Famili

Peruntukan Premis Perniagaan Milik Bumiputera Perlu Dilaksanakan Untuk Rapatkan Jurang Ekonomi

427
SHARES

Peruntukan premis perniagaan milik Bumiputera di pusat beli-belah seperti dihasratkan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu dilaksanakan mengikut mekanisme tertentu supaya mampu merapatkan jurang ekonomi dalam kelompok masyarakat.

Meskipun usaha kerajaan itu disifatkan bertepatan dengan aspirasi melonjak sosioekonomi Bumiputera, ia dikhuatiri bakal berdepan pelbagai risiko seperti penyalahgunaan kuota, penyelewengan dan sikap mengaut ‘untung atas angin’.

“Sikap Bumiputera punca gagal dominasi sektor perniagaan”

Kredit: Astro Awani

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata kegagalan Bumiputera untuk mendominasi sektor perniagaan, dengan meningkatkan daya saing mereka setanding kelompok masyarakat lain sebenarnya berpunca daripada sikap.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya sebarang peruntukan, termasuk berbentuk kuota yang dikhaskan untuk Bumiputera perlu bebas daripada kerenah birokrasi, tetapi melalui proses seliaan rapi.

“Kenapa banyak kontrak atau kuota perniagaan, lazimnya diberi kepada kelompok masyarakat lain? Antaranya berpunca daripada turnaround (pulangan) yang singkat berbanding jika diusahakan Bumiputera.

“Sebenarnya peniaga Bumiputera ada masalah sikap, justeru bantuan dalam bentuk kuota sahaja tidak mencukupi, tetapi ia perlu disusuli atau disokong dengan didikan untuk memberi asas keusahawanan.

Tambahnya lagi, tanpa didikan dan pendedahan betul kepada dunia perniagaan, ada peniaga Bumiputera yang cenderung untuk mengambil jalan singkat dan mengaut keuntungan atas angin.

Ini juga termasuk perniagaan yang menyaksikan pemilik premis menjual lesen, kuota atau peruntukan niaga tertentu kepada orang lain, sekali gus berupaya mengaut keuntungan segera dan tidak memerlukan pengeluaran modal.

Kuota premis perniagaan milik Bumiputera perlu diwujudkan

Perdana Menteri pada 18 November lalu, dilaporkan berkata kuota premis perniagaan milik Bumiputera di lokasi strategik perlu diwujudkan, selaras usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi golongan berkenaan.

Ia antara cadangan yang diutarakan dalam mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB), namun peruntukan kuota itu akan dilakukan dengan telus dan adil.

Langkah itu bagi memastikan matlamat utama untuk membantu perniagaan Bumiputera yang layak dan berpotensi berupaya tercapai, tanpa disalah guna sehingga tersasar daripada objektif sebenar serta sejajar aspirasi Keluarga Malaysia.

Kerajaan turut berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan peniaga-peniaga tempatan khususnya Bumiputera mendapat peluang menjalankan perniagaan mereka.

Kredit: The Crazy Tourist

Yang Dipertua Wilayah Persekutuan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM), Mohamad Abdullah, pula menyifatkan dasar diumumkan Perdana Menteri untuk membantu Bumiputera adalah amat wajar, memandangkan ramai peniaga dalam kalangan kelompok berkenaan terpaksa ‘gulung tikar’ berikutan kesan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, aspek pelaksanaan dasar sedemikian, khususnya membabitkan agensi di lapangan dan di peringkat bawahan harus dipantau dari semasa ke semasa, memandangkan terdapat ‘campur tangan’ dari pihak tertentu.

Mohamad juga mencadangkan supaya aspek lokasi dan penempatan tapak niaga diambil kira bagi memastikan usahawan Bumiputera tidak ‘dibunuh’ secara halus.

Katanya, hal itu kerana segelintir pengurusan premis perniagaan dilihat sengaja meletakkan usahawan dan penjaja kecil Bumiputera di lokasi tidak strategik sehingga merencatkan kadar jualan mereka.

“Jangan nanti bila keperluan untuk penuhi kuota, Bumiputera ini dicampak ke penjuru dan lokasi tidak strategik kerana tindakan sedemikian tidak meraih sebarang manfaat positif.

“Oleh itu, perlu ada seliaan dan pemantauan bagi memastikan dasar ini tidak sekadar cantik di atas kertas, tetapi buruk di lapangan,” katanya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×