“Adui, rasa berdenyut-denyut gusi aku ni… Nak buat apa pun takde mood. Nak pergi klinik gigi pun dah malam, kena tunggu siang esok. Ada tak petua gusi bengkak yang boleh aku cuba buat sementara ni?”
Sekiranya anda mengalami gusi yang bengkak dan meradang, rasa sakitnya tu hanya kita je yang tahu. Siksa!
Nak makan susah, nak buat apa pun serba tak kena jadinya.
Sebenarnya punca gusi bengkak yang paling biasa adalah disebabkan oleh jangkitan gusi.
Selain itu, cara memberus gigi atau cara flos yang tidak betul, mengunyah tembakau, kemoterapi, perubahan hormon, dan kerengsaan dari perkakasan gigi juga boleh menjadi punca gusi bengkak.
Dianggarkan 50% orang dewasa pernah mengalami penyakit gusi, jadi ia adalah sesuatu yang agak kerap berlaku.
Jika gusi bengkak yang dialami tidak begitu serius, anda boleh cuba beberapa petua ini di rumah terlebih dahulu.
8 Petua Gusi Bengkak Ikut Petua Orang Lama
1. Kumur Air Garam
Air larutan garam mempunyai sifat disinfektan (anti bakteria) semula jadi.
Oleh itu, berkumur air garam dapat membantu mengurangkan proses keradangan dan mempercepatkan penyembuhan luka pada gusi atau mana-mana bahagian mulut.
Berkumur dengan kerap juga boleh membantu menyingkirkan sisa makanan yang tersekat di celahan gigi yang mungkin menyebabkan gusi bengkak.
2. Tuam Ais
Petua gusi bengkak yang satu ini juga mudah dan mungkin ada yang dah pernah buat masa sakit gigi.
Caranya mudah je, ambil kain sejuk dan bubuh ais di dalamnya. Kalau tak ada ais, boleh juga rendam dengan air sejuk. Kemudian tuamkan pada bahagian gusi yang bengkak.
Tuaman ais pada gusi boleh membantu menyebabkan salur darah pada permukaan kawasan terlibat untuk mengecut, lalu mengurangkan rasa sakit.
3. Bawang Putih
Anda boleh tumbuk bawang putih, campurkan dengan garam dan sapukan pada kawasan gusi yang sakit.
Yang ni mungkin ramai yang lemah sikit nak cuba… Maklumlah, bawang putih ni baunya kuat sikit kan?
Tapi inilah antara petua gusi bengkak orang lama yang dikatakan berkesan.
Khasiatnya juga disokong oleh kajian sains moden dan jika dilihat dalam konteks kesihatan oral, bawang putih boleh membantu meredakan sakit gigi.
Ini kerana ia mempunyai sifat antibakteria yang baik.
4. Cengkih (Clove)
Bunga cengkih mengandungi bahan antiseptik semula jadi yang dikenali sebagai eugenol yang dikatakan boleh menjadi petua bengkak gusi, sakit gigi dan radang mulut.
Cara orang lama, gigitkan saja bunga cengkih pada bahagian yang sakit tu. Atau boleh tumbukkan menjadi pes dan sapukan pada bahagian gusi yang sakit.
Minyak bunga cengkih pun sekarang ni ada dijual dan ia boleh digunakan sebagai pengkumur mulut.
5. Baking Soda
Jangan ingat baking soda hanya digunakan untuk buat kek, ia juga boleh jadi salah satu petua bengkak gusi yang berkesan tau!
Caranya mudah saja, campurkan baking soda dengan air dan kacaukan larutan hingga sebati. Kemudian, celupkan dengan kapas dan gigit pada tempat yang bengkak.
Mudah kan?
6. Timun
Timun mempunyai kesan penyejukan, seperti juga ais yang boleh membantu mengurangkan rasa sakit pada gusi.
Caranya hiriskan timun ikut keselesaan anda dan taburkan sedikit garam di atasnya.
Kemudian gigit pada tempat gusi yang bengkak.
7. Daun Teh Hijau / Pudina
Daun teh hijau atau daun pudina juga boleh digunakan untuk membantu mengurangkan rasa sakit pada gusi.
Caranya, masukkan beg teh ke dalam peti sejuk selama beberapa minit dan kemudian letakkan beg teh itu di kawasan yang sakit.
8. Esen Vanila
Ini satu lagi petua sakit gusi atau sakit gigi yang biasa orang lama buat dan pernah juga viral dekat media sosial sebab ramai dah cuba dan berkesan.
Tahu tak esen vanila yang biasa kita guna buat kek tu? Baunya memang wangi…
Kalau sakit gusi atau sakit gigi, cuba ambil sikit esen vanila tu dalam 2-3 titik bubuh pada tempat yang sakit.
Boleh juga guna putik kapas untuk celup dan sapu dekat tempat gusi yang bengkak.
Lagi Petua Bengkak Gusi & Langkah-langkah Pencegahannya
Selain 8 petua bengkak gusi di atas, anda juga boleh mengamalkan langkah-langkah ini untuk membantu mengurangkan rasa sakit dan mengelakkannya menjadi lebih teruk.
1. Guna Berus Gigi Jenis SOFT
Kalau selama ini anda menggunakan berus gigi jenis HARD atau MEDIUM, anda mungkin perlu bertukar kepada jenis SOFT.
Ini kerana, berus gigi jenis SOFT ini lebih sesuai untuk mengelakkan kerosakan pada gusi.
Terdapat kesilapan dimana individu memberus gigi terlalu agresif sehingga menyebabkan kesakitan kepada gusi.
2. Banyakkan Makan Sumber Vitamin C
Memakan makanan yang seimbang dapat menyumbang kepada kesihatan gusi yang lebih baik.
Pastikan anda mendapat banyak Vitamin C dan kalsium, yang dapat mengurangkan kemungkinan mengalami gusi bengkak.
Baca juga : 9 Jenis Buah & Sayur Yang Lebih Tinggi Vitamin C Berbanding Oren. Sesuai Untuk Anak & Ibu Hamil!
3. Kerap Berkumur
Membilas mulut membantu membuang sisa makanan dan serpihan, serta karbohidrat yang menyebabkan plak dan boleh menyebabkan penyakit gusi.
Oleh itu, di mana sahaja anda berada, amalkan membilas mulut selepas setiap kali makan atau makanan ringan.
4. Amalkan menggunakan floss
Floss menghilangkan sisa makanan yang tinggal dicelah gigi anda yang boleh menyebabkan plak dan tartar, dimana keduanya boleh menyebabkan penyakit gusi dan bengkak gusi.
Tapi, pastikan anda lebih berhati-hati ketika melakukan flos untuk mengelakkan rasa sakit pada bahagian gusi yang bengkak ok!
5. Gunakan ubat gigi anti-gingivitis
Terdapat ubat gigi yang mempunyai fomula yang boleh membantu melindungi daripada bakteria plak berbahaya di sekitar garis gusi bahkan boleh menyebabkan enamel.
Oleh kerana mulut yang sihat bermula di garis gusi, perhatian terhadap kawasan ini adalah penting.
6. De-Stress
Tahap tekanan yang tinggi boleh mempengaruhi tahap hormon anda, terutamanya hormon kortisol.
Kortisol boleh menyebabkan keradangan dan gusi yang bengkak. Cuba kurangkan tekanan sebanyak mungkin.
7. Jadikan Rutin Jumpa Doktor Gigi Setiap 6 Bulan
Bila kali terakhir anda jumpa doktor gigi?
Setahun lepas? 2 tahun lepas? Masa pregnant dulu?
Atau lama sangat sampai dah tak ingat masa sekolah dulu?
Mencegah adalah lebih baik dari mengubati.
Lawatan ke doktor gigi anda adalah lebih baik daripada cuba merawat bengkak gusi atau lebih parah lagi kerosakan gigi.
Jadikan lawatan ke doktor gigi anda sebagai satu rutin setiap 6 bulan.
Dapatkan Rawatan Jika Masih Sakit, Jangan Biar Melarat!
Jika petua bengkak gusi masih tidak berkesan dan langkah-langkah pencegahan juga dah diamalkan, sila ambil perhatian terhadap 2 jenis penyakit gusi ini iaitu:
i) Gingivitis
Bentuk penyakit gusi yang awal dan agak ringan, gingivitis menyerang berjuta-juta orang setiap tahun.
Salah satu tanda penyakit gusi yang paling biasa adalah gusi yang bengkak yang mungkin berdarah ketika anda memberus atau flos.
Walaupun bengkak gusi tidak serius, adalah penting untuk merawat penyakit ini untuk mengelakkan perkembangan selanjutnya.
ii) Periodontitis
Apabila gingivitis tidak dirawat tepat pada waktunya, penyakit gusi dapat berkembang menjadi jenis penyakit gusi yang lebih serius yang dikenali sebagai periodontitis.
Pada ketika ini, gusi yang meradang lebih menyakitkan dan gigi anda mungkin mulai kendur. Ini kerana periodontitis telah mula merosakkan tisu yang memegang gigi di tempatnya.
Merawat gusi dan periodontitis yang radang sangat penting untuk kesihatan mulut jangka panjang anda.
Jadi, jangan biarkan sakit gusi atau sakit gigi tu berlarutan ok!