40 Minggu

7 Perkara Encik Suami Mesti Buat Bila Isteri Mengandung Anak Kedua

10.6K
SHARES

“Aduh, letih semacam bila mengandung anak kedua ni. Ingatkan bila dah anak kedua, kurang sikit rasa sakit dan penat…”

Bagi yang berpengalaman, anda mesti faham bahawa mengandung anak kedua sama sekali tak sama berbanding mengandung anak pertama dulu. Berbanding anda yang dulunya yang obses dengan majalah keibuan, barangan bayi dan perkembangan bayi setiap bulan, kini anda lebih sibuk hingga kebanyakan masanya anda terlupa bahawa anda sedang mengandung!

Dalam kesibukan inilah para suami perlu lebih peka serta memahami peranan mereka dan cuba memberi bantuan terhadap keadaan yang sedang dialami oleh isteri semasa mengandung anak kedua.

7 Perkara Suami Mesti Buat Bila Isteri Mengandung Anak Kedua

Berikut adalah perkara yang Encik Suami perlu lakukan semasa isteri mengandung anak kedua.

1. Layan & Uruskan Anak Pertama

Percayalah, isteri akan rasa cepat emosi dan sangat bersalah kalau tak mampu melayan anak sulung. Connection mereka memang lain macam sikit, tapi begitulah hati seorang ibu. Penat memang penat, tapi kalau boleh isteri tak mahu keperluan anak terabai.

Jadi kalau boleh, cubalah ambil alih urusan tersebut dan ringankan beban isteri anda. Pasti lega hati isteri bila tengok anak sulung dah boleh diurus oleh suami.

2. Ambil Tahu Soal Makanan Anak

Biasanya orang perempuan yang mengandung akan ada masalah untuk memasak. Rasa loya bukan main lagi dan ia bukanlah sesuatu yang dibuat-buat.

Kalau masa mengandung anak pertama dulu bolehlah juga nak order di kedai dan makan apa-apa yang tak memerlukan dia untuk memasak. Tapi bila dah ada anak, ada kalanya isteri akan terpaksa juga memasak kerana tak banyak kedai makan yang menjual makanan mesra anak-anak, terutamanya bayi.

Tapi bila isteri dah tak tahan sangat dengan bau masakan dan tak boleh memasak, sekurang-kurangnya suami kenalah tahu sikit-sikit cara memasak yang simple. Kalau tak pun, siap-siaplah survey kedai yang menjual makanan kegemaran anak supaya senang nak bungkus nanti.

elak demam kuning bayi

Foto kredit: thebirthpro.org

3. Prihatin Terhadap Jadual Check-up Isteri

Kalau tak dapat teman pun tak apa, tapi cubalah pastikan pasangan anda tak perlu menghadiri temujanji di klinik dengan membawa anak sulung sekali. Ia mungkin nampak remeh, tapi anda sendiri tahu betapa lecehnya nak membawa anak kecil keluar bersama, kan?

Lagi satu, dengan mengambil tahu tarikh temujanji serta perkembangan bayi, ia juga menandakan rasa cinta dan keprihatinan anda terhadap kesihatan isteri.

4. Ringankan Tulang Buat Kerja Rumah

Dalam kehamilan lepas, anda mesti perasan bahawa kehamilan itu sendiri dah cukup memenatkan. Kali ini, keletihan itu tentunya berganda kerana isteri anda juga perlu melayan karenah anak pertama.

Dalam keadaan yang sarat mengandung, tentunya rasa letih yang dialami akan menjadikan kemampuan isteri anda lebih terbatas. Jadi, siapa lagi yang nak menolong membuat kerja-kerja rumah kalau bukan anda?

Ingat, bila bayi lahir nanti, lebih banyak kerja rumah yang akan mendatang – terutamanya cuci baju dan mengemas. Inilah masanya untuk anda melatih diri dan membiasakan diri dengan kerja-kerja rumah.

Foto Kredit: chatelaine.com

5. Sabar Dengan Emosi Isteri

Sukar bagi seorang wanita nak mengelak mood swing, terutamanya bila tengah letih dan stres. Kehamilan kali ke berapa pun, emosi seorang isteri mudah terusik dan kadangkala terpamer dalam perbuatan atau riak wajahnya.

Sebagai suami, jangan cepat ambil hati tetapi sebaliknya berilah pelukan dan bersabarlah dengan isteri yang sedang mengandungkan zuriat anda. Ingatlah kembali pengorbanan mereka untuk anda dan keluarga. Waktu itu mereka mungkin letih dan perlukan perhatian daripada anda.

Foto Kredit: http://www.whitsundayprofessionalcounselling.com

6. Bantu Persiapan Bayi

Kebanyakan isteri mungkin tidak begitu teruja mempersiapkan kelengkapan bayi sebagaimana mereka excited semasa hamil anak pertama. Namun bila difikirkan semula, bukannya mereka tak teruja, tapi sebenarnya TAK ADA MASA.

Macam mana nak fokus pada persiapan bayi kalau masanya semua habis untuk melayan anak pertama, memasak makanan untuk keluarga, membasuh dan menyidai pakaian, serta menguruskan keperluan rumah?

Apa kata bagi isteri sedikit masa untuk keluar shopping barang baby sendirian. Atau, anda boleh tolong beli barang sedikit demi sedikit. Atau, jadualkan waktu supaya anda berdua boleh shopping online bersama-sama. Mesti isteri seronok!

basuh baju bayi

Foto Kredit: syla.org.ua

7. Rancang Babymoon

Akhir sekali, tak salah rasanya jika anda merancang percutian bersama sebelum kehadiran bayi kedua. Tak kiralah sama ada anda mahu meluangkan masa berdua atau bertiga bersama anak, masa ini tentunya akan mengukir kenangan indah sekaligus memberi masa untuk relaks. Barulah dapat menghilangkan rasa stres yang terkumpul dalam otak.

Foto Kredit: untumble.com

Bila Isteri Ceria, Semua Gembira

Walaupun rasa risau selalunya berkurang, kehamilan kali kedua adalah pengalaman yang berbeza dengan sebelumnya kerana anda mempunyai tanggungjawab yang berbeza, expectation tertentu, serta emosi yang tidak terduga.

Semoga keprihatinan yang ditunjukkan oleh anda terhadap isteri akan berpanjangan walaupun selepas isteri mengandungkan anak kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Bila isteri ceria, mesti semua akan rasa lebih gembira!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×