Famili

5 Rancangan Realiti & Hiburan Korea Wajib Tonton Bersama Seisi Keluarga!

3
SHARES

Bagi yang selalu sangat menonton drama atau filem Korea, apa kata anda berehat sekejap dan cuba layan pula rancangan realiti dan hiburan televisyen dari negara tersebut. Bukan sahaja rancangan realiti yang menghiburkan dan pelbagai termasuk tema yang menyeronokkan, tetapi juga selebriti Korea terkenal, pelakon dan idola K-Pop.

Rancangan-rancangan ini juga ada peminat dari seluruh dunia tau. Paling penting, sesuai sanagt ditonton bersama keluarga tercinta!

Baca juga: 7 Cara Artis Korea Ini Disiplinkan ‘Triplet’nya Hingga Dipuji Ahli Psikologi

5 RANCANGAN REALITI & HIBURAN KOREA WAJIB TONTON BERSAMA SEISI KELUARGA!

1. THE RETURN OF SUPERMAN

Kebiasaannya peranan ibu di rumah adalah menggalas tugas untuk menjaga anak-anak kecil sementara bapa pergi mencari rezeki . Namun, bagaimana pula jika peranan itu diberikan kepada si suami dalam tempoh 48 jam tanpa bantuan tulang rusuknya di sisi? Ha! menarik bukan?

Realiti TV ini memaparkan kehidupan pelbagai pasangan selebriti bersama anak-anak mereka. Di mana bapa diberikan tugasan menjaga anak dalam tempoh 2 hari sementara ibu diizinkan keluar untuk pergi bercuti, membuat aktiviti kesukaan atau berehat.

Waktu bapa di rumah pula, akan meneroka pelbagai aktiviti bersama anak dan melaksanakan pesanan yang diberikan isteri. Di situ, dapat mengeratkan lagi hubungan bapa dan anak serta merasai sendiri pengalaman seorang isteri menjaga anak. Kadang-kadang ada juga rakan-rakan artis yang datang bertemu kanak-kanak ini.

Bahkan, boleh lihat sendiri bagaimana kesukaran si bapa menjaga ramai anak  dan anak kembar. Ada tu selain ada kembar 2, kembar 3 pun ada. Ada juga yang mempunyai 5 orang anak tetapi memiliki 2 pasang kembar. Hmm, boleh ke uruskan anak seorang diri tu?

Malah, anak-anak yang pernah muncul di rancangan ini bukan biasa-biasa geliga mereka. Ada yang seawal 2 tahun lebih sudah petah bercakap dan mempunyai memori yang kuat. Ada juga boleh bertutur lebih dari 4 bahasa dan pelbagai lagi kemahiran buat penonton rasa kagum dan teruja. Bijak belaka!

Sambil menonton, anda juga boleh belajar ilmu keibubapaan yang mana boleh diikuti dan dipraktikkan dalam keluarga.

2. RUNNING MAN

Rancangan ini tidak perlu saya huraikan dengan lebih mendalam, kerana memang sudah terkenal satu dunia. Hampir 12 tahun ianya bersiaran, membuktikan bahawa teguhnya program ini!

Running Man ialah rancangan realiti yang dibintangi oleh Yoo Jae Suk, Haha, Jee Seok Jin, Kim Jong Kook, Song Ji Hyo, Jeon So Min dan Yang Se Chan. Di mana ahli terdahulunya ialah Lizzy, Song Joong Ki, Gary dan Lee Kwang Soo.

Program ini sering mengundang ramai selebriti bukan sahaja dalam dunia seni, dunia sukan malah figura terkenal juga sebagai tetamu. Dalam setiap episod, mereka perlu menyelesaikan pelbagai misi untuk memenangi perlumbaan, sama ada di dalam Korea atau pun di luar negara.

Nama program pun ‘berlari’, jadi misinya memang selalu menampilkan larian dan permainan merobek tag nama yang dipenuhi dengan ketegangan apabila setiap ahli berjuang untuk bertahan.

Walaupun kini, formatnya telah banyak bertukar-tukar namun program ini tetap utuh di hati peminat seluruh dunia. Mana tidaknya, dengan aksi spontan mereka itu berjaya membuatkan penonton di rumah berdekah ketawa tak ingat dunia.

Bila dah tengok program ini, jangan lupa simpan siap-siap idea aktiviti-aktiviti dalam ini. Dapat main waktu Hari Keluarga nanti. Baru syokkk!

3. THE GREAT ESCAPE

Kalau inginkan rancangan mencabar minda, anda boleh menonton The Great Escape bersama keluarga. Saya nasihatkan sediakan pen dan kertas siap-siap sebab mesti nanti anda pun terasa nak menyelesaikan kuiz permainan bersama.

Rancangan ini dianggotai oleh Kang Ho Dong, Kim Jong Min, Shindong (Super Junior), Yoo Byung Jae, Kim Dong Hyun dan P.O (Block B). Di mana, mereka akan dibawa ke sebuah lokasi rahsia sambil ditutup mata mereka untuk menyelesaikan pelbagai misi jika ingin berjaya melarikan diri dari lokasi tersebut.

Perlu diingat ya, rancangan ini mempunyai pelbagai tema setiap 2 episod dan kepelbagaian konteks cerita. Antaranya ialah, hantu, zombie, alien, jenayah, banduan, zaman silam dan pelbagai lagi tema yang dapat menegakkan bulu roma anda dengan keterujaan dan kejutan.

Tambahan pula, dalam setiap cabaran semua ahli perlu mencari petunjuk dan meneroka bilik rahsia yang besar itu secara berperingkat. Mereka perlu bergantung antara satu sama lain untuk keluar dari ruang misteri yang terpisah sepenuhnya dari dunia luar.

Melalui rancangan ini, dapat dilihat kemahiran setiap seorang daripada ahli dan kesepakatan serta merancang strategi demi membebaskan diri mereka bersama. Malah, anda sendiri boleh lihat kemampuan produksi rancangan ini dalam membina set-set pengambaran yang begitu hebat demi melaksanakan program ini.

Menariknya rancangan ini, tiada had masa yang ditetapkan untuk setiap cabaran untuk melarikan diri. Hanya akan berakhir apabila semua ahli telah berjaya melarikan diri. Tetapi adakah semua cabaran mereka akan berjaya???

Anda kena tonton sendiri!

4. Youn’s Kitchen & Youn’s Stay

Kedua-dua program ini di bawah arahan Pengarah Na Yeong Seok yang sangat terkenal di Korea kerana menerbitkan dan mengarah banyak  program realiti yang menarik dan menghiburkan.

Youn’s Kitchen merupakan rancangan realiti selok-belok dunia perniagaan iaitu mengendalikan sebuah restoran di luar negara dalam memperkenalkan makanan korea kepada masyarakat dunia. Di mana, tugasan ini perlu digalas oleh figura terkenal iaitu Youn Yuh Jung, Shin Goo (musim 1), Lee Seo Jin, Jung Yu Mi dan Park Seo Joon.

Musim pertama, produksi ini dijalankan di negara Indonesia dan musim kedua di negara Sepanyol. Selain memperkenalkan menu-menu Korea, mereka juga mempelajari kepelbagaian budaya di negara asing dan bahasa pertuturan mereka untuk bergaul dengan rakyat tempatan.

Bagi rancangan realiti Youn’s Stay pula merupakan rebrand kepada nama baru Youn’s Kitchen. Ekoran pandemik yang melanda dunia, di mana tidak membenarkan rakyat ke luar negara pada ketika itu.

Kali ini, Youn’s Stay berkonsepkan rumah tamu untuk pelancong-pelancong asing yang datang melawat ke Korea dan masih terkandas kerana COVID-19 untuk mereka berpeluang merasai nikmat melancong. Tetapi masih, mengekalkan menu makanan Korea.

Menampilkan rumah tamu tradisional Korea di Jeollanam-do dan ahli baru iaitu pelakon Choi Woo Shik. Warganegara dari segenap pelosok dunia dan latar belakang berbeza menjadi tetamu di rumah tamu tersebut cuba mengenali budaya satu sama lain dan berkongsi cerita.

Waktu dilanda pandemik ini, nak melancong ke luar negara sangat berisiko. Jadi, bolehlah menonton program ini sambil cuci mata lihat lokasi menarik yang ditunjukkan boleh letak dalam ‘bucket list’ juga. Nak cuba buat makanan Korea pun boleh dengan resepi yang ditunjukkan.

5. NEW JOURNEY TO THE WEST

Pernah dengar tak drama/filem Hong Kong, Journey To The West sewaktu anda membesar? Alah, cerita manusia menyerupai monyet tu ala dewa yang pegang tongkat tu.

Ha! Program hiburan New Journey To The West ini diinspirasikan daripada novel terkenal ini lah. Tetapi tidaklah, para ahli perlu sentiasa menyerupai karakter-karakter dalam novel tersebut hanya kadang-kala sahaja yang diperolehi berdasarkan undian dan tema watak setiap musim.

Kunci utama rancangan ini adalah menyelesaikan pelbagai misi untuk mencari tujuh bola naga yang boleh memberikan hajat kepada mereka yang mengumpulnya. Jadinya, ahli-ahli ini akan gigihlah menyelesaikan misi.

Siapa yang taknak ganjaran kan! Walaupun misinya nampak mudah, tapi Pengarah Na Yeong Seok sangat licik ya. Ingat senang-senang ke nak bagi ganjaran.

Ada kalanya kumpulan produksi pun terkena juga, ibarat jerat makan tuan. Pernah sekali tu, ahli dicabar dan apabila cabaran diterima mereka berjaya melengkapkan permainan. Jadi, ahli mintak ganjaran kereta sport (bergurau). Terciduk produksi mana nak cekau duit bagi hadiah kereta sport. HAHAHA!

Program ini sangat menghiburkan dengan telatah ahli yang spontan dan buat perangai pelik semata nak selesaikan misi. Program ini mula bersiaran pada 2015 dan masih lagi beriaran sehingga kini sudah sampai musim ke-8.

Dibintangi oleh Kang Ho Dong, Lee Soo Geun, Eun Ji Won (Sechs Skies), Ahn Jae Hyun, Cho Kyu Hyun (Super Junior), Song Min Ho (Winner) & P.O (Block B).

BERHIBUR BERSAMA KELUARGA DAPAT MERAPATKAN JURANG

Jadinya, kalau anda bosan di rumah dah penat layan drama Korea atau pun stress dan inginkan hiburan boleh cuba menonton rancangan realiti dan hiburan televisyen Korea yang saya cadangkan ini. Ajak sekali ahli keluarga sambil makan cekodok dan ngeteh dapat sama-sama gelak tertawa kan manis tu.

Lain masa, saya akan cuba cadangkan program realiti lain dan drama atau filem Korea yang menarik juga. Selamat Menonton!

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×