“Mak, mana stokin Reza lagi sebelah?”
“Ayang, nampak tak cermin mata abang?”
“Mama, adik punya Ultraman mana?”
Pernah dengar tak orang putih kata “nothing is lost until mom can’t find it?” Memang betul kan mak-mak kita dulu seakan punya super power dalam bab mencari barang di rumah. Bila hilang sesuatu di rumah, orang pertama yang kita tanyakan pasti ibu. Ibu seakan punya kebolehan untuk mengesan dan mengagak di mana barang tersebut.
Bila kita dah berkahwin dan ada anak, kita pula yang ‘mewarisi’ super power tersebut. Asalkan nak cari sesuatu, kitalah yang ditanya walaupun barang tu bukan kita yang simpan. Kadang-kadang bila kita dah cakap dekat mana pun, masih juga suami tak jumpa sedangkan dah sah-sah ada di depan mata.
Sebenarnya ada sebab saintifik kenapa wanita lebih berkebolehan dalam hal mencari barang.
5 Sebab Mak-mak Paling ‘Champion’ Dalam Bab Mencari Barang
1. Kebolehan Spatial Berbeza Antara Lelaki & Perempuan
Sudut saintifik membuktikan kebolehan lelaki dan wanita berbeza dalam menggunakan ruang. Para lelaki dilihat lebih pakar dalam membaca arah petunjuk dan menganggar sasaran dengan tepat dalam lokasi tersebut manakala wanita pula berkebolehan dalam mengingat semula lokasi barang serta objek-objek yang berkaitan dengannya.
Otak lelaki lebih pandai memproses maklumat dari jarak jauh manakala perempuan lebih mahir meneliti suatu ruang dengan lebih berkesan. Ini membuktikan perempuan lebih mudah untuk fokus pada satu ruang lalu mengimbasnya dengan lebih terperinci dalam jangka masa yang singkat. Sebab itulah orang selalu kata lelaki lebih pandai mencari lokasi rumah, manakala perempuan pandai mencari sesuatu di dalam rumah.
2. Memori Perempuan Lebih Baik
Kebolehan untuk mengingat semula lokasi barang juga memerlukan daya ingatan yang kuat. Walaupun saiz otak wanita lebih kecil daripada lelaki, namun memori lelaki lebih cepat terjejas semakin usia menginjak.
Lebih-lebih lagi apabila sudah berusia 40 tahun, walaupun usia semakin lanjut, bahagian otak yang berperanan untuk menyimpan memori iaitu hippocampus kurang terjejas pada wanita berbanding lelaki. Selepas usia 60 tahun, saiz hippocampus juga semakin mengecut pada lelaki berbanding wanita. Ini dapat dibuktikan bahawa struktur otak wanita memberi kelebihan dalam menyimpan memori berbanding lelaki walaupun usia semakin lanjut.
Senang kata tengok sajalah beg dia yang besar, terutamanya bila setiap kali balik kampung. Memang jaranglah tertinggal apa-apa kan? Semua ada disenaraikan. Siap boleh bawakan barang orang lain yang tertinggal pula.
3. Ibu Lebih Cenderung Multi-Tasking
Walaupun sedang melakukan kerja rumah yang bermacam-macam, ibu masih berjaya menjumpai barang yang hilang. Kajian mendapati wanita berkebolehan untuk multi-tasking lebih baik walaupun dalam keadaan terbeban atau sibuk. Lelaki dan perempuan kedua-duanya baik dalam merancang strategi, namun kebolehan tersebut berkurang apabila lelaki cuba untuk membuat banyak perkara dalam satu masa.
Wanita juga menunjukkan kemampuan yang tinggi dalam kemahiran kawalan kognitif seperti menganalisa dan menyelesaikan masalah serta merancang serta bertindak dengan lebih terperinci. Para ibu juga sudah terlatih untuk multi tasking melalui pelbagai aktiviti harian dalam satu masa yang sama termasuk bekerja, menguruskan anak, mengemas rumah dan memasak.
4. Sixth Sense
Bukannya mudah untuk mencari barang ketika sedang kelam kabut dan keadaan yang berselerak. Namun, perempuan biasanya lebih sensitif dan yang berpengalaman seperti ibu kita bijak memproses informasi ketika berada dalam satu ruang yang spesifik.
Malah, ibu juga dikurniakan dengan gerak hati yang kuat untuk mengagak tempat letaknya sesuatu barang berdasarkan ketelitian mereka terhadap sikap seseorang.
5. Rutin Ibu Di Rumah
Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu handal dalam bab mencari barang di rumah kerana dia yang serba tahu tentang isi rumah. Pendek kata dari A hingga Z semuanya dia tahu.
Peranan ibu dalam rutin harian banyak melibatkan perancangan dan kemahiran mengingat banyak perkara setiap hari. Secara positifnya, ia dapat mengasah kebolehan para ibu untuk mengingat banyak maklumat dengan begitu baik.
“Butang baju aku mana Pah?”
Teringat pula dengan dialog P.Ramlee dalam filem Madu Tiga. Sedikit sebanyak ia menggambarkan tentang situasi yang dibincangkan dalam artikel ini. Bukanlah semua ya, tak dinafikan ada suami yang jenis teliti dan rapi.
Apapun, memang lucu bila terkenangkan suami yang asyik tak jumpa barangnya sendiri. Tapi kalau yang jenis suka bersepah dan selalu letak barang merata-rata tu, memang geram jugalah kan?
*Rujukan: Telegraph UK, ABC Science, CNN