keselamatan

Jangan Cabut Objek Tajam Yang Tertusuk Pada Badan. Ini Langkah Keselamatan Yang Kita Patut Tahu

8.1K
SHARES
pertolongan cemas luka

Rasa ngeri dan sedih membaca kes kanak-kanak berumur 2 tahun yang meninggal dunia akibat tertusuk pisau. Katanya, si kecil tersebut berlari dan terlanggar pinggan yang ditinggalkan bersama pelam dan pisau di atas lantai. Mangsa tertusuk pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter (cm) di bahagian kiri perut yang terbenam hingga paras hulu pisau

Jika kejadian sebegini berlaku pada kita, tak mustahil tindakan yang pertama kita buat adalah mencabut pisau yang tertusuk tu kan? Itulah juga yang dilakukan oleh nenek mangsa yang akhirnya meninggal dunia apabila sampai ke hospital.

Penting untuk kita tahu bahawa tindakan mencabut pisau ini boleh membahayakan dan memburukkan lagi keadaan mangsa. Ini sebabnya anda DILARANG dari mencabut pisau atau apa-apa objek yang tertusuk di mana-mana anggota.

5 Langkah Keselamatan Yang Patut Kita Tahu Bila Tertusuk Objek Tajam

1. Jangan Cabut Objek Tajam Yang Tertusuk

Pertama sekali, JANGAN cabut objek yang tertusuk pada bahagian badan mangsa. Ini kerana objek tajam yang masih kekal tertusuk akan menjadi penghalang kepada berlakunya perdarahan kerana ia masih melekat di tempat yang terlibat dan memberikan tekanan pada kawasan tersebut dari terus mengalirkan darah.

Jadi, bila anda tarik objek tersebut keluar, penghalang tadi dah tidak ada, malahan geseran dari objek sewaktu dikeluarkan boleh terus mencederakan kawasan sekitarnya lalu berlakulah perdarahan yang banyak. Perdarahan yang teruk boleh mengancam nyawa.

2. Tekapkan Kawasan Tertusuk Dengan Kain Bersih

Bagi mengelakkan mangsa kehilangan darah yang banyak, ambil kain bersih dan tekapkan pada sekeliling pisau atau bahagian yang tertusuk seperti bentuk cincin atau donat.

Jika objek telah tertanggal dengan sendirinya, ambil kain dan beri tekanan pada kawasan luka dengan kain bersih supaya pendarahan dapat dikawal.

Foto Kredit: First Aid For Life

Cara balutan pertolongan cemas jika ada objek tajam yang tertusuk.

Foto Kredit: Singapore Emergency Responder Academy

3. Tekanan Tidak Melebihi 10 Minit

Tekanan hendaklah tidak melebihi 10 minit dan dilepaskan bagi membolehkan aliran darah ke organ atau anggota tubuh dapat dikembalikan.

Jangan ikat anggota yang tercedera kerana ia boleh merosakkan tisu dan organ badan kerana tidak mendapat bekalan darah yang secukupnya.

4. Tinggikan Anggota Luka Dari Paras Jantung

Tinggikan anggota yang luka dari paras jantung untuk mengurangkan darah mengalir keluar.

5. Kurangkan Pergerakan

Pastikan anda bertenang kerana anda perlu mengelak daripada banyak bergerak.

Pergerakan yang banyak boleh menyebabkan pendarahan dan kerosakan pada tisu anggota.

Foto Kredit: Front Line Health

Segera Dapatkan Bantuan

Pastikan anda bersegera mendapatkan bantuan dan rawatan daripada anggota perubatan di klinik atau hospital berdekatan atau dapatkan seseorang untuk menghubungi talian 999.

Selain memastikan faktor keselamatan, penting untuk kita tahu langkah keselamatan yang sebetulnya kerana tindakan awal mungkin dapat mengelakkan kehilangan nyawa. Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa.

Diharapkan agar kita lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah terhadap kecederaan domestik. Semoga ilmu yang dikongsikan ini dapat membantu memberi sedikit ilmu dan membantu anda melakukan tindakan awal sekaligus membantu menghindari kehilangan nyawa.

*Sumber rujukan: Very Well Health, Jururawat Bel Nawhen

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×