Nur

Puasa Hari Putih (13, 14 & 15 Haribulan Dalam Bulan Islam): Hukum, Niat & Kelebihannya

951
SHARES
puasa hari putih

Tahukah kita, selain puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis, Puasa Hari Putih juga termasuk antara puasa sunat yang amat digalakkan dalam Islam.

Puasa Hari Putih yang jatuh pada 13, 14 dan 15 haribulan dalam bulan Islam (Hijriyyah) ini juga digelar sebagai Ayyamul Bidh dalam bahasa Arab.

Berikut adalah dalil, kelebihan dan perkara berkaitan dengan Puasa Hari Putih untuk kita ketahui dan amalkan bersama.

Hukum Puasa Hari Putih

Menurut Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, kita disunatkan berpuasa tiga hari setiap bulan, iaitu setiap 13, 14 dan 15 hari bulan dalam bulan-bulan Hijriyyah.

Hari yang afdhal untuk melakukan puasa tersebut ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam.

Nama puasa sunat ini dikenali juga sebagai Puasa Hari Putih (الأيام البيض). Ini kerana malam hari tersebut terang benderang kerana cahaya bulan.

Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.

Baca juga: 7 Amalan Yang Digalakkan Pada 10 Hari Pertama Zulhijjah & Fadilatnya

puasa ayyamul bidh

Dalil & Kelebihan Puasa Hari Putih

Dalil Pertama

Ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, katanya:

صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.”

Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721)

Dalil Kedua

Hadith seterusnya, daripada Abu Qatadah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:

صَوْمُ ثَلاَثَةٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَمَضَانَ إِلَى رَمَضَانَ صَوْمُ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Kelebihan puasa pada tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun.”

Riwayat Muslim (1162)

Dalil Ketiga

Hadith yang lain pula, daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.”

Riwayat al-Tirmizi (761)

Dalil Keempat

Begitu juga hadith, daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”

Riwayat Abu Daud (2449)

anak berpuasa

Foto Kredit: 123rf.com

Niat Puasa Hari Putih

نَوَيْتُ صَوْمَ الْأَيَّامِ الْبِيْضِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya: Sahaja aku puasa pada hari Putih kerana Allah Ta’ala

Atau:

“Sahaja aku puasa sunat hari ini kerana Allah Ta’ala”

Nota:

  • Kita masih boleh berpuasa sunat sekiranya terlupa untuk niat pada malam harinya atau keesokan harinya sebelum Subuh.
  • Ini kerana kita masih boleh berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat kita masih belum makan dan minum atau tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkan puasa antara waktu masuknya waktu Subuh hingga tergelincirnya matahari.

Jom Rebut Pahala Puasa Sunat Hari Putih!

Mungkin hari ini baru kita tahu ada banyak kelebihan Puasa Hari Putih atau Puasa Ayyamul Bidh ini.

Seperti yang kita tahu, selain daripada fadhilat puasa sunat yang disebutkan oleh Rasulullah SAW, kajian saintifik juga telah membuktikan betapa ia bermanfaat kepada tubuh sekiranya kita mengamalkan secara konsisten pada setiap bulan.

Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua dalam hari-hari kita berharap dan mengabdikan diri kepada Allah.

Jadi, jom kita cuba amalkan puasa ini bersama-sama!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×