nutella dan sebagainya. Macam contoh di bawah ini.
Berbaloi buat sendiri berbanding beli di kedai. Boleh makan puas-puas dan berramai-ramai satu keluarga. Jimat sungguh. Sedap pun sedap!
Jadi, selamat mencuba. Silakan share.
*Resepi Aiskrim Coklat Hershey’s Homemade ini disumbangkan oleh Cik Azarimah Ismail melalui group Masak Apa Hari Ni (MAHN). Ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh rujuk post asal beliau di SINI.