Sihat

Orang Kata ‘Cukur Bantal’, Tapi Ini Sebenarnya Punca Rambut Bayi Tak Tumbuh Sekata

0
reads

“Haritu masa baru lahir rambut lebat, ni lepas dah cukur kenapa lambat pulak tumbuh. Dah tu tumbuh pun tak sekata. Kenapa jadi macam ni ye?”

Sesetengah bayi akan lahir dengan berambut lebat dan ada juga yang rambutnya sedikit. Walau bagaimanapun rupa rambut bayi semasa lahir, rambut ini biasanya akan dicukur hingga botak kerana ia menjadi sebahagian daripada sunnah menyambut kelahiran bayi. Bukan saja orang Islam yang mengamalkannya, malah orang bukan Islam juga mencukur rambut bayi sama ada disebabkan faktor kepercayaan mahupun kesihatan.

Ada orang kata, rambut bayi makin tumbuh lebat selepas dicukur. Tapi bukan begitu yang terjadi pada kesemua bayi. Malah, ada yang mula panik bila rambut bayi tak tumbuh-tumbuh. Tak kurang juga yang berasa segan apabila tumbuh bertompok-tompok di atas kepala atau tumbuh di sebahagian kawasan saja. Orang-orang tua menggelarkannya sebagai ‘cukur bantal’. Tapi, tahukah anda apa sebenarnya yang berlaku kepada proses pertumbuhan rambut bayi?

4 Punca Rambut Bayi Tak Tumbuh Sekata

1. Posisi Baring Bayi

Antara alasan yang paling mempengaruhi pertumbuhan rambut bayi adalah disebabkan posisi bayi yang selalu berbaring.

Menurut pakar, apabila tekanan yang diterima di satu kawasan lebih keras dan lama jika dibandingkan dengan lokasi lain, ia akan melambat kan pertumbuhan rambut. Oleh sebab itu, rambut bayi lazimnya lambat tumbuh pada bahagian belakang kerana bayi menghabiskan kebanyakan masa mereka dalam keadaan berbaring secara terlentang.

Selain itu, bayi yang kerap didukung juga akan mengalami pertumbuhan rambut yang minimal pada bahagian sisi kiri dan kanan.

Berikutan itu, ada pakar mengesyorkan supaya ibu bapa menggalakkan bayi meniarap ketika dia berjaga. Bukan saja bayi dapat melatih kekuatan otot, ‘tummy time’ ini juga boleh mengelakkan bayi mengalami Flat Head Syndrome dan kebotakan pada kawasan belakang kepalanya.

bayi cepat berjalan

Foto Kredit: boppy.com

2. Pertumbuhan Rambut Mengalami Fasa ‘Rehat’

Menurut BabyCenter.com, pertumbuhan rambut berlaku dalam fasa di mana seseorang akan mengalami kira-kira tiga tahun pertumbuhan dalam mana-mana satu folikel rambut diikuti dengan kira-kira tiga bulan fasa rehat secara purata. Fasa rehat ini tidak berlaku kepada semua rambut sekaligus, sebaliknya ia berlaku pada folikel yang berbeza pada masa yang berlainan.

Bagi orang yang mempunyai rambut panjang, ianya tidak akan kelihatan dengan jelas, tapi bagi bayi yang botak, anda mungkin dapat melihat tempoh ini. Apapun anda tak perlu risau kerana rambut akan menyambung semula proses pertumbuhannya.

rambut bayi lambat tumbuh

Foto Kredit: top10homeremedies.com

3. Penurunan Kadar Hormon

Pertumbuhan rambut yang tak sekata atau bald spot juga boleh berpunca daripada hormon. Menurut ahli paediatrik, Alison Mitzner, dalam 6 bulan pertama selepas kelahiran akan berlakunya penurunan paras hormon pada bayi dan ibu.

Antara kesan akibat penurunan paras hormon ini adalah keguguran rambut dan ia adalah sesuatu yang normal pada bayi.

cara melebatkan rambut bayi

Foto Kredit: babycenter.com

4. Kondisi Kulit Kepala Bayi

Selain faktor semulajadi yang disebutkan di atas, bayi juga boleh mengalami pertumbuhan rambut yang tidak sekata akibat kondisi kulit kepala bayi iaitu kerak kepala atau cradle cap. 

Kerak kepala berwarna kekuningan dan agak berminyak atau bahasa saintifiknya infantile seborrheic dermatitis digelar kelemumur pada rambut kanak-kanak atau dewasa. Kondisi ini turut boleh mengakibatkan berlakunya gangguan pada pertumbuhan rambut bayi yang sihat.

Jika ini berlaku, cuba dapatkan rawatan dan berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi untuk mendapatkan produk penjagaan kulit kepala yang sesuai.

kegunaan susu ibu

Foto Kredit: mommyhood101.com

Bila Rambut Bayi Akan Tumbuh Semula?

Pertumbuhan rambut bayi yang tak sekata adalah normal dan tidak perlu anda risaukan. Fasa ini hanya sementara dan selalunya rambut bayi akan tumbuh semula tanpa memerlukan sebarang rawatan kecuali jika ia disebabkan oleh penyakit kulit.

Seandainya bayi anda mengalami rambut gugur atau botak akibat hormon, ia dijangka akan tumbuh semula ketika berusia sekitar 6 bulan kerana dalam tempoh ini hormon telah kembali stabil. Dalam tempoh itu juga, kebanyakan bayi sudah mula aktif bergerak dan tidak lagi sentiasa berbaring terlentang. Perkembangan ini sepatutnya menggalakkan proses pertumbuhan rambut bayi.

Apapun, tak ada apa-apa yang tak comel pada bayi walaupun mereka botak atau mengalami ‘cukur bantal’. Bahkan, inilah yang membuatkan mereka lebih unik!

Yang Popular

To Top